Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBagi Nurzusilawati Nadzri, sastera bukanlah wadah untuk meluahkan rasa dan perasaan semata-mata. Malah, antara unsur terpenting yang akan sentiasa ditemui dalam perhubungan antara teks dengan manusianya ialah cinta.
Dalam era media sosial, sempadan antara tulisan peribadi dengan karya sastera semakin kabur. Apa-apa yang ditulis secara spontan sering dianggap sebagai puisi, dan apa-apa yang diluahkan dengan panjang akan dianggap sebagai esei.
Sastera sering lahir daripada cinta. Namun begitu, tidak semua cinta mampu melahirkan sastera yang abadi. Antara imbauan perasaan dengan fungsi pena, ada jarak halus yang membezakan antara luahan perasaan yang biasa dengan karya yang bernyawa. Di situlah terletaknya pertarungan batin seorang penulis.
Ramai menyangka bahawa sastera hanyalah wadah untuk meluahkan rasa. Sedih melahirkan puisi duka, bahagia melahirkan cerpen yang manis. Namun begitu, setelah melalui perjalanan menulis yang panjang dan sunyi, saya menyedari bahawa cinta dalam sastera bukan sekadar emosi, cinta merupakan suatu tanggungjawab dalam kepengarangan.
Cinta yang tidak ditapis oleh fikir akan menjadi keluh-kesah semata-mata. Cinta yang diasuh oleh akal dan adab akan berubah menjadi karya yang mampu menyentuh jiwa orang lain.
Setiap karya bermula dengan rasa. Rasa ingin memahami, rasa ingin menyuarakan atau rasa ingin mengabadikan sesuatu yang hampir hilang. Namun begitu, rasa tetap hanyalah benih. Proses mengenali rasa dalam kata-kata masih perlu ditanam dalam tanah disiplin, disiram dengan pembacaan dan dibaja dengan penuh kesabaran.
Saya pernah menulis dengan penuh perasaan tanpa memikirkan struktur dan kejelasan makna. Ketika itu, saya menyangka apabila semakin kuat rasa itu, semakin baiklah tulisannya. Namun begitu, apabila membaca semula karya tersebut, saya sedar bahawa rasa sahaja tidak mencukupi. Sastera menuntut lebih daripada kejujuran rasa, sastera juga menuntut kebijaksanaan dalam mengalami rasa.
Rasa cinta yang matang tidak menjerit, ia berbisik melalui bahasa yang terpilih. Begitu juga karya yang matang, ia tidak perlu berlebihan untuk menyentuh hati pembaca.
Dalam era media sosial, sempadan antara tulisan peribadi dengan karya sastera semakin kabur. Apa-apa yang ditulis secara spontan sering dianggap sebagai puisi, dan apa-apa yang diluahkan dengan panjang akan dianggap sebagai esei. Namun begitu, sastera memiliki disiplin yang tersendiri.
Menulis bukan sekadar memindahkan perasaan ke atas kertas. Menulis ialah proses memurnikan rasa agar menjadi pengalaman bersama. Di sinilah bezanya antara cinta peribadi dengan cinta yang bersifat kemanusiaan.
Apabila seorang penulis menulis tentang kehilangan, misalnya, dia tidak lagi sekadar berkisah tentang dirinya. Dia sedang membuka ruang agar pembaca menemukan diri mereka dalam baris-baris itu. Di sinilah karya mengambil alih cinta peribadinya dengan menjadikannya milik bersama.
Ada waktunya penulis perlu berani memotong baris yang paling disayanginya. Baris yang indah tetapi tidak perlu, metafora yang cantik tetapi tidak jujur.
Saya pernah menyunting tulisan berulang kali sehingga hampir tiada lagi yang tinggal daripada draf asal. Pada saat itu, saya memahami bahawa mencintai sastera bererti sanggup melepaskan ego. Karya yang baik lahir bukan daripada rasa memiliki, tetapi daripada kerelaan untuk memperbaiki.
Saya pernah melalui satu fasa apabila karya pertama saya diterbitkan, timbul keyakinan yang hampir menyerupai kepuasan. Saya menulis lagi dengan keinginan untuk terus hadir dalam halaman yang sama. Namun kali ini, saya menulis dalam keadaan tertekan, bukan kerana cinta, tetapi kerana mahu membuktikan kemampuan.
Karya itu ditolak tanpa kompromi. Pada awalnya, saya melihatnya sebagai kegagalan. Namun setelah direnung, saya menyedari bahawa saya telah menulis tanpa jiwa yang lapang. Saya terlalu ingin menghasilkan karya, tetapi lupa untuk mencintai tulisan yang ditulis.
Penolakan itu bukanlah penamat, tetapi pengingat bahawa karya tidak lahir daripada paksaan, melainkan daripada kesetiaan terhadap proses. Sejak itu, saya memahami bahawa cinta dalam sastera bukan sekadar tentang emosi yang mengalir. Cinta sastera ialah kesediaan untuk terus belajar, terus membaca dan terus menulis walaupun tanpa jaminan penerbitan.
Antara cinta dengan karya, ada satu jambatan bernama kesabaran.
Penulis yang hanya mencintai pujian akan cepat lelah. Namun begitu, penulis yang mencintai proses penulisan (sehingga diterbitkan) akan terus bertahan. Kerana baginya, setiap tulisan ialah satu perjalanan memahami manusia, termasuklah dirinya sendiri.
Akhirnya, saya menyedari bahawa cinta dan karya tidak seharusnya dipisahkan. Cinta ialah api dan karya ialah pelita. Tanpa api, pelita tidak menyala. Tanpa pelita, api tidak memberi cahaya. Menulis bukan sekadar meluahkan, tetapi memurnikan. Bukan sekadar mencintai, tetapi memanusiakan.
Antara cinta dengan karya, seorang penulis memilih untuk setia, bukan kepada pujian, tetapi kepada bahasa, nilai dan kemanusiaan. Dan mungkin di situlah terletaknya sastera yang sebenar.
Dalam zaman yang serba pantas dan menuntut pengiktirafan segera, sastera mengajar kita untuk memperlahankan diri, untuk mendengar degup bahasa dan menimbang makna sebelum melafazkan kata. Cinta terhadap sastera bukan sekadar perasaan yang hadir sesaat, tetapi komitmen yang berpanjangan untuk menjaga maruah bahasa dan memelihara nilai kemanusiaan. Jika cinta itu benar, maka karya akan menemukan jalannya; dan jika karya itu jujur, karya itu akan tetap hidup walaupun tanpa sorakan. Antara cinta dengan karya, yang kekal bukanlah nama penulisnya, tetapi makna yang ditinggalkannya kepada bangsa.
_________________________
Nurzusilawati Nadzri aktif menulis cerpen, sajak dan artikel dengan kecenderungan terhadap tema keteguhan jiwa, adat budaya Malaysia, hubungan manusia, serta unsur mistik Alam Melayu. Beliau merupakan pemenang Tempat Ketiga (Open Group) daripada lebih 800 penyertaan dalam International Youth Literary Awards 2025, Hong Kong, serta tersenarai dalam calon 10 Teratas bagi 2nd Annual Waterford Competition 2025, Ireland.