Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIbnu Din Assingkiri mengongsi pengalamannya menulis sebuah cerpen untuk sebuah sayembara antarabangsa.
Saya bayangkan banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang terakhir yang timbul di permukaan laut …
Pada mulanya, saya hanya ingin berkongsi proses kreatif menulis cerpen ini dengan anak-anak menti saya sahaja, iaitu alumni bengkel penulisan yang pernah belajar bersama-sama saya. Mereka selalu bertanya bagaimana sebuah idea kecil boleh berkembang menjadi karya yang sampai ke pentas antarabangsa. Setelah saya fikirkan semula, ilmu tidak sepatutnya disimpan untuk sekumpulan penulis yang kecil. Demi kemaslahatan bersama, meraikan ilmu serta solidariti kepada penulis di negara kita, saya mengambil keputusan untuk berkongsi pengalaman ini melalui platform Jendela DBP Dewan Sastera. Saya menulis sebagai seorang mentor yang percaya bahawa setiap anak didiknya mampu mencapai kejayaan yang lebih baik daripada dirinya. Semoga proses ini menjadi panduan yang praktikal, bukan sekadar cerita kejayaan, tetapi juga peta jalan yang boleh ditelusuri dengan yakin.
Proses Kreatif Pertama: MENGKAJI
Langkah pertama yang saya lakukan adalah untuk mengkaji kehendak tema dan penganjur pertandingan. Pertandingan Fableration the World’s Richest Short Story Competition menetapkan tema cerita masa hadapan atau futuristik. Saya tidak terus menulis. Saya duduk dan membaca syarat, nada serta kecenderungan karya yang sering mendapat perhatian pada peringkat antarabangsa. Cerita masa hadapan bukan sekadar tentang teknologi canggih. Kebanyakan ceritanya menampilkan kebimbangan manusia hari ini yang dipanjangkan ke hari esok.
Saya bertanya kepada diri sendiri, ‘Apakah ketakutan terbesar di dunia sekarang ini?’ Pandemik, perubahan iklim, krisis makanan, kecerdasan buatan, dan kerakusan politik. Semua ini bukan sekadar imaginasi. Semuanya sedang berlaku. Maka, saya memilih untuk membina cerita yang berpijak pada realiti, tetapi melangkah setapak ke hadapan. Cerita yang terasa dekat, meskipun latar ceritanya pada masa hadapan. Di sinilah asas cerpen ini dibina.
Proses Kreatif Kedua: MERANGKA
Selepas jelas dengan tema, saya mula merangka cerita dalam kepala. Saya tidak terus menulis rangka di atas kertas pada peringkat awal. Saya biarkannya berlegar di fikiran. Saya fikirkan latarnya, sebuah Semenanjung Malaysia yang tenggelam sedikit demi sedikit. Saya bayangkan banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang terakhir yang timbul di permukaan laut.
Kemudian, saya cipta watak. Kapten Mazlan, seorang pegawai tentera yang hampir bersara. Dr. Joshua Lim ialah seorang ahli zoologi yang menyimpan rahsia besar. Saya menyusun konflik dari awal. Dunia sedang runtuh. Manusia menjadi pelarian. Alam membalas dendam. Pada hujung cerita, saya letakkan kejutan plot atau plot twist bahawa Dr. Lim sebenarnya ialah kecerdasan buatan yang menyimpan minda manusia pemilik asalnya.
Saya pastikan setiap watak ada fungsi. Setiap dialog ada tujuan. Rangka ini menjadi pemandu arah agar saya tidak tersasar ketika menulis nanti.
Proses Kreatif Ketiga: KUMPUL MAKLUMAT
Sebelum menulis dengan lebih serius, saya mengumpulkan maklumat. Saya membaca tentang teknologi kecerdasan buatan, cloud computing dan kemungkinan pemindahan memori manusia ke dalam sistem digital. Saya juga meneliti laporan tentang kenaikan aras laut, kepupusan harimau Malaya, pelanggaran plat bumi, gempa, dan banjir besar.
Saya tidak mahu fakta dalam cerpen kelihatan longgar. Walaupun ini cerita rekaan, ceritanya mesti terasa meyakinkan. Contohnya, tentang kepupusan harimau Malaya. Dalam cerpen saya, simbol negara itu akhirnya lenyap bersama-sama tenggelamnya tanah air. Hal itu bukan sekadar drama. Hal itu merupakan sindiran terhadap kegagalan manusia menjaga alam.
Saya juga menyentuh isu politik dan pembalakan hutan untuk ladang durian berskala besar. Semua ini berasaskan realiti yang pernah kita baca di akhbar. Dengan maklumat yang mencukupi, cerita menjadi lebih berakar dan lebih mencengkam. Pembaca tidak berasa bahawa hal ini sekadar dongeng penglipur lara.
Proses Kreatif Keempat: MENULIS
Bahagian ini paling mencabar dan paling menguji disiplin.
Pertama, saya menulis dalam bahasa Inggeris tetapi berfikir dalam bahasa Melayu. Sebagai bahasa kedua, saya tidak selancar menulis dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Jadi, saya gunakan teknik ini untuk mengekalkan momentum. Saya fikirkan ayat dalam bahasa Melayu, kemudian saya tuliskan dengan rasa dan nuansa Melayu dalam bahasa Inggeris. Keuntungannya, lenggok bahasa yang terhasil membawa nuansa diri saya sebagai penulis Melayu yang menulis dalam bahasa Inggeris. Ada jiwa kearifan tempatan dalam struktur ayatnya.
Kedua, saya tetapkan laras bahasa pada tahap menengah tinggi. Cerpen ini akan dibaca oleh pelbagai golongan masyarakat di seluruh dunia. Jika terlalu tinggi, pembaca umum mungkin sukar mengikut. Jika terlalu mudah, kemungkinan menjadi hambar. Jadi saya ambil jalan tengah. Bahasa yang jelas, tetapi tetap estetik pada tempatnya.
Ketiga, saya letakkan konflik pada awal cerita. Cerita terus bermula dengan pandemik COVID-29 dan dunia yang runtuh. Saya mahu pembaca terus terasa cemas. Generasi Gen Z, milenia dan alfa hidup dalam zaman penuh ketidakpastian. Mereka peka terhadap virus, krisis ekonomi dan perubahan iklim. Jadi, konflik ini selari dengan keresahan mereka. Apabila pembaca berasa dekat dengan isu tersebut, mereka akan terus membaca tanpa henti sehingga selesai.
Keempat, saya masukkan elemen kearifan tempatan. Nama tempat seperti Seberang Perai, Titiwangsa dan Chuping di Perlis. Simbol harimau Malaya. Nilai menghormati tetamu melalui adegan menghidang teh dan ubi kayu rebus. Semua ini memperkenalkan Malaysia kepada dunia tanpa perlu brosur pelancongan. Dunia mengenali kita melalui cerita.
Akhir sekali, saya pastikan penamatnya meninggalkan kesan. Dr. Lim yang memilih untuk tenggelam bersama-sama gunung terakhir bukan sekadar adegan tragis. Adegan itu ialah lambang cinta kepada tanah air dan alam. Dan, apabila diketahui bahawa beliau hanyalah kecerdasan buatan, persoalan menjadi lebih dalam. Siapakah yang lebih setia kepada alam, manusia atau mesin ciptaannya sendiri?
Proses Kreatif Kelima: EDIT KENDIRI
Selepas draf pertama siap, saya tidak terus menghantarnya. Saya baca secara “jahar”. Apabila kita mendengar suara sendiri membaca, kita akan lebih mudah mengesan ayat yang janggal. Saya betulkan tatabahasa, pilihan kata dan kesinambungan fakta. Jika ada istilah teknologi atau sains, saya buat rujukan silang.
Saya juga memberikan cerpen ini kepada menti untuk dibaca oleh mereka. Maklum balas mereka sangat penting. Kadang-kadang kita terlalu sayang pada ayat sendiri sehingga tidak nampak kelemahannya. Apabila pembaca menegur, saya menerimanya dengan hati terbuka. Saya pun membuang yang perlu dibuang dan menambahkan yang perlu ditambahkan. Proses ini mengajarkan saya untuk merendah diri di hadapan karya sendiri dan pembaca beta.
Walaupun saya graduan Pengajian Bahasa Inggeris yang mengkhusus dalam penulisan, saya tidak pernah menulis cerpen dalam bahasa tersebut sejak tamat universiti. Inilah kali pertama saya menulis cerpen dalam bahasa Inggeris untuk pertandingan antarabangsa. Apabila cubaan pertama ini berjaya mara ke peringkat akhir daripada lebih 1,000 cerpen dari seluruh dunia, saya melihatnya sebagai isyarat bahawa strateginya perlu dikongsikan.
Saya tidak menulis kerana yakin akan menang. Saya menulis kerana mahu mencuba nasib. Hadiah yang lumayan itu memang membahagiakan, setanding dengan hadiah sastera negeri (kategori buku). Namun begitu, hal yang lebih bernilai ialah keyakinan bahawa penulis dari Malaysia juga mampu berdiri di pentas dunia!
Kepada anak-anak menti saya dan para penulis semua, jangan takut untuk menghantar karya ke luar negara. Kaji, rangka, kumpul maklumat, tulis dengan jujur, dan sunting dengan disiplin. Mana tahu, suatu hari nanti anda pula yang membawa pulang hadiah pertama bernilai RM290,000 dan mengharumkan nama negara melalui sebuah cerita pendek?
_________________________
Ibnu Din Assingkiri merupakan nama pena Sanusi Din. Beliau lahir di Kedah dan menetap di Pulau Pinang. Ibnu Din aktif menulis sejak tahun 2010. Beliau telah menghasilkan tujuh kumpulan puisi dan tiga kumpulan cerpen, selain berpuluh antologi pelbagai genre di Malaysia dan Indonesia. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit dalam pelbagai media tempatan dan antarabangsa. Beliau finalis Fableration The World’s Richest Short Story Competition (2026). Beliau juga penerima empat hadiah sastera negeri; tiga dari Pulau Pinang (2023, 2025) dan satu dari Kedah (2022) dalam kategori buku puisi, puisi eceran dan cerpen eceran.