Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Sebuah manuskrip jawi klasik yang dipercayai antara naskhah tertua pernah ditemukan di Sarawak berpotensi mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dicadangkan untuk pencalonan di bawah Program Memori Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Manuskrip berjudul Pengembaraan Sri Sultan dan Sultan Tengah ke Sebuah Gunung itu turut dijadual diwartakan sebagai warisan negeri di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, manuskrip berkenaan mempunyai nilai sejarah dan budaya yang tinggi kerana menjadi antara sumber primer paling penting tentang kehidupan serta pemerintahan Sultan Tengah.

Beliau berkata, manuskrip yang ditulis dalam tulisan Jawi oleh Sultan Tengah itu bukan sekadar merakamkan pengalaman peribadi baginda, malah membuka ruang baharu kepada penyelidikan sejarah Sarawak.

“Secara ringkas, manuskrip ini menceritakan pengalaman Sultan Tengah bersama-sama individu di sekelilingnya ketika itu. Jika diteliti, ia boleh dianggap sebagai diari peribadi yang merakamkan perjalanan hidup baginda.

“Ini antara manuskrip paling tua yang pernah ditemui di Sarawak. Saya belum pernah melihat manuskrip yang begitu lengkap sehingga mencecah 179 halaman dan mengandungi catatan yang begitu terperinci,” katanya, seperti yang dilaporkan oleh Borneo Post Online dan TVS.

Abdul Karim berkata, penemuan manuskrip berkenaan memberikan gambaran lebih jelas mengenai sejarah Sultan Tengah yang selama ini banyak diketahui melalui catatan ringkas dan sumber sekunder.

Katanya, masyarakat umum mungkin hanya mengenali Sultan Tengah melalui makam baginda di Santubong, namun manuskrip itu memperincikan perjalanan hidup, pengalaman serta peristiwa yang dilalui oleh baginda sepanjang pemerintahannya.

“Banyak perkara yang sebelum ini tidak diketahui dapat ditelusuri melalui manuskrip ini. Ia membuka peluang kepada penyelidikan lebih mendalam mengenai sejarah dan biografi Sultan Tengah,” katanya.

Sultan Tengah atau Sultan Ibrahim Ali Omar Shah Ibni Almarhum Sultan Muhammad Hassan merupakan putera kepada Sultan Muhammad Hassan, pemerintah kesembilan Kesultanan Brunei yang memerintah di antara tahun 1582 hingga 1598.

Selepas kemangkatan Sultan Muhammad Hassan, Sultan Tengah dilantik sebagai Sultan Sarawak pada tahun 1599 bagi mengelakkan pertikaian pewarisan takhta dengan kakandanya, Sultan Abdul Jalilul Akhbar yang kemudiannya menjadi Sultan Brunei ke-10.

Menyedari kepentingan dokumen berkenaan, satu pasukan penyelidik daripada Jabatan Muzium Sarawak (JMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak memulakan kajian lanjut terhadap manuskrip itu pada tahun 2021.

Menjelang tahun berikutnya, naskhah berkenaan berjaya ditransliterasi dan diterjemahkan sepenuhnya oleh penyelidik JMS dengan kerjasama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak serta pemantauan pakar manuskrip UiTM Sarawak.

Abdul Karim berkata, penyelidik kini sedang menjalankan analisis kandungan secara terperinci bagi meneliti maklumat yang terkandung dalam manuskrip tersebut.

Menurut beliau, manuskrip itu bukan sahaja penting dari sudut sejarah, malah mempunyai nilai akademik yang besar kerana mampu membantu penyelidik memahami pemikiran, kepimpinan dan kedudukan Sultan Tengah sebagai pemerintah.

“Dari sudut filologi, manuskrip ini turut menyediakan bahan penting untuk mengkaji gaya bahasa, teknik penulisan dan unsur simbolik yang terdapat dalam teks klasik Melayu,” katanya.

Beliau yakin sekiranya pencalonan UNESCO berjaya, hal ini akan meningkatkan minat penyelidik tempatan dan antarabangsa terhadap sejarah Sarawak serta memperkukuh usaha pemuliharaan warisan dokumentari negeri.

Kredit Foto: Sarawak Edition SE
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi