Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Berdasarkan pengalamannya mengajar, Encik Azrie Izham Hamzah mengatakan bahawa kemungkinan ada dua jenis pelajar filem, iaitu yang menganggap tugasan hanya sekadar tugasan dan pelajar yang mahu meneroka atau menyelidik.
“Maka, dua jenis pelajar ini yang mahu tidak mahu terpaksa dihadapi,” tambah Timbalan Dekan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini apabila ditanya tentang pelajar di ASWARA.
Semasa menjadi ahli panel Wacana Buku ke Skrin: Transformasi Karya Sastera pada 29 Mei 2026, di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Azrie Izham kemudian bertanya, di manakah sastera?
Beliau yang turut menjadi pengamal sastera tidak menafikan ada segelintir anggota masyarakat hari ini yang mahu mendekati sastera.
“Melihat buku sendiri diadaptasi kepada filem, drama atau hasil karya alih wahana yang lain memang menjadi impian setiap penulis.
“Akan tetapi, menerbitkan karya adaptasi memang satu kesukaran. Bukan semua pengarah mahu dan mampu melakukannya,” ujar beliau.
“Dalam hal ‘mengkhianati’ karya asal, hal ini boleh dilakukan jika ada peluang. Walau bagaimanapun, usaha itu tidak semudah itu,” jelas Azrie yang sentiasa memegang kata-kata Allahyarham Zakaria Ariffin.
Menurut beliau, tokoh teater terkemuka tanah air itu menegaskan bahawa adaptasi ialah segala-galanya. Dalam kata lain, pengadaptasi perlu setia dengan karya asal.
Sehubungan dengan itu, tambahnya, karya asal sewaktu proses adaptasi perlu ditaati agar sesebuah wacana berjalan dengan adil serta seimbang.
Azrie turut menambah, masyarakat Malaysia akan lebih dekat pada budaya menghargai ikatan sastera dengan medium skrin apabila usaha mengapresiasi serta membaca karya sastera dan menonton terus diamalkan.
Dua ahli panel lain termasuklah Encik Wan Afzam Wan Daud, Penerbit Rancangan, Unit Drama TV, Radio Televisyen Malaysia dan YBrs. Dr. Siti Raihani Mohd Saaid.
Wacana anjuran DBP itu diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di WTCKL dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026.