Diterbitkan pada 12 Mei 2026, 10:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – “Saya kurang berkenan puisi esei kerana puisi dan esei ialah dua bentuk penulisan yang berbeza. Apabila puisi dicampurkan dengan esei, karya tersebut boleh menjadi tidak terarah sehingga hilang kejelasan fokusnya.”

Demikian pandangan penerima Hadiah Sastera Negeri Pulau Pinang dan Kedah, Ibnu Din Assingkiri ketika menjawab soalan hadirin dalam sesi “Petua Penulisan Esei” sempena program Melabun Buku@Ipoh anjuran Komuniti Buku Utara (Komkura) dengan kerjasama The Biblio Press di kedai buku baharu, Biblio Ipoh, pada 10 Mei 2026.

Menurut beliau, penulis perlu membezakan antara puisi dengan esei serta menghasilkan karya mengikut tradisi yang telah lama berkembang dalam dunia sastera negara. Namun, beliau bersetuju bahawa penulis boleh saja menulis esei secara puitis.

Puisi esei mula dipelopori dalam dunia puisi Indonesia, namun genre tersebut kurang diterima secara meluas oleh penggiat sastera di sana.

Puisi yang mengandungi nota kaki dan perenggan yang menyerupai esei itu dikatakan boleh mengelirukan pembaca dalam memahami maksud sebenar penulis.

Menurut beliau, dunia sastera telah lama mengenali puisi prosa bagi penulis yang mahu menghasilkan puisi dengan ayat yang panjang.

Oleh itu, beliau berpendapat tiada keperluan untuk memperkenalkan bentuk yang boleh mengaburkan fungsi puisi.

Tambah beliau lagi, puisi esei tetap mempunyai kelompok peminat tersendiri dan Sasterawan Negeri Sabah Keempat, YBhg. Datuk Jasni Matlani merupakan antara penulis yang aktif menghasilkan karya dalam bentuk sedemikian.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa hal tersebut bergantung pada cita rasa masing-masing dan tidak mengendahkan jika ada penulis yang mahu menghasilkan karya dalam genre sebegini.

Kredit Foto: Muhd Hafiz
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi