Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBaru-baru ini, heboh kalangan pemerhati sastera Sarawak apabila mendengar khabar bahawa ada pengarang besar di sana yang menarik diri daripada dunia penulisan selama-lamanya. Hafizah Iszahanid pergi menyiasat dan menjejak Sasterawan Negeri Sarawak Jong Chian Lai dan pengarang yang sudah lama membisu, Awangku Merali Pengiran Mohamed.
Kedua-duanya pengarang berpengaruh dalam ranah sastera kebangsaan …
Dunia penulisan boleh diibaratkan sebagai ladang luas yang menabur benih pohon. Ada yang akan tumbuh subur, menjadi agam dan menjangkau usia puluhan tahun, namun ada yang tidak sempat bertunas atau hidup mekar dalam masa singkat, tapi tidak berjejak.
Mungkin umumnya ramai percaya resipi kekal dalam dunia penulisan ialah konsentrasi dan ketekalan, namun penulisan ialah perjalanan intelektual yang panjang. Justeru, ada yang akan memilih untuk mengasingkan diri atau berehat, malah ada lebih drastik meninggalkan terus dunia penulisan atas pelbagai sebab.
Bagi dua pengarang besar, Jong Chian Lai dan Awangku Merali Pengiran Mohamed, kedua-duanya pengarang berpengaruh dalam ranah sastera kebangsaan, peralihan musim berlaku dalam bentuk sama tetapi tidak serupa. Seorang memilih untuk bersara, namun seorang lagi memilih untuk “pause”. Chian Lai dan Awangku Merali, kedua-duanya berasal dari Sarawak, justeru latar budaya yang pelbagai dan unik itu menjadi antara nada yang mewarnai karya mereka.
Pemberontakan dan Ah Fook adalah antara novel Chian Lai yang kerap diperkatakan oleh sarjana, selain beberapa lagi, misalnya Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga dan Pindah.
Sara Beden ketika membentangkan kajiannya, “Pemikiran Jong Chian Lai dari Perspektif Teksdealisme” dalam Bengkel Penyelidikan Kajian Pemikiran Penerima SEA Write, Mei lalu menyebut, novel Pemberontakan memperlihatkan lonjakan pemikiran Chian Lai ke arah perjuangan nasional yang membabitkan watak pelbagai kaum dalam menentang penjajah Inggeris.
Paling menarik katanya, Pemberontakan turut membentangkan realiti masyarakat yang berpecah dan saling mencurigai, tetapi turut memaparkan keberanian segelintir individu dalam menuntut keadilan dan membela maruah bangsa.

Chian Lai ialah penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award 2006 dan Sasterawan Negeri Sarawak Keempat, menjadikan beliau antara penulis berpengaruh dalam ranah sastera kebangsaan. Deretan karyanya mendapat pengiktirafan peringkat negeri dan kebangsaan sejak mula menulis sekitar 1970-an. Malah, sebelum memutuskan bersara secara rasmi pada tanggal 10 Oktober lalu, Chian Lai ialah pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 menerusi novel remajanya, Merom.
Beliau ketika dihubungi susulan keputusannya itu menyebut, dalam usianya menjangkau 65 tahun, begitu banyak tuntutan untuk berkarya yang tidak lagi dapat beliau penuhi.
Memetik kata-katanya, beliau menyebutkan begini, “Disiplin menulis saya cukup konsisten, saya menulis cerpen atau novel tiga jam sehari, tapi sekarang, mata mudah mengalah selain pembacaan juga makin kurang. Jadi saya ingin mengutamakan kesihatan, apatah lagi sudah menulis melebihi empat dekad, bermula pada tahun 1978. Dah-dah, cukup saya mengorbankan diri untuk kesusasteraan.”
Kata Chian Lai lagi, hasil karyanya juga sudah terdampar pada tembok konvensional tanpa dapat beralih pada teknik yang terkini.
“Maka kata orang, kalau kita melakukan perkara yang sama, ia tidak menghasilkan apa-apa perubahan, maka lebih baik menoktahkan saja,” katanya.
Sebenarnya, tindakan saya sekadar satu jeda …
Awangku Merali pula mengambil langkah yang berbeza. Walaupun tidak bersara, beliau memilih untuk berehat panjang atau beliau menggunakan istilah “pause” sewaktu ditanyakan mengenai keberadaannya dalam ranah sastera kebangsaan.
Pause untuk Awangku Merali merujuk satu jeda yang bukan bermaksud berhenti, tetapi suatu bentuk penarikan diri bagi menilai semula makna penulisan dan arah seni.

Langkah diamnya tentu saja menimbulkan tanda tanya kerana seperti Chian Lai, Awangku Merali ialah sebutir lagi permata sastera Sarawak yang karyanya memberi impak kuat, meskipun jumlah karya yang dihasilkan agak terhad. Mohamad Saleeh Rahamad (2008) menyebut, dalam tempoh hampir dua dekad (1983 – 2003) berkarya, hanya 14 buah cerpennya (termasuk 12 buah yang dikumpulkan dalam Cerita dari Sebuah Taman), dua skrip drama diterbitkan, manakala sebuah lagi baru memenangi hadiah skrip drama sejarah sempena 40 Sarawak merdeka.
Nama Awangku Merali mula menyerlah sekitar 1980-an sebelum memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 menerusi cerpen “Angin dari Senayan”, manakala kumpulan cerpen pertamanya terbit pada tahun 2001. Pengkaryaan beliau turut mencapah ke pelbagai genre lain, termasuk skrip drama. Antara karya beliau yang dikenali ialah “Tukang Ensera”.
Abang Sallehuddin Ab. Shokeran dan Hashim Ismail (2017) menyebut, melalui skrip “Tukang Ensera” ini, Awangku Merali berusaha menyedarkan khalayak bahawa keperluan untuk mempertahankan nilai tradisi dan adat budaya sebagai elemen jati dirinya yang kental adalah penting dalam menghadapi kesan arus globalisasi yang dianggap sebagai kolonialisme baharu.
Walau bagaimanapun, kebelakangan ini, pengkaryaan Awangku Merali seakan-akan terhenti, malah ada khabar-khabar angin yang mendakwa beliau sudah pun bersara.
Sebaliknya, Awangku Merali ketika dihubungi menafikannya, malah untuk beliau, seseorang penulis tak akan pernah bersara seperti seorang penjawat awam, jadi khabar angin itu bukan saja tak benar tetap silap faktanya.
“Sebenarnya, tindakan saya sekadar satu jeda, pause, yang benar-benar problematik kepada keyakinan dan falsafah matlamat ketika saya mula menulis dulu. Dulu usaha pejuang bahasa Melayu amat jelas untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semua strata rakyat. Saya juga terdorong ke arah perjuangan indah ini dengan harapan semoga hasil saya dapat berkontribusi pada pembangunan khazanah bangsa,” katanya.
Walau bagaimanapun, kata beliau, hari ini perjuangan bahasa dan pendidikan kebangsaan tidak seperti yang beliau impikan, meskipun berada dalam negaranya sendiri dan memiliki undang-undang tersendiri.
Oleh itu, kata Awangku Merali, beliau memerlukan jeda!
“Buku Melayu pun kurang dibaca. Majalah DBP pun sukar didapati. Saya sekadar pause! Tak pernah terfikir untuk bersara sebab saya menulis pun tanpa diundang, justeru saya jeda tanpa pamitan.
“Istilah bersara yang didengar itu daripada orang yang tak memahami ideologi negara, malas berfikir, cukup dengan gemerlapan material, tanpa ideal perjuangan. Saya sekadar pause. Insya-Allah pada suatu hari, keyakinan saya berubah, saya akan berkarya untuk diri sendiri, meskipun nampaknya terlalu mementingkan diri sendiri,” katanya.
Kata Awangku Merali, beliau kini membangunkan belia melalui keusahawanan digital. Kini, terwujud sebuah bangunan, TEGAS Digital Village yang menampung usahawan digital dari Sarawak dan ASEAN.
“Pada tahun 2021, saya berhenti sebagai CEO setelah 10 tahun bersama-sama Kerajaan Negeri. Amat puas melihat bangunan itu, seperti puasnya saya menerima penghargaan tentang karya saya dulu. Jadi pause, tak apa, kerana bersama belia pun gunakan kreativiti,” katanya.
Walau apa-apa pun pilihan kedua-dua tokoh ini, keputusan kedua-duanya ialah refleksi realiti yang lebih dekat, yakni penulisan ialah sebuah perjalanan intelektual yang panjang dan pasti akan melelahkan. Dalam konteks Chian Lai dan Awangku Merali, meskipun bersara atau memilih jeda, dari tarikh ini hingga puluhan tahun lagi, karya-karya mereka akan kekal diperkatakan kerana kekuatan naskhah itu yang mahal, bukan keberadaan pengarang itu sendiri.

RUJUKAN
Abang Sallehuddin Abg Shokeran Hashim Ismail. “‘Tukang Ensera’: Seni Tradisi Berdepan Cabaran Modenisasi” dlm. Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 28, 2017.
Mohammad Saleeh Rahamad. “Awangku Merali: Mengembalikan Timur kepada Timur” dlm. Jurnal Pengajian Media Malaysia 10:1, 2008.
Sara Beden 2025. “Pemikiran Jong Chian Lai dari Perspektif Teksdealisme”. Kertas kerja Bengkel Penyelidikan Kajian Pemikiran Penerima SEA Write. Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 29 Mei 2025.
_________________________
Hafizah Iszahanid berasal dari Chemor, Perak. Beliau sudah banyak menghasilkan novel, cerpen, puisi, dan esei. Novelnya, Bukan Orangorang (ITBM, 2015) memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015. Baru-baru ini, dua novelnya menjadi pemenang sayembara penulisan; Kuala Lumpur di Sebalik Bulan (PENA, 2021), pemenang Hadiah Utama Sayembara Penulisan Kota Buku Dunia Kuala Lumpur 2020 dan Tabula Rasa (Gapeniaga, 2021), Hadiah Kedua Sayembara Penulisan Novel Futuristik GAPENA-DBP.