23 Oktober 2023, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) Ke-11 secara rasminya telah membuka pencalonan bagi lima kategori yang ditawarkan. Hal ini diumumkan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam Majlis Anugerah Tinta Kenyalang 2023 di DBP Cawangan Sarawak (DBPCS), baru-baru ini.

Beliau menjelaskan anugerah yang  berlangsung dua tahun sekali ini bertujuan memberikan pengiktirafan terhadap para penulis dan mengangkat karya yang berkualiti.

ASNS merupakan penganugerahan tertinggi dalam ranah sastera negeri Sarawak. Projek ini mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Sarawak yang berterusan menyediakan peruntukan khas bagi membiayai anugerah ini termasuk hadiah-hadiah iringan lain.

Hal ini membuktikan kesungguhan serta komitmen Kerajaan Negeri Sarawak untuk bersama-sama membangun dan memantapkan sastera kebangsaan di negeri ini, sejajar dengan pembangunan bidang-bidang lain.

Lima kategori diperkenalkan, iaitu Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak (Anugerah Utama), Anugerah Khas Bahasa dan Sastera, Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre, Anugerah Penulis Sarawak Mengikut kategori Bahasa dan juga satu kategori baharu khusus untuk penulis berusia 45 tahun ke bawah, iaitu Anugerah Penulis Harapan Negeri Sarawak.

Pemilihan penerima bagi setiap kategori dibuat berdasarkan pencalonan yang dikemukakan oleh agensi-agensi, badan-badan tertentu atau orang perseorangan yang berwibawa. Sementara pemilihan penerima Anugerah Khas Bahasa dan Sastera pula ditentukan oleh Jawatankuasa Panel Penilai ASNS ke-11.

Mengulas tentang pencalonan kategori baharu, iaitu Anugerah Penulis Harapan Negeri Sarawak, Pengarah DBPCS, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai menyatakan sebelum ini, tidak ada kategori Anugerah Penulis Harapan Negeri Sarawak. Namun, diwujudkan pada tahun ini bagi menghargai penulis terutama golongan muda. Jelas beliau;

Kami berfikiran, wajar memberi pengiktirafan kepada penulis golongan muda di Sarawak supaya mereka terus berkarya dan dapat menyumbang kepada pembangunan sastera Sarawak.

Pencalonan bagi setiap kategori dibuka bermula 16 Oktober 2023 sehingga 19 Januari 2024. Borang pencalonan berserta maklumat lanjut boleh didapati dengan mengimbas kod QR dalam poster atau menghubungi Puan Askharunisa Alwi melalui talian 082-227030 atau Puan Niniefadzillea Iswandi (082-227042).

Antara kategori yang dipertandingkan.

KATEGORI HADIAH
Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak (Anugerah Utama) Wang tunai RM20 000.00, sijil atau watikah penghormatan negeri, kemudahan untuk menulis dan menyebarkan karyanya kepada pembaca dan sepersalinan pakaian.
Anugerah Khas Bahasa dan Sastera(Penggiat/Aktivis/Tokoh) Wang tunai RM6 000.00, sijil atau watikah penghormatan negeri dan sepersalinan pakaian.
Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Puisi, Cerpen, Esei Kritikan, Novel dan Skrip Drama) Wang tunai RM4 000.00, sijil atau watikah penghormatan negeri dan sepersalinan pakaian bagi setiap genre.
Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa (Iban, Melayu Sarawak, Melanau, Bidayuh, Cina, Inggeris dan bahasa-bahasa lain.) Wang tunai RM4 000.00, sijil atau watikah penghormatan negeri dan sepersalinan pakaian bagi setiap kategori bahasa.
Anugerah Penulis Harapan Negeri Sarawak (2 penerima) Wang tunai RM2 000.00, sijil atau watikah penghormatan negeri dan sepersalinan pakaian.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.