Diterbitkan pada 11 Mac 2026, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid menyatakan enam hujah mengapa filem adaptasi terbaharu “Wuthering Heights” ialah contoh sebuah adaptasi yang gagal.

Emosi menjadi sesuatu yang boleh dilihat, bukan sesuatu yang perlu direnungi.

Adaptasi novel kepada medium filem sering dianggap sebagai satu usaha untuk menghidupkan kembali teks klasik agar dapat berkomunikasi dengan khalayak baharu melalui bahasa visual yang lebih kontemporari. Dalam konteks ini, filem bukan sekadar berfungsi sebagai terjemahan cerita dari halaman ke layar, tetapi sebagai satu bentuk tafsiran kreatif yang membawa tanggungjawab besar terhadap makna, roh dan struktur pemikiran teks asal. Kejayaan sesebuah adaptasi tidak hanya diukur melalui keindahan sinematografi atau keberkesanan lakonan, tetapi melalui keupayaannya mengekalkan ketegangan intelektual, psikologi dan moral yang menjadi teras pada karya sastera yang diadaptasi.

Sebagai sebuah karya canon dalam tradisi sastera Inggeris, Wuthering Heights (1847) karya Emily Bronte, bukanlah sebuah novel cinta konvensional. Novel ini menggemukkan wacana yang gelap dan kompleks tentang cinta yang merosakkan, dendam yang diwarisi, konflik kelas sosial, serta keterasingan manusia dalam struktur masyarakat yang menindas. Hubungan antara Heathcliff dengan Catherine tidak dirangka sebagai percintaan ideal, sebaliknya sebagai tragedi eksistensial yang sarat dengan keganasan emosi dan kegagalan moral. Oleh itu, sebagai usaha adaptasi, teks ini menuntut pembacaan yang mendalam serta sensitiviti tinggi terhadap lapisan psikologi dan ideologi yang mendasarinya.

Versi filem Wuthering Heights” terbitan tahun 2026 yang diarahkan oleh Emerald Fennel, walaupun hadir sebagai sebuah karya visual yang menonjol dari segi estetika dan gaya, menimbulkan persoalan serius tentang cara adaptasi novel seharusnya dilakukan. Filem ini memperlihatkan kecenderungan untuk mengutamakan daya tarikan visual dan sensual daripada pembinaan konflik dalaman watak serta ketegangan moral yang menjadi nadi pada novel asal. Akibatnya, naratif yang dipersembahkan tampak licin dan memikat di permukaan, tetapi gagal menggugah secara intelektual dan emosional, seperti yang diharapkan daripada sebuah adaptasi teks klasik yang sarat dengan makna.

Sehubungan itu, esei ini berhujah bahawa filem adaptasi “Wuthering Heights” (2026) memperlihatkan satu contoh yang jelas bagaimana pengadaptasi gagal memahami roh teks asal, konflik psikologi watak dan etika adaptasi.

(1) Menggantikan Tafsiran Sastera dengan Estetika Permukaan

Salah satu kelemahan paling ketara dalam filem adaptasi “Wuthering Heights” ialah kecenderungannya untuk menggantikan tafsiran sastera yang mendalam dengan estetika visual yang bersifat permukaan. Filem ini memperlihatkan penumpuan yang kuat terhadap visual sensual, sinematografi yang digarap secara berlebihan serta representasi tubuh dan erotisme sebagai saluran utama emosi. Pendekatan ini mewujudkan pengalaman tontonan yang memikat secara deria, namun pada masa yang sama mengosongkan ruang refleksi psikologi dan intelektual yang seharusnya menjadi teras adaptasi sesebuah teks sastera yang kompleks.

Dalam novel asal, emosi watak dibentuk melalui konflik dalaman yang berpanjangan, trauma yang tidak diselesaikan, serta ketegangan moral yang sering tidak diluahkan secara langsung. Cinta, kebencian dan dendam tidak muncul sebagai ledakan emosi segera, tetapi berkembang melalui lapisan naratif, ingatan dan kekecewaan yang berulang. Namun, dalam adaptasi ini, emosi sering diterjemahkan secara literal melalui gerak isyarat fizikal, hubungan intim dan imej sensual yang berfungsi sebagai pengganti kepada proses psikologi yang lebih rumit. Akibatnya, emosi tidak lagi dirasai sebagai pengalaman batin yang menyeksa, sebaliknya dipersembahkan sebagai reaksi luaran yang pantas dan mudah ditangkap.

Pendekatan sedemikian menimbulkan satu kekeliruan asas tentang fungsi bahasa sinema dalam adaptasi sastera. Filem ini seolah-olah beranggapan bahawa apa yang tidak dapat diungkapkan melalui dialog atau monolog dalaman boleh digantikan sepenuhnya dengan keindahan visual dan intensiti sensual. Namun, estetika tanpa tafsiran tidak membina makna, hanya mencipta kesan. Sinematografi yang indah dan tubuh yang dirakam secara erotik mungkin menghasilkan rangsangan emosi sementara, tetapi gagal menyampaikan keretakan psikologi, konflik kelas dan keganasan emosi yang menjadi inti pada hubungan watak dalam novel Wuthering Heights.

Kesannya, konflik dalaman watak tidak berkembang secara organik. Penonton diperlihatkan emosi, tetapi tidak dibimbing untuk memahami bagaimana emosi tersebut terbentuk, mengapa hal itu berlarutan dan bagaimana hal itu memusnahkan watak dari dalam. Emosi menjadi sesuatu yang boleh dilihat, bukan sesuatu yang perlu direnungi. Kesannya, gaya visual bukan lagi alat untuk memperdalam makna, tetapi menjadi pengganti kepada makna itu sendiri.

Kesalahan adaptasi yang terhasil daripada pendekatan ini ialah kepercayaan bahawa emosi sastera dapat diterjemahkan secara langsung melalui imej sensual tanpa memerlukan struktur tafsiran yang kukuh. Adaptasi seperti ini gagal menyedari bahawa kekuatan novel bukan terletak pada apa yang dapat dilihat, tetapi pada apa yang tidak dapat diselesaikan dalam jiwa wataknya. Apabila estetika permukaan mengatasi tafsiran sastera, adaptasi bukan sahaja kehilangan kedalaman, malah mengkhianati sifat gelap dan mengganggu yang seharusnya menjadi kekuatan utama teks asal.

(2) Menyederhanakan Watak Kompleks Menjadi Arketaip Romantik

Satu lagi kelemahan mendalam dalam filem “Wuthering Heights” ialah kecenderungannya untuk menyederhanakan watak-watak yang asalnya kompleks dan tidak selesa menjadi arketaip romantik yang mudah diterima. Menerusi novel, Heathcliff dan Catherine dibina sebagai watak yang bermasalah secara emosi dan moral, malah sering menimbulkan rasa tidak selesa kepada pembaca. Mereka bukan watak yang direka untuk disukai, tetapi untuk difahami sebagai hasil trauma, ketidakseimbangan kuasa dan kegagalan struktur sosial yang menindas.

Heathcliff, khususnya, bukan sekadar figura lelaki tragis yang terluka oleh cinta. Dia watak yang dipacu oleh dendam, obsesi dan sering bertindak secara kejam serta manipulatif. Kekerasannya bukan sifat sampingan, tetapi manifestasi pada pengalaman keterasingan dan penindasan yang berpanjangan. Catherine pula tidak kurang kompleksnya; dia bersifat bercanggah, egoistik dan sering memanipulasikan emosi orang di sekelilingnya demi memenuhi kehendak diri. Hubungan mereka bukan hubungan yang harus dirayakan, tetapi hubungan yang memperlihatkan bagaimana cinta boleh menjadi alat pemusnahan diri dan orang lain.

Namun, dalam adaptasi 2026, kerumitan watak-watak ini dilunakkan dengan ketara. Heathcliff lakonan Jacob Elordi dipersembahkan dengan daya tarikan yang dominan, lebih mudah dibaca sebagai mangsa keadaan berbanding ejen keganasan emosi. Catherine lakonan Margot Robbie pula ditampilkan dengan sisi romantik yang menonjol, sementara sifat destruktif dan pertentangan dalaman yang membentuk tindakannya menjadi kurang mencabar secara moral. Akibatnya, hubungan antara kedua-dua watak ini cenderung dibaca sebagai kisah cinta tragis yang indah, bukannya tragedi hubungan yang sarat dengan kerosakan psikologi dan etika.

Penyederhanaan ini membawa implikasi yang besar terhadap makna keseluruhan naratif. Apabila watak dijadikan terlalu “menarik” dan mudah untuk mendapat simpati, konflik etika yang sepatutnya memaksa penonton berfikir dan menilai mula terhakis. Watak tidak lagi berfungsi sebagai ruang ketegangan moral, sebaliknya sebagai medium empati yang selesa. Penonton diajak untuk merasakan emosi watak, tetapi tidak dicabar untuk mempersoalkan tindakan mereka. Dalam hal ini, kekaburan moral yang menjadi kekuatan utama novel telah digantikan dengan kejelasan emosi yang bersifat permukaan.

Kesalahan adaptasi yang jelas di sini ialah usaha untuk menjinakkan watak agar selari dengan selera penonton moden yang cenderung mencari protagonis yang boleh diratapi dan dirayakan. Pendekatan ini mengabaikan hakikat bahawa novel Wuthering Heights tidak pernah menawarkan watak teladan atau hubungan ideal. Dengan menghapuskan ketidaksenangan dan keganasan moral watak, adaptasi ini bukan sahaja menyederhanakan naratif, malah memadamkan konflik etika yang menjadi jantung pada teks asal. Watak-watak yang sepatutnya mengganggu akhirnya menjadi cantik untuk ditonton, tetapi gagal menggugat secara intelektual dan emosional.

(3) Menukar Tragedi Eksistensial kepada Melodrama Sensual

Sebenarnya, dalam novel Wuthering Heights, tragedi tidak hadir sebagai kesedihan yang indah atau penderitaan yang dapat dirayakan secara emosional. Tragedinya bersifat eksistensial, berakar pada cinta yang merosakkan, dendam kelas sosial yang berpanjangan, serta trauma dan keterasingan yang diwarisi merentas generasi. Hubungan antara watak-watak utama tidak menawarkan kelegaan emosi, sebaliknya mengekalkan ketegangan yang berterusan, menimbulkan rasa tidak selesa dan menolak penutupan moral yang mudah. Pembaca dipaksa untuk berhadapan dengan kesan jangka panjang pilihan manusia yang gagal memahami diri, cinta dan kuasa.Namun, dalam filem adaptasi “Wuthering Heights”, sifat tragedi ini telah dialihkan kepada bentuk melodrama sensual yang lebih mudah dihadam. Penderitaan psikologi yang seharusnya membentuk watak dari dalam digantikan dengan intensiti emosi yang dipamerkan secara luaran melalui adegan-adegan romantik dan estetik. Kesakitan batin tidak lagi dibina sebagai proses yang perlahan dan menghancurkan, tetapi disingkatkan menjadi momen-momen emosi yang dramatik dan segera. Akibatnya, tragedi kehilangan sifatnya sebagai pengalaman eksistensial yang menekan, lalu berubah menjadi persembahan emosi yang memikat tetapi sementara.

Peralihan ini turut mengubah nada keseluruhan naratif. Kegelapan dan ketidakselesaan yang menjadi kekuatan novel, yakni rasa bahawa cinta dan dendam tidak dapat diselesaikan dengan mudah, digantikan dengan estetika romantik yang melembutkan konflik. Tragedi tidak lagi berfungsi untuk menggugat, sebaliknya untuk mengharukan. Penonton diajak untuk merasakan emosi watak, tetapi tidak dipaksa untuk merenungi implikasi moral dan sosial yang lebih mendalam. Dalam proses ini, penderitaan kehilangan makna transformasinya dan menjadi sekadar alat untuk mencipta suasana dramatik.

Penggantian tragedi dengan melodrama ini juga mengaburkan peranan trauma dan kelas sosial dalam membentuk tindakan watak. Dendam dan keterasingan yang seharusnya difahami sebagai kesan struktur sosial yang tidak adil menjadi latar yang kabur, sementara hubungan romantik diletakkan di hadapan sebagai pusat emosi. Tragedi yang asalnya bersifat sistemik dan berlapis kini diringkaskan kepada konflik peribadi yang boleh diselesaikan melalui empati dan tarikan emosional.

Anggapan bahawa tragedi klasik perlu dilembutkan agar lebih serasi dengan kepekaan penonton kontemporari menjadi kesalahan adaptasi yang ketara di sini. Pendekatan ini gagal memahami bahawa kekuatan novel Wuthering Heights terletak pada keengganannya untuk memberikan keselesaan emosi. Dengan menukar tragedi eksistentsial kepada melodrama sensual, adaptasi ini bukan sahaja mengurangkan ketegangan naratif, malah menghilangkan keupayaannya untuk menggugat penonton secara mendalam. Tragedi yang sepatutnya meninggalkan kesan yang berpanjangan akhirnya menjadi pengalaman emosi yang indah dipandang, tetapi cepat berlalu dan kurang berbekas.

(4) Mengabaikan Struktur Sosial dan Politik Teks Asal

Kegelapan dan ketidakselesaan yang menjadi kekuatan novel, yakni rasa bahawa cinta dan dendam tidak dapat diselesaikan dengan mudah, digantikan dengan estetika romantik yang melembutkan konflik.

Seterusnya, harus diketahui bahawa dalam novel Wuthering Heights, konflik emosi watak tidak pernah terpisah daripada struktur sosial dan politik zamannya. Novel ini sarat dengan isu kelas, marginal, kuasa, dan pemilikan yang membentuk identiti serta tindakan watak-wataknya. Heathcliff khususnya, bukan sekadar watak tragis dalam hubungan cinta, tetapi simbol subjek terpinggir yang dibentuk oleh penindasan sosial, ketidaksamaan kelas dan ketiadaan hak milik. Dendam dan keganasannya bukan lahir daripada emosi semata-mata, tetapi daripada pengalaman disisihkan dalam sistem sosial yang menutup ruang mobiliti dan pengiktirafan.

Meskipun begitu, menerusi versi filem, dimensi sosial ini kelihatan semakin terpinggir. Konflik watak dipersembahkan terutamanya sebagai masalah peribadi dan emosi, seolah-olah terpisah daripada konteks sejarah dan struktur kuasa yang membentuknya. Hubungan antara Heathcliff dengan Catherine ditumpukan sebagai konflik cinta individu, sementara latar kelas dan penghias naratif bukan sebagai faktor penentu makna. Akibatnya, naratif kehilangan lapisan kritikal yang sepatutnya menyingkap bagaimana emosi dan kekerasan peribadi saling berkait dengan ketidakadilan sosial.

Pengasingan ini membawa kesan yang signifikan terhadap pembacaan watak Heathcliff. Dalam novel, keduduknya sebagai individu yang terpinggir menjadikan tindakannya walaupun kejam sebagai respons kompleks terhadap sistem yang menindas. Dalam adaptasi ini, apabila konteks kelas tidak lagi diberikan penekanan yang jelas, Heathcliff cenderung ditampilkan sebagai figura romantik yang didorong oleh kekecewaan cinta semata-mata. Peralihan ini mengaburkan hakikat bahawa keganasan emosinya merupakan manifestasi konflik sosial yang lebih luas, bukan sekadar hasil penderitaan peribadi.

Filem “Wuthering Heights” dengan visual yang penuh estetik.

Lebih jauh lagi, pengabaian struktur sosial ini turut menjejaskan pemaknaan terhadap ruang dan pemilikan. Rumah, tanah dan warisan yang dalam novel berfungsi sebagai simbol kuasa dan dominasi kelas, kehilangan peranan ideologinya dan menjadi latar estetika semata-mata. Tanpa penekanan terhadap makna sosial ini, naratif gagal menunjukkan bagaimana pemilikan dan kehilangan membentuk hierarki kuasa serta menentukan nasib watak-wataknya. Emosi watak menjadi terapung, tidak berakar pada realiti sejarah yang memberikan tekanan yang berterusan.

Oleh itu, kecenderungan untuk mengasingkan emosi watak daripada konteks sejarah dan struktur kuasa yang membentuknya menjadi kesalahan adaptasi yang kritikal bagi filem ini. Pendekatan ini bukan sahaja menyempitkan makna konflik, malah melemahkan kritikan sosial yang terkandung dalam teks asal. Apabila struktur sosial dipadamkan, tragedi novel Wuthering Heights kehilangan dimensi politiknya dan dikurangkan kepada kisah peribadi yang terasing. Adaptasi sebegini akhirnya gagal menyampaikan bahawa penderitaan dan keganasan emosi dalam novel bukan sekadar soal cinta, tetapi cerminan kegagalan sistem sosial yang menindas dan tidak berperikemanusiaan.

(5) Salah Faham terhadap Konsep “Kebebasan Adaptasi”

Selain itu, salah satu masalah konseptual yang mendasari filem adaptasi ini ialah salah faham terhadap makna kebebasan dalam proses adaptasi. Filem ini seolah-olah beroperasi atas andaian bahawa adaptasi yang bebas membenarkan pengubahsuaian menyeluruh terhadap nada, watak dan makna teks asal, selagi hasil akhirnya kelihatan segar dan kontemporari. Namun begitu, kebebasan adaptasi yang tidak disertai dengan tanggungjawab tafsiran sering kali membawa kepada pengosongan makna, bukan pengayaan.

Dalam bidang kajian adaptasi, Linda Hutcheon menegaskan bahawa adaptasi bukanlah sekadar pemindahan cerita daripada satu medium kepada medium lain, tetapi satu bentuk “interpretation and re-creation”. Kebebasan kreatif, menurutnya, perlu berakar pada dialog yang berterusan dengan teks asal, bukannya pemutusan hubungan dengannya. Adaptasi yang berjaya bukan yang mengulangi cerita secara literal, tetapi yang mengekalkan persoalan, ketegangan dan juga kerumitan makna, walaupun dalam bentuk baharu.

Filem adaptasi “Wuthering Heights” kelihatan menggunakan kebebasan adaptasi sebagai lesen untuk menyingkirkan unsur-unsur yang dianggap “tidak selesa” atau sukar diterjemahkan secara visual, seperti keganasan emosi yang berlarutan, kekaburan moral watak dan kritikan kelas sosial yang keras. Sebaliknya, pembikin memilih untuk mengekalkan unsur-unsur yang lebih mudah dipasarkan, iaitu romantik, estetika tubuh dan emosi yang dapat dirasai secara segera. Kebebasan adaptasi di sini tidak digunakan untuk memperdalam tafsiran, tetapi untuk mempermudah pengalaman tontonan.

Pandangan ini selari dengan kritikan Robert Stam, yang mengingatkan bahawa adaptasi sering gagal apabila hasilnya menanggap teks asal sekadar bahan mentah yang boleh dibentuk sesuka hati tanpa mengambil kira ideologi dan struktur makna yang terkandung di dalamnya. Stam menegaskan bahawa adaptasi sentiasa bersifat ideologikal, setiap pemilihan estetika dan naratif mencerminkan nilai tertentu. Apabila adaptasi memilih untuk melembutkan konflik atau menjinakkan watak, hal itu bukan tindakan neutral, tetapi keputusan ideologi yang mengubah maksud karya asal.

Menerusi adaptasi ini, kebebasan artistik tampaknya difahami sebagai kebebasan daripada beban intelektual teks asal. Akibatnya, filem ini tidak lagi berfungsi sebagai tafsiran kritikal terhadap novel Wuthering Heights, tetapi sebagai versi yang disaring mengikut kepekaan budaya popular kontemporari. Tragedi digantikan dengan melodrama, konflik sosial dilarutkan menjadi konflik peribadi dan watak-watak yang bermasalah secara moral dijadikan lebih mudah untuk disukai. Semua ini mencerminkan satu bentuk adaptasi yang bebas dari segi bentuk, tetapi miskin dari segi tanggungjawab makna.

Pihak produksi jelas melakukan kesalahan adaptasi di sini, yakni menyamakan kebebasan kreatif dengan pengabaian kedalaman teks. Kebebasan adaptasi seharusnya membuka ruang untuk tafsiran baharu yang mencabar dan memperluas makna, bukan menutupnya demi keselesaan penonton. Apabila kebebasan digunakan untuk mengelak ketegangan moral dan konflik struktural, adaptasi kehilangan fungsi intelektualnya. Hasil filem tidak lagi berdialog dengan teks asal, sebaliknya berdiri sebagai karya yang terputus daripada akar sasteranya.

Dalam hal ini, filem adaptasi “Wuthering Heights” menjadi contoh bagaimana kebebasan adaptasi yang tidak disertai dengan kesedaran teori dan etika tafsiran boleh mengakibatkan sesebuah karya yang kelihatan berani dan moden, gagal memikul warisan intelektual teks klasik yang diadaptasinya.

(6) Implikasi dan Pengajaran daripada Kegagalan Adaptasi

Kebebasan adaptasi seharusnya membuka ruang untuk tafsiran baharu yang mencabar dan memperluas makna, bukan menutupnya demi keselesaan penonton.

Kegagalan filem adaptasi “Wuthering Heights” bukan sekadar persoalan selera estetika atau perbezaan tafsiran, tetapi membawa implikasi yang lebih luas terhadap pemahaman tentang fungsi adaptasi sastera dalam budaya kontemporari. Apabila sebuah teks klasik yang sarat dengan konflik psikologi, ketegangan moral dan kritikan sosial diolah menjadi karya yang selesa dan mudah dihadam, adaptasi tersebut secara tidak langsung menyempitkan ruang pemikiran yang sepatutnya dibuka oleh karya asal.

Salah satu implikasi utama ialah normalisasi penyederhanaan karya sastera kompleks demi memenuhi jangkaan pasaran dan kepekaan penonton semasa. Adaptasi seperti ini mengajarkan bahawa emosi harus segera, watak harus disukai dan konflik harus dilembutkan agar tidak mengganggu pengalaman tontonan. Kesannya, sastera klasik berisiko ditafsir semula bukan sebagai teks yang mencabar dan mengganggu, tetapi sebagai sumber naratif romantik yang boleh diubah mengikut kehendak visual dan emosi semasa.

Dari sudut pedagogi dan akademik, adaptasi ini turut memberikan kesan terhadap cara generasi baharu memahami karya canon. Apabila konflik kelas, keganasan emosi dan ambiguiti moral dipadamkan atau diperkecil, penonton yang tidak kembali kepada teks asal mungkin membuat gambaran yang terpesong tentang makna sebenar novel Wuthering Heights. Novel yang sepatutnya menimbulkan ketidakselesaan intelektual dan pertanyaan etika berisiko dikenali hanya sebagai kisah cinta tragis yang indah dan estetik.

Selain itu, adaptasi ini juga mencerminkan satu kecenderungan budaya yang lebih luas, keengganan untuk berdepan dengan naratif yang sukar, gelap dan tidak memberikan penutupan emosi yang memuaskan. Dalam konteks ini, kegagalan adaptasi bukan semata-mata kegagalan teknikal, tetapi kegagalan budaya untuk menerima bahawa tidak semua karya sastera perlu disesuaikan agar menyenangkan. Ada teks yang berfungsi atas ketajaman, ketidakselesaan dan kekerasan moralnya.

Menerusi novel, Catherine dan Heathcliff yang dibina sebagai dua watak utama yang bermasalah secara emosi dan moral diberikan tempelan emosi atas dasar masalah cinta semata-mata dalam filem terbaharu Emerald Fennell.

Namun demikian, kegagalan ini juga membawa satu nilai pedagogi yang penting. Hal ini menjadikan filem adaptasi “Wuthering Heights” sebagai kes kajian yang berguna untuk memahami batas dan tanggungjawab adaptasi sastera. Melalui analisis terhadap apa yang dihilangkan, dilembutkan atau disederhanakan, pengkaji, pelajar dan pembikin filem dapat mengenal pasti elemen-elemen yang tidak seharunya dikorbankan dalam proses adaptasi. Dalam erti kata lain, kegagalan ini berfungsi sebagai amaran tentang risiko menanggalkan kedalaman demi daya tarikan segera.

Implikasi terakhir yang paling signifikan ialah pengesahan bahawa adaptasi bukanlah proses neutral. Setiap keputusan estetik dan naratif membawa implikasi ideologi. Apabila adaptasi memilih untuk memadamkan konflik kelas, menjinakkan watak bermasalah dan menukar tragedi eksistensial kepada melodrama sensual, hal ini secara sedar atau tidak sedang membentuk semula nilai yang diwariskan oleh teks asal. Filem adaptasi “Wuthering Heights” memperlihatkan bagaimana kegagalan membaca teks secara serius boleh menghasilkan karya yang kelihatan moden dan berani, tetapi kehilangan keupayaan untuk menggugat, mencabar dan memperluas pemikiran penontonnya.

Hal ini menjadikan filem adaptasi “Wuthering Heights” sebagai kes kajian yang berguna untuk memahami batas dan tanggungjawab adaptasi sastera.

Sebagai penutup, adaptasi filem ini memperlihatkan bahawa kegagalan sesebuah adaptasi novel tidak semestinya berpunca daripada kekurangan sumber, bakat atau keberanian artistik, tetapi sering kali lahir daripada salah faham terhadap sifat teks yang diadaptasi. Dalam usaha menjadikan karya klasik ini lebih mudah diakses dan menarik secara visual, adaptasi ini telah mengorbankan elemen-elemen teras yang membentuk kekuatan asal Wuthering Heights, iaitu konflik psikologi yang berpanjangan, kekaburan moral watak, serta ketegangan sosial dan politik yang tidak pernah diselesaikan.

Melalui penyederhanaan watak, peralihan tragedi eksistemsial kepada melodrama sensual dan pengasingan emosi daripada konteks sejarah serta struktur kuasa, adaptasi ini telah menukar sebuah teks yang mengganggu dan mencabar menjadi pengalaman tontonan yang estetik tetapi selesa. Apa yang hilang bukan sekadar perincian naratif, tetapi keseluruhan kerangka makna yang menjadikan novel Wuthering Heights sebuah karya sastera yang terus relevan dan mencabar pembaca merentas zaman.

Kes ini mengingatkan bahawa adaptasi bukanlah soal “mengemas kini” teks lama agar serasi dengan selera semasa, tetapi soal mengekalkan ketegangan intelektual dan moral yang menjadikan teks itu penting. Apabila adaptasi memilih untuk melembutkan, menjinakkan dan memperindah apa yang sepatutnya keras, bercanggah dan tidak menyenangkan, hasilnya sebenarnya menafikan fungsi kritikal sastera itu sendiri. Tragedi yang tidak lagi menyakitkan, watak yang tidak lagi mengganggu dan konflik yang tidak lagi berakar pada struktur sosial hanyalah bayangan pada kekuatan teks asal.

Dalam konteks ini, filem adaptasi “Wuthering Heights” berfungsi sebagai contoh yang signifikan tentang bagaimana cara untuk tidak mengadaptasi novel. Filem ini memperlihatkan bahawa kesetiaan dalam adaptasi tidak diukur melalui kesamaan plot atau latar, tetapi melalui kesungguhan memahami roh teks, keberanian mengekalkan ketidakselesaan dan kesediaan membiarkan penonton berdepan dengan konflik yang tidak menawarkan kelegaan emosi segera. Tanpa kesedaran ini, adaptasi berisiko menjadi karya yang cantik di permukaan, tetapi gagal menanggung beban intelektual dan etika yang diwarisi daripada sastera klasik yang diadaptasinya.

_________________________

Mohamed Nazreen Shahul Hamid (Dr.) ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia. Beliau tertumpu pada bidang kesusasteraan, budaya dan media. Kebanyakan kajiannya meliputi pengajian media dan sastera, filem dan sastera, gender dalam sastera, dan kesusasteraan bandingan. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi