Oleh Karmila Azmi
17 September 2021, 23:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Hikayat Panglima Nikosa (HPN) seharusnya diangkat sebagai novel Melayu pertama berdasarkan penulisannya dibuat 50 tahun sebelum lahirnya Hikayat Faridah Hanum.

Malah, HPN yang ditulis oleh Ahmad Syawal Abd. Hamid menampilkan latar tempat di Sarawak dengan watak orang tempatan. Hal ini jauh berbeza dengan Hikayat Faridah Hanum yang diangkat sebagai novel pertama Melayu, tetapi mengangkat latar Mesir walaupun wataknya orang Melayu.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Che Abdullah Che Ya berkata, walaupun sifat fizikal HPN mempunyai hanya 29 halaman, hal ini tidak boleh menidakkan keupayaannya untuk diangkat sebagai sebuah novel.

“Hal ini disebabkan, ketika naskhah itu dihasilkan, dalam landskap sastera kebangsaan genre cerpen dan novel belum lagi wujud. Ketika itu, sastera hanya ada hikayat dan cerita lucu, tetapi jumlah halaman HPN lebih panjang daripadanya,” katanya ketika membentangkan latar sejarah HPN dalam acara Bicara Pusaka Bangsa yang disiarkan di platform Zoom anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak pada 14 September lalu. Acara yang dimudahcarakan oleh Dayang Norazan Kartini Pangeran Zain itu turut menampilkan pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Dr. Nordi Achie.

Tegas Che Abdullah, HPN ialah dokumentasi sosiobudaya masyarakat Sarawak yang ditulis dalam tulisan Jawi, dan dari aspek sosiologi, ia merangkumi bukan hanya sosiobudayanya tetapi sosiopolitik dan ekonomi.

HPN merangkumi ketiga-tiga aspek ini dan boleh dilihat gambaran masyarakatnya yang muafakat dan bersefahaman, misalnya dalam pembukaan penempatan baharu.”

“Selain itu, novel ini turut membawa imej pemimpin yang bijak dan semangat cintakan tanah air, selain pengurusan negara yang sistematik dan golongan muda yang berjuang untuk negara,” katanya.

Sementara itu, bagi Nordi, HPN membawa falsafah politik yang tersendiri. Naskhah itu katanya, walaupun diberi nama “hikayat” tetapi bentuknya lebih menyerupai sebuah cerpen.

“Hikayat pada zaman itu panjang lebar tetapi HPN dibina pendek, namun membawa falsafah politik yang tersendiri.”

“Ahmad Syawal melihat pemimpin di Sarawak atau di Alam Melayu amnya, mestilah orang ‘putrabumi’ yang mana dia anak tempatan yang lahir di sini dengan kedua-dua ibu bapanya juga ‘anak bumi’.”

“Penegasan sebegitu sebenarnya ialah sindiran kepada James Brooke,” katanya.

Tegas Nordi, HPN juga mengangkat tentang pentingnya seseorang pemimpin itu mempunyai falsafah akhlak (aksiologi) yang menyaksikan sifatnya haruslah baik selain Ahmad Syawal menegaskan mengenai perlunya pemimpin yang adil, malah persoalan keadilan itu disebut lebih daripada tiga kali dalam naskhah berkenaan.

Tambah Nordi, pemimpin juga mestilah intelek, bersikap waspada dan teliti apabila bertindak, selain berstrategi dan berintegriti.

HPN mungkin tidak semasyhur naskhah klasik Melayu lain yang sezaman dengannya, tetapi ia membawa falsafah politik dan perang yang lestari merentasi zaman bahari,” katanya.

Untuk rekod, HPN ditemui dalam simpanan Rhodes House Library of Oxford, England oleh Sarawak Literary Society. Beli kajian dan teks novel Hikayat Panglima Nikosa di sini.

Berita Berkaitan |

Hikayat Panglima Nikosa: Antara Novel Melayu Terawal di Dunia

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.