Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha mengangkat Hikayat Panglima Nikosa (HPN) hingga diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai novel pertama di dunia disentuh dengan agak mendalam oleh Tuan Haji Hamzah Hamdani.
Haji Hamzah tampil sebagai pemakalah kedua Sesi III Persidangan Kebangsaan Hikayat Panglima Nikosa: Novel Melayu Pertama Diketahui di Dunia di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP pada 26 November 2025 lalu.
Menurut Hamzah, termasuk persidangan ini, sudah enam kali beliau bercakap mengenai HPN. Walau bagaimanapun, beliau fikir masih wajar memenuhi undangan penganjur, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Institute of Borneo Studies, dan Pustaka Negeri Sarawak.
Menurutnya, kebanyakan pemerhati sastera telah menerima Hikayat Faridah Hanum yang terbit pada tahun 1925 sebagai novel Melayu pertama di Malaysia.
“Namun begitu, selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963, pemerhatian dan skop perbincangan karya sastera tanah air menjadi lebih luas. Karya sastera Sarawak dan Sabah mula diperhatikan. Perhatian dan penyelidikan akhirnya menemui HPN,” jelas beliau ketika menjawab pertanyaan tentang kedudukan Hikayat Faridah Hanum.
Tambah beliau, Sasterawan Negara (SN) ke-9, Allahyarham S. Othman Kelantan, pernah menyebut dan meyakini HPN ialah novel Melayu pertama di Malaysia.
“Walau bagaimanapun, jika mahu mengangkat dan mendakwa HPN sebagai novel pertama di dunia, kita perlu berbincang dengan UNESCO. Kita perlu melihat apakah kriteria dan syarat-syarat yang diwajibkan oleh pertubuhan tersebut,” ujarnya.
Tambah Hamzah, ketokohan Ahmad Shawal tidak banyak diketahui. Cuma, Allahyarham merupakan seorang pegawai berbangsa Minangkabau, kemungkinan dari Bencoolen (Kota Bengkulu) yang berkhidmat di bawah pemerintah Rajah James Brooke, serta diupah sebagai jurutulis Brooke dan guru bahasa Melayu bagi orang Eropah yang menduduki Kerajaan Sarawak ketika itu.
Promosi terhadap HPN, kata beliau, perlu diperkuat. Walaupun ditulis pada tahun 1876, HPN ialah karya penulisan pertama berbahasa Melayu tertua dan menepati format novel moden.
HPN yang mengisahkan Nikosa, seorang pemuda yang diharapkan sebagai pelindung negerinya. Dia melalui pengalaman berperang lalu mematangkan peribadinya dan mendorong terbinanya sebuah negeri di Bukit Persinggahan, Kampung Boyan di Kuching pada 30 Jun 1876.
Karya ini ditemui semula oleh anggota Sarawak Literary Society dalam simpanan pustaka Sir Hugh Low di Perpustakaan Rhodes House, Universiti Oxford pada tahun 1982.
Hugh difahamkan memperoleh salinan buku ini semasa bekerja dengan Brooke dari tahun 1848 hingga 1850, sebelum dilantik menjadi Residen Perak pada tahun 1877.
“Walaupun muncul pada abad ke-19, tetapi HPN mengecapi kemodenan kerana dicetak. Oleh sebab bercetak, pengedarannya lebih meluas,” tambahnya.
Perasmian persidangan disempurnakan oleh Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, YBhg. Dato’ Sri Haji Mohd. Naroden Haji Majais.
Turut hadir termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; dan Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi UNIMAS, YBhg. Prof. Ir. Dr. Siti Noor Linda Haji Taib.
Hikayat Panglima Nikosa boleh dibeli di sini.