Oleh Amar Jue
Diterbitkan pada 21 Mei 2026, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Amar Jue meneliti cetusan katarsis dalam proses penulisan dengan membandingkan perspektif psikologi Barat dengan pandangan Islam.

Dalam tradisi Islam, proses katarsis tidak hanya bersifat psikologikal, tetapi juga spiritual.

Dalam sejarah pemikiran manusia, penulisan sering dianggap sebagai ruang sunyi yang paling jujur untuk manusia berhadapan dengan dirinya sendiri. Aristotle memperkenalkan konsep katarsis sebagai pelepasan emosi melalui pengalaman estetika, khususnya ketika penonton menyaksikan tragedi. Namun dalam perkembangan psikologi moden, katarsis tidak lagi sekadar sebuah fenomena penonton, tetapi sudah menjadi proses dalaman yang sangat peribadi, iaitu bagaimana manusia memproses trauma dan tekanan melalui penulisan.

Dalam tradisi psikologi Barat, James W. Pennebaker telah mengubah pemahaman kita tentang penulisan terapeutik. Melalui paradigma expressive writing, individu yang menulis pengalaman paling mencabar mereka selama 15 hingga 20 minit dalam beberapa hari berturut-turut menunjukkan peningkatan kesihatan mental dan fizikal (Baikie dan Wilhelm, 2005). Menariknya di sini, manfaat ini bukannya sekadar “meluahkan” emosi, tetapi lahir daripada proses penyusunan semula pengalaman tersebut menjadi naratif yang bermakna (Stapleton et al., 2021). Penulisan, dalam erti kata ini, menjadi alat kognitif yang membantu minda memberikan struktur pada kekacauan dalaman.

Kajian oleh Baikie dan Wilhelm (2005) turut mengukuhkan pendapat ini dengan menunjukkan bahawa penulisan yang hanya bersifat “melepaskan emosi” tanpa refleksi kognitif cenderung kurang berkesan. Sebaliknya, gabungan antara emosi dengan makna mampu menghasilkan kesan jangka panjang, seperti pengurangan tekanan dan kesejahteraan psikologi yang lebih stabil. Hal ini menunjukkan bahawa katarsis bukan sekadar letupan emosi, tetapi transformasi pengalaman.

Dalam kerangka neurosains pula, penulisan yang terstruktur membantu mengaktifkan bahagian otak yang berkaitan dengan pemikiran rasional seperti korteks prefrontal ventrolateral, sambil mengurangkan dominasi amigdala yang berkait dengan tindak balas ketakutan (Memarian et al., 2017). Proses yang dikenali sebagai affect labeling (melabel kesan emosi dengan kata-kata) ini membantu manusia untuk “berpindah” daripada emosi reaktif kepada reflektif (Lieberman et al., 2011).

Namun begitu, perspektif Barat ini hanya menawarkan penyelesaian satu sisi daripada spektrum yang lebih luas.

Dalam tradisi Islam, proses katarsis tidak hanya bersifat psikologikal, tetapi juga spiritual. Konsep muhasabah atau introspeksi diri menjadi asas pada penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs). Al-Ghazali menekankan bahawa muhasabah membolehkan individu mengenali keterbatasan diri dan nikmat Pencipta. Berkarya melalui penulisan, dalam konteks ini, boleh difahami sebagai lanjutan kepada amalan refleksi batin yang membawa seseorang mendekati keadaan qalbun salim (hati yang sejahtera). Hal ini bukan sekadar proses untuk memahami diri, tetapi proses kembali kepada Tuhan melalui kesedaran diri.

Dalam pendekatan psikologi Islam kontemporari, amalan seperti zikir dan doa juga boleh dilihat sebagai bentuk komunikasi transendental yang berfungsi sebagai mekanisme untuk menyusun semula emosi (Galander, 2025). Apabila perasaan ini diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan, sama ada jurnal, catatan reflektif, ataupun puisi, kesemua hal itu menjadi ruang untuk manusia meluahkan dan menyerahkan. Di sinilah wujudnya unsur tawakkul, iaitu kebergantungan kepada Allah SWT setelah usaha memahami diri dilakukan.

Kajian dalam konteks tempatan menunjukkan bahawa penulisan kreatif seperti jurnal reflektif membantu individu, khususnya dalam masyarakat yang berbilang budaya untuk menyalurkan emosi yang sukar diungkapkan secara lisan (Rajasingam, 2017). Simbol, metafora dan naratif menjadi bahasa alternatif pada pengalaman dalaman yang kompleks. Dalam konteks ini, penulisan bukan sahaja alat psikologi, tetapi juga jambatan budaya dan spiritual.

Apabila kedua-dua perspektif ini dihimpunkan, kita melihat satu titik pertemuan yang menarik. Kedua-duanya menolak idea bahawa katarsis hanya sekadar “meluahkan emosi terpancar-pancar tanpa arah”. Sebaliknya, kedua-duanya menekankan proses pembentukan makna. Dalam psikologi Barat, makna ini bersifat kognitif dan naratif, sedangkan dalam tradisi Islam, makna itu juga bersifat spiritual dan teologikal. Hal ini berkait rapat dengan tujuan hidup manusia dan hubungannya dengan Pencipta.

Maka, penulisan boleh difahami sebagai suatu bentuk “penawar jiwa”. Usaha menulis mencerna pengalaman yang menyakitkan kepada pemahaman yang lebih matang. Prosesnya menjadikan kesedihan bukan lagi beban semata-mata, tetapi sumber kebijaksanaan. Dalam proses ini, manusia bukan sahaja boleh sembuh, tetapi berkembang menjadi lebih baik.

Akhirnya, katarsis melalui penulisan bukanlah destinasi, tetapi sebenarnya satu proses berterusan. Usaha ini menuntut kejujuran terhadap diri sendiri, keberanian untuk menyelami luka lama dan kesediaan untuk membina makna baharu. Sama ada melalui lensa psikologi moden atau tradisi Islam, penulisan kekal sebagai ruang paling intim apabila manusia belajar menjadi lebih manusiawi, lebih tenang, dan lebih reda untuk memahami dirinya dan Tuhan.

_________________________

Amar Jue atau nama sebenarnya, Amar Amir Omar merupakan seorang akauntan di sebuah agensi kerajaan di Kuala Lumpur. Karya-karya beliau tersiar dalam Tunas Cipta, Pelita Bahasa, Dewan Sastera, Jurnal Pemuisi, Mingguan Malaysia, BH Ahad, Eksentrika, dan Cukaria.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi