Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha pencalonan novel Melayu pertama di dunia, iaitu Hikayat Panglima Nikosa di bawah program Warisan Ingatan Dunia UNESCO memerlukan sebuah pelaksanaan inisiatif yang sistematik.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan berkata, usaha mendapatkan pengiktirafan UNESCO bagi hikayat ini seboleh-bolehnya direalisasikan seawal tahun hadapan.
“Untuk memastikan Hikayat Panglima Nikosa ini terus hidup, difahami dan dihargai oleh masyarakat moden, usaha pemasyarakatannya perlu dirangka secara strategik dan berfasa,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Kebangsaan Hikayat Panglima Nikosa: Novel Melayu Pertama Diketahui di Dunia pada Rabu di Wisma DBP.
Menurut beliau, warisan yang aktif dan relevan merupakan sebahagian daripada syarat utama UNESCO dalam pengiktirafan warisan dokumentari atau warisan budaya tidak ketara.
Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan pementasan adaptasi teater dan pementasan bangsawan kepada khalayak moden dengan elemen multimedia serta penampilan kostum muzik dan gerak tubuh budaya Melayu bagi menghidupkan kembali hikayat ini.
Selain itu, kata beliau, penerbitan novel grafik ataupun komik sejarah, iaitu visualisasi naratif dengan gaya moden, serta dokumentasi televisyen dan juga filem pendek amat berkesan untuk mengembangkannya kepada masyarakat umum.
Beliau turut mencadangkan pembacaan hikayat di sekolah dan institusi budaya menerusi program literasi, di samping pameran tematik di muzium dan galeri warisan mengenai ekosistem warisan manuskrip, seni, sejarah dan naratif untuk tatapan generasi muda.
Ujar beliau, Hikayat Panglima Nikosa merupakan sebuah karya epik tradisional yang mencerminkan kekayaan imaginasi, nilai kepahlawanan dan pandangan semesta masyarakat Melayu.
“Hikayat ini mempunyai nilai kesusasteraan, kedalaman falsafah dan kebijaksanaan budaya yang tetap mengalir sebagai sebahagian daripada nadi tamadun bangsa di negara kita,” tegasnya.
“Dalam era moden, kita berhadapan dengan cabaran baharu untuk memastikan hikayat ini tidak sekadar disimpan sebagai artifak, tetapi diangkat sebagai bahan ilmu, sumber kreativiti dan aspirasi kepemimpinan,” tambahnya lagi.
Bagi beliau, semua pihak wajar memanjangkan wacana hikayat ini dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan rancangan kebangsaan.
“Kita perlu menyentuh kembali akar peradaban agar generasi muda sedar bahawa bangsa ini tidak dibina oleh kekuatan senjata semata-mata, tetapi martabat budi yang tinggi sebagaimana dipamerkan oleh Panglima Nikosa,” tegasnya.
Jelas beliau, pembacaan Hikayat Panglima Nikosa sebenarnya menyusuri sungai ingatan bangsa dan menelusuri jejak nilai yang membentuk kekuatan budaya selama berabad-abad.
“Kita tidak boleh menafikan fungsi hikayat ini sebagai penyimpan memori politik yang menonjolkan perihal masyarakat Melayu berfikir, membina makna dan mencipta harapan melalui penceritaan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kepahlawanan Melayu menurut wacana klasik tempatan, beliau menyatakan bahawa perkara tersebut terbit daripada keseimbangan antara jasmani dengan rohani, antara keberanian dengan kebijaksanaan, antara tanggungjawab dengan kesetiaan kolektif kepada raja dan negara.
“Inilah falsafah yang dirakam dengan indah dalam hikayat tersebut dan warisan yang sewajarnya kita hayati semula pada zaman yang penuh pergolakan ini.
“Melalui pengembaraan, pertarungan dan ujian yang menimpa Panglima Nikosa, para pengarang zaman lampau hakikatnya sedang menyampaikan pedoman bahawa sesuatu tamadun hanya dapat bertahan apabila rakyatnya berhimpun di bawah panji kesetiaan, keberanian dan keutuhan akhlak,” ujarnya.
Sementara itu, persidangan tersebut turut dihadiri oleh Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, YBhg. Dato’ Sri Haji Mohd Naroden Haji Majais; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Sarawak, YBrs. Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman dan Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), YBhg. Datu Dr. Haji Sanib Haji Said.

Hikayat Panglima Nikosa boleh dibeli di sini.