Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Penganjuran edisi terbaharu, pertandingan penulisan cerpen antarabangsa, Fableration Short Stories, menarik perhatian khalayak sastera apabila turut menyenaraikan dua karya penulis tempatan dalam 10 senarai akhir mereka, iaitu Sanusi Din menerusi cerpen “The Sinking of the Golden Peninsula” dan Aina Izzah dengan cerpen “Melati”.
Berdasarkan maklumat yang disampaikan menerusi laman web Vimeo.com, pertandingan itu dianjurkan oleh platform Fableration dengan memberi tumpuan kepada penghasilan karya asli dalam bahasa Inggeris bertemakan masa hadapan.
Pertandingan itu yang dibuka kepada semua penulis dari seluruh dunia berusia 18 tahun ke atas menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk mata wang kripto.
Laman web sama turut menyebut bahawa pertandingan itu yang ditutup pada pertengahan Februari lalu dengan pengumuman senarai panjang dibuat pada bulan yang sama, diikuti senarai pendek dan pemenang pada Mac tahun ini.
Pertandingan tersebut mensyaratkan cerpen ditulis pada kadar antara 1,000 hingga 5,000 patah perkataan dan peserta dibenarkan menghantar lebih daripada satu karya. Pembaca boleh mengundi cerpen yang dianggap terbaik.
“Proses penjurian pertandingan ini dilaksanakan melalui tiga peringkat, bermula dengan pemilihan 50 karya bagi senarai panjang oleh komuniti pembaca.
“Seterusnya, enam juri pakar akan memilih 10 karya terbaik untuk senarai pendek sebelum pemenang ditentukan melalui undian komuniti,” menurut laman web berkenaan.
Hadiah utama yang ditawarkan termasuk satu Bitcoin bagi tempat pertama, diikuti tiga Ethereum untuk tempat kedua dan 10 Solana bagi tempat ketiga. Selain itu, tujuh pemenang senarai pendek akan menerima hadiah wang tunai sebanyak AS$500 setiap seorang, manakala 40 peserta senarai panjang menerima AS$50 setiap seorang.
Untuk rekod, platform Fableration dilancarkan pada tahun 2025.