Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarangpuisi, inti utamanya adalah curhat yang kaunamakan jerit batin dari dasar lubuk hati yang terdalam. katamu, kaucedok gema nuansa diri dengan gayung taakul, besarnya melebihi semesta dirimu. katamu lagi, mana mungkin bisa kautangkap gema nuansa diri dengan menjala pukat bermata A.I. demikian katamu. aku percaya.
tak ada apa-apa lagi yang perlu dikhuatiri. teruslah menukang puisi semahumu. curhat itu nuansa diri yang mentah dan kasar. kaurautlah dengan pisau susastera agar licin sedikit permukaannya. tak perlulah solekan majlis makan malam untuk beriadah di pantai. (kau pun tahu wajah bulan yang tak sekata tetap dipuja-puja oleh para bujangga …)
kata mazhab itu, bahasa hanya kenderaan untuk membawa makna. kata mazhab ini bahasa adalah roh puisi … tak usah kau gusar – andai kau menulis demi pengiktirafan persada perdana; mazhabmu sanya berkiblat ke sana. andai kau menulis untuk seni dan andai kau menulis untuk membawa suaramu (dan marhaen lingkungan) agar didengari penguasa: kau ciptakanlah mazhab baharu. khalas; tuntas!
apa yang lebih sakral dari segala rencam dan rencah, jatuh dan bangun, tabrak tembok, disaman polis (sastera dan bahasa), kecewa akan karya yang tak pernah terbit barang sekali di situ dan di sini: kau tulislah puisi, wahai penyair. andai kau tersentap lama-lama, maka puisi akan ikut berdukacita kerana tidak terlahir untuk dibaca.
Bukit Mertajam, Pulau Pinang
24 Januari 2026