Oleh Karmila Azmi
23 Februari 2024, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Novel The House of Doors oleh novelis kelahiran Pulau Pinang, Tan Twan Eng berada dalam senarai panjang Hadiah Walter Scott untuk Fiksyen Sejarah 2024 seperti yang diumumkan malam tadi.

Twan Eng yang kini menetap di Cape Town, Afrika Selatan turut menghebahkan kejayaan The House of Doors mara ke senarai panjang Walter Scott 2024 dalam laman Facebooknya, malam tadi.

Hal ini merupakan pencalonan kali kedua Twan Eng sesudah berjaya meraih anugerah itu pada tahun 2013 menerusi novel The Garden of Evening Mists.

Menerusi senarai yang diumumkan oleh sekretariat semalam, Twan Eng bakal bersaing dengan 11 lagi penulis handalan, antaranya termasuk Zadie Smith (The Fraud); Benjamin Myers (Cuddy) dan Joseph O’Connor (My Father’s House).

Turut berada dalam senarai sama ialah Tom Crewe (The New Life); Stephen Daisley (A Better Place); Kevin Jared Hosein (Hungry Ghosts); Victoria Mackenzie (For Thy Great Pain Have Mercy On My Little Pain); Alan Spence (Mister Timeless Blyth); Kai Thomas (In the Upper Country); Rose Tremain (Absolutely and Forever), dan Sally Magnusson (Music in the Dark).

Hadiah Walter Scott untuk fiksyen sejarah yang menawarkan hadiah sebanyak £25,000 (RM151,330) kepada pemenang ialah anugerah sastera British yang dimulakan pada tahun 2010. Nilai anugerah ini merupakan antara yang “termahal” di Britain.

Senarai pendek anugerah ini akan diumumkan pada bulan Mei, manakala pengumuman pemenang akan dibuat dalam bulan Jun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.