Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBenedict Samling memberikan pandangan dan perhatian tentang pembikinan seni, lebih-lebih lagi dalam era bantuan teknologi dan kemajuan digital.
Kesakitan itu suatu kepastian, manakala penderitaan merupakan pilihan …
Ketika menjalankan penyelidikan di ladang lembu tenusu milik persendirian di Estonia, saya mendapati bahawa tiada peralatan canggih yang digunakan melainkan alat ultrasound untuk memantau kesihatan lembu bunting. Pekerja di ladang tersebut pula terdiri daripada lelaki dan wanita yang berumur dalam lingkungan 40 tahun. Tugas mereka adalah untuk memantau keperluan lembu, termasuklah memastikan bekalan alfalfa dan air mencukupi.
Sebelum alfalfa sesuai dijadikan sebagai makanan ternakan, tumbuhan tersebut terlebih dahulu dikeringkan di bawah sinaran matahari pagi, iaitu di antara pukul 8.00 hingga 11.00 pagi semasa musim panas. Setelah mencapai tahap kekeringan yang optimum, alfalfa berkenaan akan dipindahkan ke dalam bangsal penyimpanan yang dihangatkan oleh sistem pemanasan yang diperbuat daripada ketuhar tanah liat.
Pada musim panas, lembu akan dibiarkan bebas di padang ragut. Sebaliknya, apabila tibanya musim sejuk, kawanan ternakan tersebut akan dikurung di dalam kandang tertutup yang suhunya sentiasa dipantau bagi memastikan persekitaran kekal antara 20 hingga 25 darjah Celsius.
Rutin para pekerja membelai lembu seawal 7.00 pagi agak menarik. Bermula dengan mengusap-usap kepala lembu kemudian mengira pergerakan ekor lembu. Kata mereka, jika ekor lembu bergerak kurang daripada 10 kali dalam tempoh satu minit bermakna lembu tersebut dalam keadaan tertekan atau mengalami masalah kesihatan dan perlu dirujuk kepada doktor haiwan dengan segera.
Tapak kaki lembu pula diperiksa oleh doktor pakar kaki haiwan. Sekiranya didapati luka, haiwan ternakan itu akan dihantar ke klinik haiwan berdekatan. Di klinik haiwan, lembu yang didapati sakit akan menjalani rawatan rapi dan dipantau. Lembu hanya dibenarkan kembali ke ladang sekiranya luka tidak memudaratkan atau tiada jangkitan yang serius.
Kerja memerah susu lembu pula dilakukan di dalam ruang tertutup dengan suhu terkawal sekitar 25 darjah Celsius. Sebelum aktiviti memerah susu, para pekerja akan membersihkan tubuh badan serta memakai pakaian yang telah dinyah kuman. Mereka akan merendam tangan di dalam air bersih yang bersuhu sekitar 27 darjah Celsius sebelum melakukan perahan. Dan, dari masa ke semasa, mereka akan merendam tangan di dalam air suam tersebut.
Ladang lembu tersebut terletak jauh dari kawasan kediaman, jalan utama, kawasan kilang, sungai, dan lapangan terbang. Kawasan di sekeliling ladang lembu itu pula ditumbuhi oleh deretan pokok pinus yang hijau, menjadikan suasana ladang lembu damai dan indah persis sebuah taman rekreasi semula jadi. Bezanya, taman itu didiami oleh lembu.
Seterusnya, produk tenusu yang dikeluarkan dari ladang persendirian itu tidak bergantung sepenuhnya pada teknologi, sebaliknya menggunakan tenaga manusia. Produk dari ladang tersebut mudah didapati di mana-mana kedai di Estonia dan beberapa negara Eropah. Aneh bukan? Produk yang dikeluarkan tanpa menggunakan peralatan yang canggih mahupun internet benda, apatah lagi bergantung dengan kecerdasan buatan, tetapi sambutannya amat memberangsangkan.
Seperti menternak lembu, saya percaya bahawa dunia penulisan juga menuntut cabaran fizikal, mental, ancaman luar jangka yang sememangnya sarat dengan jerih perih yang tidak dapat dielakkan.
Mungkinkah hal ini yang diperkatakan oleh Haruki Murakami dalam What I Talk About When I Talk About Running? Buku tersebut saya jumpa di sebuah kedai buku di Latvia. Buku tersebut merupakan memoir Murakami yang menyentuh tentang erti disiplin, kegagalan dan proses penuaan dalam kehidupan.
Dalam masyarakat hari ini, sekelompok manusia mengagungkan “bakat semula jadi”, pengaruh atau pakar bidang. Sesiapa yang berpengaruh, tahu selok dan belok atau berbakat semula jadi dianggap mempunyai laluan mudah ke puncak. Namun, Murakami mengatakan bahawa tanpa fokus dan daya tahan, bakat dan pengaruh tidak akan membawa sesiapa ke mana-mana.
Membaca pengakuan beliau tentang betapa sukarnya membina stamina fizikal demi menyokong stamina mental memaksa saya bermuhasabah: Adakah saya seorang yang mudah menyerah kalah apabila keterujaan awal terhadap sesuatu projek mula pudar?
Apabila melihat betapa tekun dan fokusnya para pekerja di ladang lembu selain membaca memoir Murakami tersebut, hal ini mengajar saya bahawa apa-apa sahaja perkara yang difikirkan bermakna dalam hidup, sama ada kerjaya, hubungan atau impian, merupakan sebuah maraton, dan bukannya larian pecut 100 meter.
Persoalannya di sini, adakah penulis pada masa kini dan pada masa hadapan akan membiarkan karyanya terkurung “di dalam kandang” yang dibina daripada algoritma? Adakah teknologi benar-benar neutral jika diaplikasikan ke dalam kehidupan (penulisan)? Atau setidak-tidaknya, adakah saya sendiri benar-benar sesabar para pekerja lembu yang menekuni lembu dari dalam kandungan, sehingga menghasilkan produk tenusu, dalam dunia penulisan? Apa yang menyebabkan para pekerja itu begitu sabar dan berdisiplin dalam tugasan mereka menjaga lembu-lembu tersebut?
Apabila membaca bahagian sewaktu Murakami mengalami kekejangan otot, keletihan melampau, malah kegagalan mencapai sasaran masanya dalam beberapa acara maraton, saya menyedari sesuatu yang penting, iaitu kesakitan atau kesukaran dalam hidup ialah perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun, bagaimana kita bertindak balas terhadap kesakitan itu ialah pilihan peribadi kita. Adakah kita mahu meratapinya sebagai “penderitaan” atau menerimanya sebagai sebahagian daripada proses harian?
Seperti menternak lembu, saya percaya bahawa dunia penulisan juga menuntut cabaran fizikal, mental, ancaman luar jangka yang sememangnya sarat dengan jerih perih yang tidak dapat dielakkan. Inilah seni dan prosesnya. Proses ini memang sakit dan memeras tenaga, tetapi saya yang memilih jalan ini dan memilih untuk menikmati seni penulisan sebagai cara untuk menikmati kehidupan. Mungkin juga saya akan memegang kata-kata Murakami bahawa kesakitan itu suatu kepastian, manakala penderitaan merupakan pilihan.
_________________________
Benedict Samling berasal dari Sarawak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Tunas Cipta, Utusan Borneo, Dewan Kosmik, Dewan Budaya, dan SelangorKini. Memenangi beberapa sayembara penulisan kreatif termasuk cerpen STEM anjuran Unisel-DBP, cerpen kearifan tempatan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, cerpen kebudayaan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak dan Majlis Seni Sarawak, serta cerpen legasi anjuran Pustaka Negeri Sarawak. Beliau menerima Hadiah Sastera Tunas Sarawak kategori cerpen dan puisi pada tahun 2023.