Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – YBrs. Dr. Siti Raihani Mohd. Saaid, penyelidik filem P. Ramlee mengucapkan terima kasih kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kerana turut mencetuskan ilham bagi kemunculan filem adaptasi Melayu.
“P. Ramlee turut mencadangkan penerbitan filem daripada cerita rakyat terkenal, Batu Belah Batu Bertangkup,” ujar beliau.
“Filem yang memakai judul serupa itu telah dihasilkan pada tahun 1959 oleh Malay Film Productions di bawah arahan Allahyarham Dato’ Jamil Sulong,” tambah YBrs. Dr. Siti Raihani sewaktu menjadi ahli panel Wacana Buku ke Skrin: Transformasi Karya Sastera pada 29 Mei 2026 di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Acara itu diadakan bersempena dengan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di WTCKL dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026.
Menerusi pembentangan bertajuk “Sejarah Buku ke Skrin: Satu Tinjauan Susastera”, beliau turut mengimbas kembali hasrat beberapa orang tokoh perfileman tanah air yang mengadaptasi novel Sandera, karya Sasterawan Negara (SN) Arena Wati, terbitan DBP pada tahun 1971.
“P. Ramlee menyatakan sedemikian ketika mengumumkan penubuhan Sharikat Perusahaan Filem Malaysia Sdn. Bhd. atau PERFIMA oleh tokoh-tokoh berkenaan, seperti yang dilaporkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 24 Oktober 1972.”
“Sandera ialah cadangan filem adaptasi pertama yang akan diterbitkan oleh syarikat berkenaan,” ujar Siti Raihani.
Selain menerbitkan filem, PERFIMA juga mengedarkan filem-filem luar negara, khususnya dari Indonesia.
“Sandera yang menggambarkan perjuangan kemerdekaan sehingga era konfrontasi Malaysia-Indonesia akan dihasilkan dalam warna-warni, dan menjalani penggambaran di Celebes, Pantai Barat Semenanjung, Johor Bahru, Kota Tinggi, dan Singapura. Malangnya, hasrat tersebut tidak kesampaian,” katanya.
YBrs. Dr. Siti Raihani turut mengimbau kembali pengadatasian cemerlang pengarah Allahyarham Hussein Haniff terhadap naskhah Hang Jebat sehingga menjadi filem berjudul serupa yang ikonik pada tahun 1961, selain teater Macbeth karya William Shakespeare pada tahun 1623 kepada filem Istana Berdarah (1964).
Kedua-keduanya terbitan Cathay-Keris Film Productions.
Menjawab pertanyaan Encik Za’im Yusoff selaku moderator, beliau menyatakan bahawa kewujudan Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 menjadi faktor yang kuat tehadap usaha pengadaptasian karya susastera kepada filem.
“Ketika itu, hubungan sasterawan dan warga filem memang rapat. SN Usman Awang pernah berhasrat menjalani uji bakat sebagai pelakon filem. Walau bagaimanapun, Allahyarham tidak melangkah ke dunia perfileman kerana menerima tawaran menjadi wartawan yang lebih diminatinya,” jelas YBrs. Dr. Siti Raihani.
Beliau mengatakan, tanpa diketahui punca sebenarnya, keadaan tersebut sekarang jauh berbeza.
“Saya fikir sasterawan dan karyawan filem hari ini perlu bergaul mesra. Acara seperti wacana ini perlu diadakan lebih kerap untuk memupuk keserasian dan persefahaman.”
YBrs. Dr. Siti Raihani turut mengakui bahawa P. Ramlee telah mengadaptasi cerita rakyat Melayu dengan baik untuk filem Musang Berjanggut dan Nujum Pak Belalang.
Dalam hal pengadaptasian yang gagal, beliau memberikan contoh filem Imam (2023) daripada novel besar SN Abdullah Hussain yang sangat lemah sehingga gagal di pasaran.
“Memang sukar mengadaptasi novel setebal 600 halaman itu, yang telah diterima oleh banyak pembaca.
“Barangkali pengarah yang juga penulis skrip tertinggal beberapa perkara penting sehingga hasilnya membuatkan banyak penonton tidak berpuas hati,” katanya yang turut mengkritik kejanggalan dalam filem Puteri Gunung Ledang (2004) jika dibandingkan dengan filem Puteri Gunung Ledang (1961) yang lebih setia pada sumber asal sastera Melayu.
Katanya, mungkin kelainan naratif dilakukan atas nama lesen kreatif, tetapi apabila hal itu melibatkan penerimaan khalayak yang telah berakar umbi, paparan kelainan itu kuat tertolak. Sebaliknya, tambah beliau, tidak mengapa jika kreativiti dalam pengadaptasian itu diterima dengan baik.
Wacana tersebut turut menampilkan Encik Wan Afzam Wan Daud, Penerbit Rancangan, Unit Drama TV, Radio Televisyen Malaysia dan Encik Azrie Izham Hamzah, Timbalan Dekan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan sebagai ahli panel.