Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jualan novel klasik berjudul Wuthering Heights karya Emily Bronte mencatat peningkatan mendadak di United Kingdom, susulan langkah adaptasi naskhah itu ke layar perak oleh Emerald Fennell yang dijadualkan ditayangkan minggu hadapan.
Dua portal berita, The Guardian dan The Express Tribune melaporkan hal itu berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Penguin Classics UK, yang merekodkan kadar jualan novel itu mencecah sehingga 469 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut portal media berkenaan, untuk bulan Januari tahun ini sahaja, sebanyak 10,670 naskhah terjual, berbanding hanya 1,875 naskhah pada bulan Januari tahun sebelumnya, yang dianggap lonjakan luar biasa bagi judul yang sudah lama diterbitkan.
The Guardian melaporkan, peningkatan ketara itu mula dikesan sejak bulan September lalu, selepas treler pertama filem berkenaan dilancarkan. Jualan buku meningkat 132 peratus susulan treler berkenaan, dengan 28,257 naskhah terjual dari bulan September hingga hujung tahun, berbanding 12,134 naskhah dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Pengarah Penerbitan Penguin Classics, Jess Harrison, dipetik berkata, fenomena ini jarang-jarang berlaku bagi adaptasi filem daripada karya sastera klasik.
“Saya sukar mengingati adaptasi filem lain yang mencetuskan keterujaan sebesar ini terhadap buku asalnya. Wuthering Heights memang antara judul klasik yang sentiasa laris, namun kemunculan filem ini berlaku pada waktu yang sangat tepat,” katanya.
Beliau menambah, pembaca masa kini dilihat kembali tertarik pada kisah cinta yang sarat emosi, tragis dan ekstrem.
“Terdapat kerinduan terhadap naratif cinta yang penuh perasaan dan konflik. Kami turut menyaksikan peningkatan permintaan terhadap karya klasik lain yang berunsur emosi mendalam. Namun Wuthering Heights berbeza kerana sifatnya yang liar dan tidak terkawal, seolah-olah sesuai dengan suasana zaman yang juga serba ekstrem,” katanya.
Adaptasi naskhah itu yang disifatkan berprofil tinggi itu menampilkan Margot Robbie sebagai Catherine Earnshaw dan Jacob Elordi sebagai Heathcliff, dan akan ditayangkan di United Kingdom pada 13 Februari ini.
Filem itu digambarkan sebagai tafsiran moden yang lebih berani terhadap novel romantik Gothik tersebut, lengkap dengan kostum kontemporari serta runut bunyi oleh Charli XCX.
Walau bagaimanapun, terdahulu, bahan promosi filem itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan peminat karya Bronte dan pengulas dalam talian. Antara kritikan yang dilontarkan termasuk nada seksual yang dianggap keterlaluan serta pemilihan pelakon.
Misalnya, Margot Robbie yang berusia 35 tahun membawa watak Catherine yang berumur 19 tahun dalam novel, manakala pelantikan Elordi sebagai Heathcliff menghidupkan semula perdebatan mengenai identiti bangsa watak itu, yang sering ditafsirkan sebagai berketurunan Romani.
Namun bagi Harrison, adaptasi tidak semestinya perlu meniru sepenuhnya bahan sumber.
“Apa yang penting ialah semangat asal karya itu berjaya disampaikan. Bagi Wuthering Heights, elemen paling utama ialah keamatan emosi yang melampau,” katanya.