Diterbitkan pada 28 November 2025, 08:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid memperkenalkan siri mini yang ditayangkan di Netflix, The Leopard, antara karya adaptasi penting dari dunia sastera Itali. Karya ini pernah diangkat oleh The Guardian sebagai antara sastera sejarah terpenting dunia.

Walaupun masih berpaksikan konflik kelas dan perubahan zaman, siri ini membingkaikan semula kisah lama dengan nuansa sinematik yang lebih dinamik, pantas dan dramatik …

Karya agung sastera Itali II Gattopardo atau The Leopard yang ditulis oleh Giuseppe Tomasi di Lampedusa pada tahun 1958 telah lama dianggap sebagai naskah yang melakar keindahan, kegetiran dan kejatuhan bangsawan di Sicily sewaktu perubahan politik pasca-Risorgimento.

Kulit novel Il Gattopardo edsi pertama.

Dalam dunia kesusasteraan Eropah, karya ini bertindak menampilkan renungan yang dalam tentang masa lalu, kehancuran struktur aristokrat serta kekosongan yang ditinggalkan oleh perubahan zaman. Keupayaan novel ini menggambarkan kesunyian jiwa watak utamanya, Putera Don Fabrizio, menjadikannya antara teks yang paling berpengaruh dalam kesusasteraan pascamoden Itali.

Lebih enam dekad selepas penerbitan novelnya dan 60 tahun selepas adaptasi sinematiknya yang ikonik oleh Luchino Visconto (1963), The Leopard muncul semula dalam bentuk adaptasi baharu sebagai drama bersiri di Netflix pada tahun 2025. Siri ini bukan sekadar cubaan menghidupkan semula kisah klasik, tetapi turut menawarkan pendekatan visual moden yang kaya dengan sinematografi indah, serta perubahan dalam struktur naratif yang memberi penekanan baharu kepada watak wanita dan konflik dalaman generasi muda bangsawan. Adaptasi ini hadir dalam suasana era penstriman global, yang mana keperluan untuk menyesuaikan naskhah klasik dengan selera penonton kontemporari menjadi cabaran utama penciptaannya.

Bertepatan dengan itu, penulisan ini membincangkan bagaimana The Leopard versi Netflix bukan sahaja menjadi medan adaptasi sastera ke layar kaca, tetapi juga memperlihatkan seni sinematik yang mencerminkan pertembungan antara warisan sastera dengan keperluan naratif moden. Di samping menilai kekuatan visual dan gaya penceritaan, perbincangan ini juga akan menelusuri persoalan tentang sejauh mana adaptasi tersebut berjaya mengekalkan semangat asal novel sambil memberikan interpretasi baharu dalam bingkai zaman yang serba berubah.

Daripada Novel kepada Filem lalu kepada Siri

Karya The Leopard bermula sebagai novel yang tidak mendapat perhatian sewaktu hayat pengarangnya, namun akhirnya secara anumerta pada tahun 1958 lalu segera diangkat sebagai karya agung sastera Itali moden. Novel ini menyuguhkan naratif introspektif melalui watak Putera Don Fabrizio, seorang bangsawan yang bergelut dengan perubahan zaman dan juga kejatuhan nilai lama yang menjadi asas identiti sosialnya. Lampedusa (1960/2010:185) menulis dengan penuh liris dan kerinduan terhadap masa silam, seperti yang tergambar dalam ungkapan, “We were the Leopards, the Lions; those who’ll take our place will be jackals, hyenas …” Petikan ini mencerminkan bukan sahaja keangkuhan golongan aristokrat, tetapi juga kesedaran mendalam tentang kebinasaan sistem yang tidak lagi relevan dalam dunia moden.

The Leopard (1963)

Adaptasi pertama dalam bentuk filem telah digarap oleh pengarah ternama Itali, Luchino Visconti, pada tahun 1963. Filem ini dianggap sebagai salah satu adaptasi sastera terbaik abad ke-20 kerana berjaya menangkap roh dan suasana novel dengan cemerlang. Melalui lakonan penuh wibawa oleh Burt Lancaster sebagai Don Fabrizio, filem ini mengetengahkan unsur visual yang epik, serta irama naratif yang lambat tetapi mendalam. Babak tarian terakhir yang berpanjangan, sebagai contoh, menjadi metafora tentang ketengan sebelum berakhirnya sebuah dunia lama. Visconti, yang juga berasal daripada latar aristokrat, membawa ke layar satu bentuk penghormatan kepada dunia yang sedang lenyap, yakni suatu pencapaian sinematik yang bersifat kontemplatif dan elegi.

Namun begitu, versi terbaharu The Leopard dalam siri mini Netflix (2025) tampil dengan pendekatan berbeza yang disesuaikan dengan cita rasa generasi penonton era penstriman. Watak Don Fabrizio kini diperlihatkan dengan lebih emosional, manakala naratif turut mengangkat watak Concetta, iaitu anak perempuan Don Fabrizio dengan suara batin yang lebih lantang, sekali gus menawarkan tafsiran yang lebih kontemporari dari sudut peranan wanita. Walaupun masih berpaksikan konflik kelas dan perubahan zaman, siri ini membingkaikan semula kisah lama dengan nuansa sinematik yang lebih dinamik, pantas dan dramatik, yakni selaras dengan kehendak penonton masa kini yang lebih menekankan elemen visual dan konflik dalaman yang mudah dicerna.

Seni Sinematik dalam Adaptasi Moden

Dalam era penstriman global, aspek visual sebenarnya bukan sekadar pelengkap naratif, tetapi menjadi daya penarik utama sesebuah adaptasi. The Leopard versi Netflix menonjolkan seni sinematik yang mewah melalui penggunaan pencahayaan semula jadi, landskap Sicilian yang memukau, serta komposisi bingkai yang berjaya menyerlahkan nuansa kemegahan dan kehancuran bangsawan lama. Kostum, perhiasan dalaman dan warna emas serta tanah digunakan bukan hanya untuk menggambarkan zaman, tetapi juga untuk membina suasana nostalgik yang kontras dengan latar perubahan politik yang bergolak. Keindahan visual ini merupakan sebahagian daripada strategi adaptasi untuk menarik khalayak kontemporari yang lebih responsif terhadap gaya visual sinematik berbanding dialog panjang yang berat.

Namun begitu, kekuatan visual semata-mata tidak mencukup untuk mengekalkan semangat asal karya sastera. Di sinilah pentingnya menilai adaptasi ini melalui lensa teori adaptasi sastera. Linda Hutcheon dalam bukanya A Theory of Adaptation (2006) menyatakan bahawa adaptasi bukankan satu bentuk tiruan atau salinan, tetapi sebuah bentuk “tafsiran kreatif” yang membawa makna baharu terhadap karya asal. Adaptasi, menurutnya, ialah proses yang mengubah naratif dengan menyesuaikan konteks, medium dan khalayak. Berdasarkan perspektif ini, siri The Leopard (2025) boleh dilihat sebagai satu usaha untuk mentafsir semula naratif klasik dengan membina semula fokus penceritaan, terutamanya dengan memberi kedudukan lebih signifikan kepada watak Concetta, tanpa mengkhianati kerangka asalnya.

Siri mini The Leopard (2025) terbitan Netflix.

Malah, adaptasi tersebut juga menggemakan pandangan Robert Stam (2000) yang menolak anggapan bahawa kesetiaan (fidelity) terhadap teks asal adalah satu-satunya ukuran kejayaan adaptasi. Sebaliknya, beliau menekankan intertekstualiti, iaitu sesebuah adaptasi sentiasa berinteraksi bukan sahaja dengan teks asal, tetapi juga dengan konteks budaya dan wacana kontemporari. Misalnya, penambahan elemen introspektif dan feminisme halus melalui watak Concetta memberi peluang kepada penonton moden untuk memahami konflik warisan dan suara wanita dalam konteks yang lebih relevan. Siri ini tidak berhasrat untuk menjadi cermin datar pada novel, sebaliknya menjadi pantulan bergelombang yang menangkap getar zaman kini.

Isu Naratif dan Perspektif Baharu

Menerusi siri adaptasi, suara Concetta tidak lagi sekadar gema bunyi dalam naratif lelaki, tetapi diberikan lebih ruang untuk berkembang. Lantas, memperlihatkan kesedaran kendiri, kemarahan yang terpendam dan impian yang tersembunyi oleh perempuan dalam sistem yang menindas secara halus.

Salah satu ciri utama yang membezakan adaptasi The Leopard (2025) daripada versi terdahulu ialah peralihan sudut pandang naratif yang lebih memfokus pada konflik dalaman watak-watak muda dan wanita, terutamanya Concetta. Dalam novel asal, Concetta digambarkan sebagai anak perempuan Don Fabrizio yang pendiam dan penuh dengan konflik emosi yang terpendam, terutama apabila cintanya terhadap sepupunya Tancredi, tidak dibalas. Konflik tersebut menjadi latar batin yang halus tetapi signifikan dalam memahami bagaimana perubahan sosial turut memberi kesan terhadap identiti dan harga diri wanita dalam keluarga bangsawan.

Menerusi siri adaptasi, suara Concetta tidak lagi sekadar gema bunyi dalam naratif lelaki, tetapi diberikan lebih ruang untuk berkembang. Lantas, memperlihatkan kesedaran kendiri, kemarahan yang terpendam dan impian yang tersembunyi oleh perempuan dalam sistem yang menindas secara halus. Hal ini menonjolkan usaha untuk memperbetulkan ketidakseimbangan representasi yang wujud dalam teks asal melalui tafsiran visual dan dramatik yang lebih empati terhadap watak wanita.

Perkembangan watak Concetta dalam adaptasi ini juga mencerminkan pendekatan yang seiring dengan gelombang naratif moden yang mengangkat agensi wanita dan konflik dalam sebagai unsur dramatik utama. Sebagai contoh, siri ini memanfaatkan teknik imbas kembali dan suara latar untuk memperlihatkan kekecewaan Concetta terhadap pemilihan Angelica oleh Tancredi, serta perasaan terasingnya dalam dunia yang tidak memberi ruang untuk wanita menyuarakan perasaan. Hal ini ialah bentuk pembacaan semula yang selari dengan pandangan Julie Sanders (2006) bahawa adaptasi yang bersifat appropriative mampu menonjolkan unsur yang sebelumnya tidak diberi penekanan dalam teks sumber. Maka, The Leopard (2025) bukan sekadar menghidupkan semula cerita, tetapi turut memperbaiki ketidakseimbangan naratif yang mencerminkan struktur patriarki dalam teks asal.

Watak Concetta.

Watak Tancredi pula mengalami pembentukan yang lebih kompleks dalam siri ini. Jika dalam novel dan filem Visconti, Tancredi lebih dilihat sebagai pemuda cerdik dan pragmatik, iaitu seorang yang pandai menyesuaikan diri dengan perubahan politik demi kelangsungan hidup, maka dalam siri ini, keperibadian Tancredi diperlihatkan lebih kontradiktif dan emosional. Keputusannya untuk memilih Angelica, anak daripada keluarga borjuis bukan sekadar strategi sosial, tetapi juga mencerminkan keinginan untuk menggabungkan masa depan baharu dengan masa lalu bangsawan. Namun begitu, dalam siri adaptasi, pilihan tersebut dipaparkan dengan lebih dramatik, termasuk kegusarannya terhadap penerimaan Don Fabrizio dan kerenggangan hubungannya dengan Concetta. Malah, terdapat adegan yang menunjukkan ketegangan batin Tancredi dalam memilih antara cinta dengan cita-cita, antara kesetiaan kepada keluarga dengan aspirasi peribadi, menjadikan watak ini sebagai medan pertembungan antara nilai lama dengan nilai baharu dalam struktur sosial Sicily pasca-Risorgimento.

Melalui adaptasi ini juga, watak Don Fabrizio ditampilkan sebagai figura yang lebih sentimental dan goyah daripada gambaran asalnya yang tenang dan penuh kebijaksanaan. Kejelasan emosinya diluahkan secara lebih terbuka, yakni bukan sahaja dalam dialog, tetapi juga melalui pergerakan tubuh, tatapan mata dan kesunyian yang melingkari kehadirannya. Watak ini tidak lagi hanya menjadi lambang kejatuhan aristokrasi, tetapi turut dipaparkan sebagai seorang lelaki yang sedang kehilangan makna dirinya dalam dunia yang tidak lagi mengenali nilai yang pernah dijunjungnya. Dalam banyak adegan, watak ini dirakam sebagai bayang yang perlahan-lahan menghilang dari pusat kehidupan sosialnya, suatu perlambangan yang puitis tentang kematian simbolik kelas pemerintah lama. Malah, kegusaran, keraguan dan kepasrahannya terhadap perubahan dizahirkan secara perlahan tetapi mendalam, menambahkan unsur tragik yang lebih manusiawi. Fabrizo bukan hanya mewakili zaman yang sedang tenggelam, tetapi juga jiwa yang terbenam dalam kehampaan dan kehancuran batin.

Siri ini juga memperlihatkan perubahan dalam teknik penceritaan. Jika novel asal lebih memanfaatkan narator omniscient atau “serba melihat semua” dan teknik deskriptif yang lambat serta reflektif, adaptasi ini menggunakan teks dramatik yang lebih tersurat, dengan dialog yang padat dan sinematografi yang memvisualkan emosi melalui cahaya, ruang dan gerakan kamera. Setiap watak diberikan “tubuh” visual yang tersendiri; Don Fabrizio sering disorot dari jarak jauh sebagai figura yang kesepian; Tancredi dirakam melalui kamera bergerak pantas yang menggambarkan kelincahan dan keraguannya, manakala Concetta kerap diabadikan dalam bingkai statik, simbol pada keterasingan dan ketidakmampuan bertindak. Strategi ini memperkukuh peralihan sudut pandang, iaitu daripada kisah golongan elit yang memudar kepada drama emosi individu yang terluka dalam struktur sosial yang menindas.

Secara keseluruhan, pendekatan naratif dan perspektif baharu dalam adaptasi ini mencerminkan satu bentuk peleraian antara tradisi dan tafsiran semula. Watak-watak yang selama ini berfungsi sebagai simbol kini diberi dimensi psikologi dan emosi yang lebih halus, lebih manusiawi, Di sinilah adaptasi ini menyerlah, apabila ia mampu menyentuh dimensi batin manusia dalam konteks sejarah yang besar, sambil memberikan suara kepada yang selama in diam dalam sejarah dan sastera.

Tancredi dan Angelica.

Adaptasi sebagai Tafsiran, Bukan Salinan

Dalam menilai keberhasilan sesebuah adaptasi, salah satu kekeliruan yang sering timbul dalam kalangan penonton dan pengkritik ialah kebergantungan terhadap konsep kesetiaan pada teks asal. Meskipun kesetiaan naratif sering dijadikan penanda aras dalam adaptasi sastera, pendekatan tersebut boleh menjadi terlalu membataskan, apatah lagi dalam konteks medium visual yang berbeza struktur dan keperluan. Adaptasi The Leopard versi Netflix menunjukkan dengan jelas bahawa penghasilan semula naratif bukan semata-mata soal mengekalkan butir plot, tetapi soal bagaimana cerita dan emosi dapat ditafsirkan semula untuk khalayak yang berbeza, melalui bahasa sinema yang pelbagai dan berlapis.

Hutcheon (2006) menyatakan bahawa setiap adaptasi ialah satu bentuk palimpsest, teks baharu yang masih mengandungi jejak teks lama, namun ditulis di atasnya dengan lapisan makna baharu. Oleh itu, The Leopard (2025) perlu dibaca bukan sebagai salinan pada novel Lampedusa atau filem Visconti, tetapi sebagai satu tafsiran visual yang mencerminkan zaman penstriman dan cita rasa estetika masa kini. Penekanan terhadap babak-babak dramatik yang lebih ketara, penggunaan teknik kamera yang intim dan berpindah-pindah sudut, serta suntingan yang lebih laju menggambarkan bahawa naratif yang bersifat elegi dalam novel kini diberi bentuk yang lebih langsung, emosional dan berkesan untuk penonton digital.

Lebih penting lagi, adaptasi ini memperlihatkan bahawa tafsiran visual mampu membangkitkan dimensi baharu pada naratif asal. Dengan memberikan ruang yang lebih kepada watak Concetta dan meneroka lapisan psikologi watak Don Fabrizio secara lebih terbuka, siri ini menyorot realiti emosi yang kadangkala tersembunyi dalam gaya penulisan klasik. Dalam hal ini, Stam (2000) menegaskan bahawa adaptasi perlu dilihat sebagai hiperteks yang berinteraksi secara bebas dengan hipoteks asalnya, yakni bukan untuk menyaingi, tetapi untuk meluaskan cakerawala makna. The Leopard di Netflix tidak berhasrat menggantikan versi novel atau filem, tetapi bertindak mengemukakan suatu wacana visual tentang ketidakpastian, kehancuran dan harapan dalam zaman yang terus berubah.

Watak Don Fabrizio.

Adaptasi dan Cabaran Zaman Penstriman

Lebih penting lagi, adaptasi ini memperlihatkan bahawa tafsiran visual mampu membangkitkan dimensi baharu pada naratif asal.

Menerusi ekosistem media digital masa kini, platform penstriman Netflix telah mengubah bukan sahaja cara khalayak menonton karya visual, tetapi juga cerita disampaikan dan diadaptasi. Siri mini adaptasi The Leopard (2025) wujud dalam ruang yang bukan lagi eksklusif kepada penggemar sastera atau penonton filem festival, tetapi kini perlu bersaing dalam pasaran kandungan global yang melimpah dengan pilihan. Penonton hari ini menuntut bukan sahaja jalan cerita yang kuat, tetapi juga paparan visual yang menawan, perwatakan yang kompleks dan irama naratif yang lebih tangkas dan emosional. Dalam konteks ini, pengkarya adaptasi perlu bijak mengimbangi antara menghormati sumber sastera dengan menarik minat khalayak yang lebih luas dan pelbagai.

Adaptasi The Leopard (2025) turut mencerminkan tekanan struktur penstriman, iaitu episod yang perlu ditamatkan dengan elemen dramatik, penceritaan yang sesuai untuk binge-watching dan pengolahan watak yang lebih konfrontatif. Hal ini menyebabkan sebahagian elemen kontemplatif dalam novel asal perlu disingkatkan atau digantikan dengan visualisasi emosi yang lebih tersurat. Sebagai contoh, renungan falsafah Don Fabrizio dalam novel yang panjang dan mendalam diolah semula melalui bahasa tubuh, muzik latar dan ekspresi wajah dalam siri ini. Teknik ini berupaya membawa emosi yang setara, tetapi dengan pendekatan yang lebih sesuai dengan norma tontonan masa kini.

Namun begitu, cabaran ini juga membuka peluang pada bentuk-bentuk adaptasi yang lebih berani, pelbagai perspektif dan tidak diterima oleh konvensi sinematik tradisional. Dalam era pascakesetiaan ini, penonton semakin terbuka pada interpretasi kreatif selagi naratif itu mampu memberi resonansi emosi dan makna pada kehidupan moden mereka. Maka, The Leopard versi Netflix boleh dilihat sebagai contoh bagaimana adaptasi sastera klasik tidak semestinya menjadi produk nostalgia, tetapi boleh menjadi ruang eksperimentasi sinematik yang mengekalkan roh asal sambil membuka lorong baharu pada pemahaman teks.

The Leopard versi Netflix membuktikan bahawa adaptasi sastera bukan sekadar proses pemindahan teks layar, tetapi sebuah seni tafsiran yang kompleks dan bernuansa. Dalam menghidupkan kembali naratif klasik Giuseppe Tomasi di Lampedusa, siri mini ini bukan sahaja mengangkat keindahan sinematik yang mencerminkan kemewahan dan kehancuran zaman bangsawan, malah turut memperkaya naratif melalui sudut padang yang lebih seimbang dan kontemporari. Watak seperti Concetta diberi ruang suara yang sebelumnya terpinggir, sementara konflik dalaman Don Fabrizio diterjemahkan secara emosional dalam bentuk visual yang puitis.

Melalui bingkai teori adaptasi sastera seperti yang dihujahkan oleh Hutcheon (2006), Sanders (2006) dan Stam (2000), dapat difahami bahawa adaptasi tidak seharusnya dinilai dari sudut kesetiaan terhadap teks asal semata-mata. Sebaliknya, harus diraikan sebagai usaha kreatif untuk mengekalkan semangat karya, sambil membuka ruang kepada tafsiran baharu yang relevan dengan perubahan zaman, medium dan khalayak. The Leopard (2025) dengan itu menjadi contoh adaptasi yang merentas batas, antara sastera dengan sinema, antara masa lalu dengan masa kini, antara kekal dengan berubah.

Berdasarkan landskap penstriman hari ini, karya klasik seperti The Leopard tidak lagi hanya berada di rak buku atau arkib filem, tetapi dihidangkan semula dalam bentuk yang hidup, dinamik dan dekat dengan penonton. Adaptasi sebegini bukan sahaja menyambung hayat sesebuah karya sastera, malah memperluaskan capaian dan kefahaman terhadapnya dalam kalangan generasi baharu. Justeru, seni adaptasi harus terus dihargai bukan sebagai cermin, tetapi sebagai jambatan, iaitu antara teks dengan tafsir, antara tradisi dengan inovasi, antara sejarah dengan masa depan.

Rujukan

Hutcheon, L., 2006. A Theory of Adaptation. Oxfordshire: Routledge.

Lampedusa, G. T. di, 1960/2010. The Leopard (Il Gattopardo). Diterjemahkan oleh A. Colquhoun. New York: Random House. (Teks asal diterbitkan pada tahun 1958).

Sanders, J., 2006. Adaptation and Appropriation. Oxfordshire: Routledge.

Stam, R., 2000. “Beyond Fidelity: The Dialogics of Adaptation” dlm. J. Naremore (ed.). Film Adaptation. New Jersey: Rutgers University Press.

Siri mini Il Gattopardo boleh ditonton di Netflix.

_________________________

Mohamed Nazreen Shahul Hamid (Dr.) ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia. Beliau tertumpu pada bidang kesusasteraan, budaya dan media. Kebanyakan kajiannya meliputi pengajian media dan sastera, filem dan sastera, gender dalam sastera, dan kesusasteraan bandingan. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].

Kredit Foto: Art Institute of Chicago dan Netflix
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi