Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Encik Wan Afzam Wan Daud, Penerbit Rancangan, Unit Drama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberitahu bahawa pengadaptasian karya sastera kepada medium skrin memerlukan tiga perkara, iaitu cerita, suasana cerita dan roh cerita.
Hal yang lebih penting lagi, setiap pengadaptasian perlu mengekalkan roh atau jiwa karya asal.
Kenyataannya itu dikongsikan semasa menjadi ahli panel Wacana Buku ke Skrin: Transformasi Karya Sastera pada 29 Mei 2026 di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL.
Wacana tersebut diadakan bersempena dengan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026.
Wan Afzam turut memberikan beberapa karya manga atau komik Jepun sebagai contoh karya adaptasi yang kuat.
“Mengenai keberanian atau tidak dalam pengadaptasian, mengambil keputusan untuk mengadapatasi itu sendiri sudah merupakan satu keberanian.
“Mengadaptasi bukan kerja mudah. Memanjangkan sesuatu yang pendek dalam karya asal, misalnya, adalah satu cabaran,” ujar beliau.
Dalam hal pengarahan karya adaptasi yang berkaitan dengan keberanian artistik, kata Wan Afzam, ada pengarah yang ego sehingga melakukan “pengkhianatan”.
“Maksudnya, dia tidak mengikut tiga perkara yang disebutkan tadi, terutama dari soal roh karya asal.
“Kalau ‘khianat’ sedikit pun salah, maka ‘pengkhianatan’ besar memang tidak boleh dimaafkan, kerana dia mencabut roh karya asal,” tegas beliau.
Dalam isu kesetiaan terhadap karya asal, soal tersebut, tambah Wan Afzam, perlu melihat pada jumlah peruntukan atau dana penerbit.
Masa yang panjang diambil untuk membedah skrip misalnya, pasti mempengaruhi jumlah kos penerbitan.
“Pengarah tidak rugi apa-apa kalau penonton tidak menyukai atau jatuh cinta terhadap karya yang diadaptasi. Sebaliknya, mereka (sebenarnya) yang rugi,” tambah Wan Afzam dalam wacana yang turut dijayakan oleh YBrs. Dr. Siti Raihani Mohd. Saaid, dan Encik Azrie Izham Hamzah, Timbalan Dekan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan sebagai ahli panel.
Dalam usaha untuk memastikan masyarakat dapat menerima baik karya sastera yang hebat dan seterusnya diadaptasi dengan cemerlang, beliau menyarankan agar sistem pendidikan negara perlu meletakkan karya berkenaan di tempat yang sewajarnya.
“Seeloknya, karya-karya sastera, terutama sekali oleh Sasterawan Negara diperkenalkan lebih awal kepada pelajar di sekolah.
“Apabila kita lambat memperkenalkannya, atau hanya ( baru diperkenalkan) untuk pelajar sekolah menengah tidak akan memberikan hasil yang bagus,” ujar Wan Afzam.