Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Genre puisi esei semakin mendapat tempat dalam dunia sastera Melayu dan Indonesia serantau.
Demikian menurut Sasterawan Negeri Sabah dan pemenang SEA Write Award 2015, Datuk Jasni Matlani dalam sesi bertajuk Perkembangan Puisi Esei pada Peringkat Serantau dalam Wacana Puisi Esei ASEAN 2025 di Hotel Horizon Kota Kinabalu pagi semalam.
Menurut beliau, terdapat pandangan di Barat bahawa puisi tidak berkembang seiring perubahan zaman.
“Kehidupan semakin kompleks dan pelbagai tetapi puisi dilihat kekal dalam bentuk yang sukar difahami oleh masyarakat umum kerana bahasanya yang terlalu puitis dan sarat dengan simbol serta metafora,” ujarnya
Oleh itu, timbul idea untuk menggabungkan dua bentuk penulisan puisi dengan esei bagi melahirkan sebuah bentuk sastera baharu yang dinamakan puisi esei yang bermula di Indonesia pada tahun 2012.
Datuk Jasni menjelaskan bahawa penggabungan puisi dan esei menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan sasterawan, pengkritik dan ahli akademik di Malaysia dan Indonesia.
“Reaksi ini berlaku kerana kedua-dua bentuk penulisan ini mempunyai ciri yang berbeza; puisi bersumberkan imaginasi dan estetik, manakala esei bersandarkan fakta dan logik.”
“Namun demikian, penggabungan dua bentuk pemikiran ini berjaya menghasilkan satu pendekatan baharu dalam penulisan sastera serantau,” tambahnya lagi.
Puisi esei ditakrifkan sebagai karya kreatif yang menggabungkan unsur fiksyen dan fakta. Dalam genre ini, naratif dan suara batin penulis merupakan imaginasi kreatif, manakala isu yang dibangkitkan seperti konflik sosial atau peristiwa semasa berdasarkan fakta.
“Penulis bukan sekadar menyampaikan realiti, malah turut mengolahnya menjadi pengalaman batin yang bersifat artistik dan reflektif.”
Dalam sesi tersebut, Datuk Jasni turut membentangkan elemen dan ciri-ciri puisi esei, seperti ditulis dalam format pendek dan mengandungi unsur wajib, seperti penggunaan watak, bahasa puitis, metafora, dan personafikasi.
Selain membicarakan aspek estetika, beliau juga menyentuh mengenai perkembangan semasa puisi esei di rantau ini.
Perkembangan ini merangkumi inisiatif untuk membawa genre tersebut ke sekolah dan universiti sebagai bahan pengajaran dan penulisan kreatif.
Usaha ini termasuklah menjadikan puisi esei sebagai satu produk sastera melalui strategi pemasaran yang komprehensif dan bijaksana.
Datuk Jasni turut menggariskan bahawa puisi esei wajar diangkat sebagai salah satu wahana penting dalam perkembangan sastera Melayu Nusantara.
Bagi merealisasikan matlamat ini, beliau mencadangkan agar diwujudkan anugerah sastera dan sayembara khusus bagi puisi esei, selain menerbitkan buku puisi esei secara berkala dan melantik duta muda puisi esei dalam kalangan pelajar serta penulis muda.
Beliau menegaskan, meskipun terdapat perbezaan pandangan terhadap genre ini, puisi esei wajar diberi peluang dan ruang untuk berkembang sebagai satu bentuk sastera kontemporari yang mampu membawa suara masyarakat dan ekspresi zaman dengan lebih kreatif dan mendalam.