Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Ja’afar telah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Penulis Sarawak (PERPES) yang diketuai oleh Awang Zaidel Awang Jamil, baru-baru ini.
Dalam kunjungan tersebut, beliau menyuarakan idea untuk mewujudkan Yayasan Penerbitan Sarawak, iaitu satu usaha membangun dan merancakkan penerbitan buku di Sarawak, khasnya.
Beliau menyatakan keperluan dan usaha penubuhan yayasan sebegini diperlukan kerana sejajar dengan hasrat kerajaan Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.
“PERPES sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wajar diberikan tanggungjawab untuk menjadikan hal ini suatu kenyataan”
“Dengan penubuhan yayasan tersebut, urusan dana akan disalurkan dan diurus tanpa prejudis sebagai pelestarian aktiviti persuratan, pendokumentasian, kesusasteraan dan kebudayaan di Sarawak.”
Selain idea yayasan, dalam pertemuan tersebut, TYT Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Ja’afar turut berkongsi pengalaman dalam penulisan sehingga terbitnya karya seperti Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Ketiga.
Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tersebut menyingkap sejarah penubuhan Parlimen United kingdom yang kita warisi menerusi konsep Westminster.
Selain itu, buku tersebut memperlihatkan perkembangan penubuhan Parlimen yang bermula dengan Majlis Persekutuan ke Dewan Perundangan Persekutuan hingga menjadi Parlimen Dua Dewan pada tahun 1959.
Malahan, Edisi Ketiga ini juga banyak memberikan penjelasan kepada persoalan berbangkit di dalam Edisi Kedua berhubung dengan kuasa Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN.
MAGERAN yang ditubuhkan pada bulan Mei 1969 dan punca kuasa Pengarah Gerakan Negara serta bagaimana Perlembagaan telah digantung dan Parlimen telah diketepikan dari berfungsi pada zaman darurat tersebut dijelaskan dalam buku tersebut.