Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak sesekali mampu menggantikan keaslian pemikiran, kreativiti dan nilai kemanusiaan yang menjadi teras penghasilan karya kesusasteraan bermutu.
Menyedari hakikat bahawa teknologi harus diurus secara kritis dan beretika tanpa menjejaskan nilai sastera, Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan ceramah bertajuk “Penulisan Kesusasteraan dalam Era AI: Teknik, Analisis dan Etika Akademik” yang berlangsung di Bilik Persidangan PPPJJ, semalam.
Ceramah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar, pensyarah dan penggiat sastera itu menampilkan Pengerusi Bidang Elektif Kesusasteraan Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YBrs. Dr. Siti Nur Anis Muhammad Apandi sebagai penceramah.
Dalam ceramah tersebut, Dr. Siti Nur Anis menjelaskan bahawa kemunculan AI wajar dilihat sebagai peluang yang membuka ruang baharu dalam bidang penulisan kreatif dan akademik.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa teknologi berkenaan tidak seharusnya menggantikan keaslian pemikiran, kreativiti dan sensitiviti manusia yang menjadi asas kepada penghasilan karya sastera berkualiti.
Menurut beliau, AI boleh dimanfaatkan untuk membantu penulis menjalankan penyelidikan awal, menjana idea, menyusun struktur penulisan, serta mempercepat proses penyuntingan bahasa.
“Walau bagaimanapun, penulis perlu memiliki keupayaan untuk menilai, menapis dan memperhalusi setiap maklumat yang dihasilkan agar mutu, serta integriti karya terus terpelihara.
“AI ialah alat yang boleh dimanfaatkan secara bijaksana, namun tanggungjawab intelektual tetap berada di tangan penulis. Karya sastera yang baik lahir daripada pengalaman, pemikiran dan nilai kemanusiaan yang tidak dapat digantikan sepenuhnya oleh teknologi,” katanya.
Selain membincangkan teknik penggunaan AI, beliau turut menghuraikan kaedah analisis kritis terhadap teks digital, serta isu etika akademik yang semakin mendapat perhatian dalam dunia pendidikan tinggi.
Beliau juga mengingatkan peserta tentang kepentingan ketelusan dalam penggunaan AI, khususnya dalam penulisan akademik dan penyelidikan. Menurutnya, penggunaan teknologi tanpa kawalan berpotensi menimbulkan isu seperti plagiarisme, ketidakjujuran akademik dan penyebaran maklumat yang tidak sahih.
Pada akhir sesi, para peserta diberi peluang untuk berdialog dan berkongsi pengalaman tentang cabaran penggunaan AI dalam penulisan kreatif, penyelidikan, serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Ceramah tersebut diakhiri dengan ucapan penutupan oleh Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPPJJ, YBrs. Dr. Nik Norliati Fitri Md. Nor, yang menyifatkan program berkenaan sebagai antara inisiatif penting dalam meningkatkan kefahaman warga universiti terhadap impak AI dalam bidang kesusasteraan.
Menurut beliau, perkembangan teknologi digital menuntut ahli akademik dan pelajar agar sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan semasa tanpa mengabaikan nilai integriti, etika dan tanggungjawab ilmiah.