Oleh Karmila Azmi
4 Mei 2024, 06:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengarang asal Pulau Pinang, Tan Twan Eng berada dalam senarai akhir Hadiah Walter Scott untuk Fiksyen Sejarah 2024, menerusi novelnya, The House of Doors.

Pengumuman itu seperti yang dipaparkan dalam laman sosial rasmi anugerah itu pada 1 Mei lalu turut menamakan lima lagi pengarang yang berada dalam senarai sama, iaitu Tom Crewe bagi novel The New Life; Kevin Jared Hosein (Hungry Ghosts); Joseph O’Connor (My Father’s House); Kai Thomas (In the Upper Country); dan Rose Tremain (Absolutely and Forever).

Hadiah Walter Scott merupakan antara penganugerahan sastera tertinggi di United Kingdom dengan pemenang bakal menerima hadiah berjumlah £25,000.

Sementara itu, Twan Eng dalam Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada ucapan-ucapan tahniah dan komen, selain menambah bahawa berada dalam senarai akhir anugerah itu merupakan satu penghormatan

Hal ini merupakan kali kedua Twan Eng berada dalam senarai pengiktirafan berkenaan. Sebelum ini, novel keduanya The Garden Of Evening Mists, memenangi hadiah berkenaan pada tahun 2013.

Hadiah Walter Scott yang dimulakan sejak 60 tahun lalu ialah pengiktirafan pada novel berbahasa Inggeris yang diterbitkan di UK, Ireland dan negara Komanwel.

Pemenang untuk tahun ini akan diumumkan pada 13 Jun depan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.