Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, YBhg. Dato’ Sri Haji Mohd Naroden Haji Majais mengalu-alukan semua pihak bekerjasama untuk memugar kembali warisan kesusasteraan bumi kenyalang, Hikayat Panglima Nikosa karya Ahmad Shawal Abdul Hamid.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) berkata, kerjasama tersebut wajar disertai oleh institusi penyelidikan, sama ada dalam bidang sejarah dan bahasa.
Menurut beliau, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pelindung bahasa dan kesusasteraan Melayu serta AKYBNS selaku penjaga warisan sejarah dan budaya Melayu Sarawak memainkan peranan besar bagi memastikan karya tersebut dikaji, diteliti, didokumentasikan dan diperkenalkan semula kepada generasi pada hari ini.
“Kerusi Nusantara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut memainkan peranan penting bagi menerajui penyelidikan bukan sahaja berkaitan dengan Hikayat Panglima Nikosa, malah hikayat personaliti Melayu lain melalui pemberian geran penyelidikan kepada para sarjana yang menjalankan kajian dalam bidang ini,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Primier Sarawak, Yang Berhormat (YB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Persidangan Kebangsaan Hikayat Panglima Nikosa: Novel Melayu Pertama Diketahui di Dunia pada Rabu di Wisma DBP.

Jelas beliau, Hikayat Panglima Nikosa yang di cetak pada tahun 1876 dianggap sebagai penulisan berbahasa Melayu tertua yang menepati format novel Melayu moden, sekali gus menandai peralihan penting daripada tradisi lisan kepada kesusasteraan bertulis dalam sejarah intelektual Melayu di Sarawak.
Ujarnya, walaupun manuskrip Melayu Jawi di Sarawak tidaklah setua yang didapati di Semenanjung Malaysia, Sumatera dan Brunei, negeri itu tetap tidak ketinggalan menghasilkan khazanah langka sebagai warisan skriptorium bangsa.
“Setakat tahun 2014, AKYBNS telah berusaha memperkenalkan dan memasyarakatkan karya istimewa ini melalui pelbagai program syarahan kegiatan kebudayaan dan pementasan,” katanya.
“Usaha ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, para pembaca dan para pencinta ilmu tentang kewujudan novel bersejarah tersebut serta meraikan warisan agung Sarawak yang signifikan ini,” tambahnya lagi
Selain itu, beliau menegaskan bahawa masyarakat awam ingin mengetahui inti pati novel tersebut, khususnya dari sudut signifikan dan personaliti watak, bentuk kejayaan yang dicapai, kewujudan teks lain yang turut memerihalkan perjalanan hidup serta perjuangan Nikosa, serta statusnya sebagai manusia sebenar atau kisah dongeng.
Mengulas lanjut mengenai persidangan tersebut, beliau berkata penganjurannya mencatat suatu sejarah yang bermakna, selain menjadi titik tolak kepada pemerkasaan penyelidikan, penerbitan dan kerjasama memelihara khazanah ini.
Beliau juga menyeru semua pihak untuk memastikan sejarah tersebut terus dihayati, diceritakan dan diwarisi kepada generasi akan datang.
“Warisan bangsa tidak harus dibiarkan padam begitu sahaja, kitalah yang bertanggungjawab menghidupkan kembali khazanah ini,” katanya.
Sementara itu, persidangan tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, YBrs. Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman dan Pengurus Besar AKYBMS, YBhg. Datu Dr. Haji Sanib Haji Said.
Hikayat Panglima Nikosa boleh dibeli di sini.