Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah memberikan beberapa pandangan tentang isu penggunaan AI dalam penulisan kreatif dan bukan kreatif berbahasa Melayu yang membelenggu dunia penulisan akhir-akhir ini.
Para penggiat sastera, khususnya yang aktif menjalankan kajian bahasa, boleh memohon geran penyelidikan untuk mengenal pasti pola penulisan sastera yang dihasilkan oleh AI.
Baru-baru ini, editor Dewan Sastera ada berkongsi di laman Facebook rasmi Dewan Sastera mengenai isu pemenang Hadiah Cerpen Komanwel 2026 yang didakwa menggunakan kecerdasan buatan (artificial intelligence) atau AI dalam karyanya. Ada dinyatakan secara spesifik frasa “Not X, not Y, but Z” yang dikatakan sebagai hasil biasa janaan AI bagi penulisan kreatif. Dalam bahasa Melayu, hal ini boleh disamakan dengan frasa “Bukan X, bukan Y, tetapi Z” atau “Bukan kerana …, tetapi …”.
Contohnya, dalam sesebuah tulisan, dinyatakan seperti “Bukan bunyi ombak, bukan deruan angin, tetapi degupan jantungnya sendiri” atau “Bukan kerana dia takut, tetapi dia tidak mahu memanjangkan cerita.” Persoalannya, sejauh manakah ayat sedemikian yang terdapat dalam mana-mana tulisan sememangnya hasil janaan AI? Andai ayat itu dianggap sepenuhnya sebagai pola janaan AI, adakah penulis tidak lagi boleh menggunakan frasa sedemikian dalam penulisan kreatif kerana dikhuatiri dianggap mengambil sepenuhnya hasil janaan AI?
Secara peribadi, penulis juga pernah menggunakan irama ayat sedemikian untuk memberikan kesan kontras supaya kedengaran lebih puitis. Barangkali selepas ini, penulis akan cuba mengelakkan irama dan nada seperti itu bagi mengelakkan dakwaan bahawa tulisan penulis merupakan hasil janaan AI.
Namun begitu, memang tidak dapat dinafikan bahawa sehingga hari ini, kita masih belum mempunyai aplikasi atau sistem yang dapat membuktikan bahawa sesebuah karya, sama ada fiksyen mahupun bukan fiksyen dalam bahasa Melayu, merupakan hasil janaan AI sepenuhnya.
Penulis sendiri kadang-kala berasa ragu-ragu terhadap tugasan yang dihasilkan oleh mahasiswa yang mengikuti kursus penulis. Seperti bidalan “alah bisa tegal biasa”, penulis sudah masak dengan istilah-istilah tertentu yang lazimnya dijana oleh AI. Tambahan pula, istilah-istilah yang kerap digunakan oleh negara jiran turut terselit dalam tugasan mereka. Namun, sebagai pendidik, penulis tidak menuduh secara membuta tuli. Sebaliknya, penulis memanggil mereka secara peribadi ke pejabat tanpa memalukan mereka di hadapan rakan-rakan untuk bertanyakan sama ada tugasan tersebut dihasilkan sendiri atau diambil sepenuhnya daripada janaan AI.
Sebagai alternatif, pentaksiran autentik diaplikasikan dalam dewan kuliah. Menggunakan AI bukanlah satu kesalahan, namun cara penggunaannya perlu dimanfaatkan dengan bijaksana. Umpamanya, penulis mengehadkan penggunaan prompt yang dibenarkan secara terperinci, kemudian menilai bagaimana hasil janaan AI yang mungkin panjang lebar diterjemahkan melalui kecerdasan akal fikiran mahasiswa dalam tugasan mereka. Mahasiswa juga diminta melampirkan tangkap layar hasil janaan AI dan menerangkan bagaimana maklumat tersebut digunakan untuk memperkaya kandungan tugasan mereka.
Penulis juga tidak menafikan pandangan editor Dewan Sastera bahawa penggunaan tanda sempang yang berlebihan sering dianggap sebagai salah satu petunjuk janaan AI. Perkara yang sama turut berlaku dalam tugasan mahasiswa penulis. Bukan sahaja tanda sempang, malah penggunaan titik bertindih dan simbol simbol tertentu yang kerap muncul juga sering dianggap sebagai indikator bahawa kandungan tersebut diambil daripada janaan AI. Kadangkala, lebih malang lagi apabila ada yang tidak menyedari kewujudan tanda bintang yang lazim muncul apabila teks yang ditebalkan dalam AI dipindahkan terus ke dalam Microsoft Word.
Penulis bukan berada dalam ranah kesusasteraan, penyelidikan sastera atau bahasa Melayu. Namun begitu, bagi penulis, penghasilan tugasan dalam bahasa kebangsaan oleh mahasiswa merupakan satu usaha yang baik walaupun mereka diberikan kebebasan untuk menulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Pada pandangan penulis, para penggiat sastera, khususnya yang aktif menjalankan kajian bahasa, boleh memohon geran penyelidikan untuk mengenal pasti pola penulisan sastera yang dihasilkan oleh AI. Antara indikator yang sedang hangat diperkatakan ialah penggunaan struktur “Not X, not Y, but Z”, perkataan ‘hum’ yang digunakan untuk menggambarkan alam, penggunaan tanda sempang yang terlalu kerap, dan pelbagai ciri lain. Namun, kita perlu maklum bahawa dakwaan tersebut masih berada pada peringkat awal dan merujuk penulisan kreatif dalam bahasa Inggeris. Bagaimana pula dengan penulisan kreatif dalam bahasa Melayu? Sehubungan itu, kajian perlu dilaksanakan bagi memuktamadkan polemik berkenaan.
Misalnya, satu kajian boleh dijalankan untuk mengenal pasti dan menganalisis pola struktur ayat serta ciri stilistik yang dominan dalam penulisan kreatif yang dijana oleh kecerdasan buatan, di samping membandingkannya dengan penulisan kreatif yang dihasilkan oleh manusia. Kajian tersebut boleh menggunakan reka bentuk analisis kandungan linguistik dan analisis korpus dengan melibatkan koleksi cerpen yang dijana oleh sistem AI seperti ChatGPT, Claude dan Gemini serta karya kreatif terpilih daripada sumber sastera yang diiktiraf.
Data dianalisis bagi mengenal pasti pola struktur ayat, pilihan leksikal, penggunaan bahasa figuratif, teknik naratif, dan kecenderungan gaya penulisan yang berulang. Analisis turut disokong oleh perisian korpus untuk menentukan frekuensi penggunaan perkataan, kolokasi dan pola linguistik yang signifikan. Dapatan kajian boleh menghasilkan satu kerangka konseptual yang menerangkan ciri-ciri linguistik penulisan kreatif AI serta implikasinya terhadap perkembangan penulisan kreatif, pendidikan bahasa dan kesusasteraan dalam era kecerdasan buatan.
Harapan penulis agar polemik ini dapat diatasi melalui kebijaksanaan sidang editor yang telah lama bergelumang dengan dunia penulisan, penyelidik dalam bidang bahasa dan sastera serta penghasilan kerangka berasaskan penyelidikan yang boleh menjadi panduan kepada penulis, khususnya penulis pemula. Jika tidak, penulis khuatir hasil kecerdasan manusia yang dikurniakan Tuhan akan disalah tafsir sebagai hasil janaan AI.
_________________________
Abdul Halim Abdullah (Prof. Madya Dr.) merupakan ahli akademik sepenuh masa di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sangat cinta pada bahasa ibundanya. Beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pada tahun 2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Tokoh Penerbitan (Kategori Sains Sosial) Majlis Citra Karisma UTM 2025.