Oleh Adib MN
Diterbitkan pada 28 November 2025, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Novel pengarang Malaysia, Leading Ledang oleh Fadzlishah Johanabas menjadi antara novel yang diumumkan berjaya dicalonkan untuk Hadiah Sastera Dublin yang menawarkan hadiah bernilai €100,000 (RM478,800).

Novel Fadzlishah itu dicalonkan bersama-sama karya negara jiran, Singapura, iaitu The Original Daughter oleh Jemimah Wei, sekali gus berada dalam senarai keseluruhan 69 novel lain.

Semua karya itu dicalonkan oleh 80 perpustakaan dari 36 negara untuk edisi tahun 2026 merangkumi Afrika, Eropah, Asia, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Amerika Selatan, Australia, dan New Zealand.

Daripada senarai 2026 itu, 20 novel termasuk Leading Ledang dihasilkan oleh pengarang buku sulung, 30 karya diterjemahkan dalam 17 bahasa termasuk Portugis Brazil, Catalan, China, Jepun, dan Poland.

Turut dicalonkan ialah karya pengarang tersohor termasuk Dream Count karya Chimamanda Ngozi Adichie; Gliff (Ali Smith); The City and its Uncertain Walls (Haruki Murakami); dan The Empusium (Olga Tokarczuk).

Hadiah yang menilai novel ini dianggap antara paling berprestij yang bukan sahaja menganugerahkan hadiah wang €75,000 (RM359,200) kepada pengarang novel berkenaan, bahkan €25,000 (RM119,700) kepada penterjemahnya.

Hadiah Sastera Dublin 2026 bakal dinilai oleh panel yang dipengerusikan oleh Profesor Chris Morash, iaitu penyandang Seamus Heaney Professor of Irish Writing in Trinity College Dublin dan dianggotai oleh Clara Ministral yang juga penterjemah dan pejuang sastera Ireland; pengarang dan bekas diplomat termasuk bekas Duta Ireland ke Malaysia, Dan Mulhall; penyair dan aktivis sastera, Dike Chukwumerije; novelis, Disha Bose dan penulis serta pengarah filem, Xiaolu Guo.

Senarai panjang sehingga 20 judul untuk Hadiah Sastera Dublin 2026 akan diumumkan pada 17 Februari 2026, diikuti senarai pendek enam judul (7 April), manakala pengumuman pemenang akan dibuat pada 21 Mei pada acara Festival Sastera Antarabangsa Dublin (ILFD).

Pencalonan untuk Hadiah Sastera Dublin hanya boleh dilakukan oleh perpustakaan awam di seluruh dunia, manakala penerbit, pengarang atau penterjemah tidak dibenarkan untuk meminta perpustakaan untuk berbuat demikian dan jika terbukti berlaku, hal ini boleh membawa kepada pembatalan.

Karya yang dicalonkan juga ialah karya kreatif dan diterbitkan kali pertama dalam bahasa Inggeris atau diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris antara 1 Julai 2024 hingga 30 Jun 2025.

Hadiah Sastera Dublin ditaja oleh Majlis Bandaraya Dublin yang menjadikan sastera dan budaya sebagai antara komponen terpenting mereka yang turut berjaya mengangkat Dublin sebagai Kota Sastera UNESCO tahun 2010.

Kredit Foto: K. Mitch Hodge/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi