Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLondon – Beberapa hari lalu, pengiktirafan sastera yang berprestij dari United Kingdom, Women Prize, mengumumkan pemenangnya bagi edisi tahun 2026 yang terbahagi kepada kategori fiksyen dan bukan fiksyen. Pengumuman itu menarik perhatian umum apabila kedua-dua pengarang meraih kemenangan menerusi naskhah sulung mereka.
Virginia Evans dinamakan sebagai pemenang kategori fiksyen menerusi The Correspondent, manakala Ketua Koresponden Antarabangsa BBC, Lyse Doucet memenangi kategori bukan fiksyen menerusi The Finest Hotel in Kabul. Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai £30,000 susulan kemenangan itu.
Dalam satu temu bual bersama-sama wartawan dan penyiar Georgina Godwin, seperti yang dilaporkan oleh monocle.com, Evans menyebut kejayaan yang diperolehnya hadir selepas bertahun-tahun berdepan penolakan.
“Ya, memang banyak penolakan dan kegagalan. Tetapi saya tidak kisah. Saya selesa menganggap bahawa semua itu sebahagian daripada perjalanan saya. Saya mencuba, gagal, mencuba lagi, gagal lagi dan akhirnya berjaya,” katanya.
Malah, sebelum The Correspondent diterbitkan, tujuh manuskripnya pernah ditolak oleh penerbit.
Katanya, sebahagian manuskrip itu wajar terus disimpan kerana tidak lagi relevan untuk diterbitkan, walaupun beliau tetap menghargainya sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dalam bidang penulisan.
Sementara itu, The Finest Hotel in Kabul ialah penceritaan yang memaparkan sejarah moden Afghanistan dari perspektif orang awam.
Menariknya, Hotel Intercontinental yang menjadi lokasi cerita ini ialah tempat penginapan Doucet ketika membuat liputan di Afghanistan.
Menurut Doucet, beliau percaya kisah kecil sering kali mampu menggambarkan kebenaran yang lebih besar.
“Hotel itu telah lama menjadi sebahagian daripada sejarah Afghanistan. Ia pernah menjadi simbol kemewahan dengan kolam renang, koktel dan tetamu elit, sebelum berubah menjadi lokasi penting dalam usaha membangunkan demokrasi selepas tahun 2001,” katanya.
Doucet yang pernah menetap di hotel itu selama setahun berkata, bangunan berkenaan menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat Afghanistan, daripada golongan diraja sehingga rakyat biasa.
“Semua Afghanistan berada di sana. Hotel itu menjadi saksi kepada peperangan yang berlarutan selama beberapa dekad,” katanya.
Dalam temu bual itu, Doucet berkata beliau masih sukar mempercayai bahawa bukunya telah diterbitkan dan menerima pengiktirafan besar.
“Dalam dunia kewartawanan, kami selalu berkata bahawa anda hanya sehebat cerita seterusnya yang akan anda hasilkan. Saya masih tertanya-tanya bagaimana saya sempat menulis buku ini di tengah-tengah begitu banyak peristiwa besar dunia,” katanya.
Women Prize diperkenalkan pada tahun 1996 dengan pengiktirafan khusus kepada karya fiksyen dengan tujuan memperjuangkan suara wanita yang kurang diwakili, manakala kategori bukan fiksyen mula diperkenalkan pada tahun 2023 selepas kajian mendapati hanya 35.5 peratus pemenang daripada tujuh anugerah utama bukan fiksyen di United Kingdom sepanjang dekad sebelumnya terdiri daripada wanita.
Senarai pendek kategori fiksyen tahun ini turut menampilkan Flashlight karya Susan Choi, Dominion oleh Addie E Citchens, The Mercy Step karya Marcia Hutchinson, Kingfisher oleh Rozie Kelly, dan Heart the Lover karya Lily King.
Bagi kategori bukan fiksyen pula, senarai pendek turut merangkumi Art Cure, Artists, Siblings, Visionaries, Hotel Exile, Mother Mary Comes to Me, dan Nation of Strangers.