17 Ogos 2021, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Novel yang berusia 145 tahun ini, dihasilkan secara cetakan litografi pada 30 Jun 1876 di Bukit Persinggahan, Kampung Boyan, Kuching Sarawak. Novel karangan Ahmad Syawal Abd. Hamid ini telah ditemui tersimpan di Rhodes House Library of Oxford, England oleh Sarawak Literary Society dalam simpanan Sir Hugh Low yang pernah bekerja dengan James Brooke sebelum dilantik menjadi Residen Perak pada tahun 1877. Inilah novel yang menjadi tanda transisi pergerakan daripada sastera lisan kepada sastera bertulis dalam era perkembangan kesusasteraan moden di Sarawak, berkisah tentang sebuah realiti kehidupan yang dikonstruksikan.

Hikayat Panglima Nikosa mengisahkan cerita seorang pemuda bernama Nikosa, diminta oleh ayahnya untuk mempertahan negeri daripada serangan pihak musuh. Ancaman pihak musuh menimbulkan rasa ketakutan kepada rakyat. Akibatnya, mereka tidak berani keluar rumah dan tidak dapat melakukan rutin harian secara aman sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Ketakutan yang mencengkam hidup rakyat mengakibatkan seorang demi seorang penduduk berpindah ke negeri lain. Justeru, timbul kebimbangan daripada ayah Nikosa yang pada ketika itu merupakan seorang ketua dalam negeri tersebut.

Maka, berlakulah beberapa siri peperangan yang diketuai oleh Nikosa menentang pihak musuh dan akhirnya pasukan di bawah kepimpinan pemuda tersebut berjaya menumpaskan musuhnya. Kejayaannya menjadi buah mulut masyarakat kerana kebijakan dan kepimpinan Nikosa yang adil dan saksama, malah menjadi rujukan orang luar. Pemikiran Nikosa yang panjang dan terkehadapan tentang nasib dan masa depan orang-orang kampung dibuktikan dengan kejayaan pemuda itu mendirikan kampung baharu.

Nikosa mendahului kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadinya. Dia tidak akan berfikir tentang masa depannya sehinggalah segala urusan pembangunan kampung atau negeri selesai. Setelah itu, barulah Nikosa berkahwin dengan seorang anak menteri bernama Jalilah yang rupawan dan jelitawan, lalu mereka dikurniakan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Pengarang Ahmad Syawal Abd. Hamid ialah tokoh sasterawan Melayu moden dan ternama di Sarawak. Ketokohannya pernah digambarkan oleh Margaret Brooke (1903) sebagai seorang yang berwibawa, baik hati, mudah berkawan dan murah hati, serta berpengetahuan dalam bidang sastera. Malah, beliau disifatkan sebagai “a cultured man”, seorang lelaki budiman yang halus budi pekertinya.

Menurut Dr. Jeniri Awang, Ketua Pegawai Eksekutif New Sarawak Tribune dan SV News Sdn. Bhd., melalui bual bicara dalam Program Bicara Pusaka Bangsa Siri 2, “Membaca tulisan Ahmad Syawal adalah sama seperti membaca gagasan pemikiran, wawasan, kearifan, serta sikap etnosentrisme dan etnonasionalismenya melalui teks dan wacana hikayat itu. Novel tersebut merupakan suatu usaha dokumentasi terhadap sejarah perkembangan tamadun Melayu, yang menggambarkan realiti sosioekonomi, kemajuan dan perkembangan masyarakat di Kuching, Sarawak pada akhir abad ke-19. Melalui siri-siri kajian yang dilakukan, Jeniri mengklasifikasikan hikayat ini kepada beberapa bahagian. Antaranya, termasuklah plot yang menggambarkan unsur individualisme pengarangnya. Hikayat ini mengangkat semangat zamannya di samping menampilkan mancawarna masyarakat tempatan pada masa itu. Juga terlihat cerminan hierarki sosial dan bayangan atau refleksi tahun-tahun sebelum pengarang menulis. Hal ini bererti, kisah tulisan Ahmad Syawal ini tentunya ditulis pada tahun-tahun terdekat sebelum hikayat itu dicetak.

Watak Nikosa digambarkan sebagai pemimpin yang berhati lurus, suci dan terbilang. Namun begitu, nama “Nikosa” sebenarnya agak asing dalam kalangan masyarakat di Sarawak. Tiada nama Nikosa yang dijumpai dalam realiti kehidupan masyarakat di Sarawak pada ketika itu hingga kini. Persoalannya, siapakah Nikosa dan dari manakah pengaruh bahasa terhadap kata nama itu muncul? Karakter Nikosa juga digambarkan sebagai ketua medan perang atau ketua di kampung yang empati dan prihatin kepada rakyat dalam novel ini. Bahkan, Nikosa ialah watak pemberani, unggul, ikhlas dan bijaksana.

Panel kedua dalam program bicara ini, Dr. Fatimah Hj. Subet, pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak pula mengupas wacana ini dari sudut bahasa, dan mengambil pendekatan semantik inkuisitif melalui kemahiran relevan untuk mencari kesan terhadap konteks kajian falsafah pemikiran pengarangnya. Dr. Fatimah menegaskan dari sudut etimologi, terdapat perubahan pada makna kata tentang nama Nikosa. Menurut pandangan beberapa orang sarjana, nama Nikosa tiada dalam dialek Melayu Sarawak. Justeru, berkemungkinan wujud pengaruh bahasa Arab dalam sentuhan nama tersebut. Dalam daftar bahasa Arab, Nikosa diambil daripada perkataan asalnya, ‘naqsun’ melalui huruf nun, qaf dan shad, yang membawa erti “berkurang”. Pun demikian, hal ini masih belum dapat dibuktikan kesahihannya.

Dalam hal ini, Fatimah memetik pandangan Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang menyatakan bahawa terdapat unsur bahasa Yunani pada nama Nikosa tersebut (Nikolas). Hal ini kerana pengaruh bahasa asing amat biasa dalam masyarakat Melayu peribumi yang bersifat sejagat. Andaian-andaian ini memunculkan pelbagai persoalan yang harus dibuktikan dari sudut teoretikal dan analisis bahasa. Pada akhirnya, Fatimah menjumpai kajian numerologi dari Indonesia yang menjelaskan maksud Nikosa, iaitu seseorang yang menuntut keistimewaan, mempunyai bakat seni, atau seseorang yang tidak pernah letih, bertanggungjawab, melindungi, merawat, bermasyarakat, seimbang, dan simpati.

Juga ditemukan beberapa istilah dan simpulan bahasa dalam teks karangan hikayat tersebut, seperti “angkat-angkat bujang”, “lepak” dengan sebutan e pepet, “mulang”, “lemantak” (pengaruh Melanau), dan “mengayau” (pengaruh Iban dan Kenyah). Justeru, aspek kejelasan dari sudut kajian bahasa ini membuktikan Hikayat Panglima Nikosa sememangnya berlatarkan negeri Sarawak.

Diharap Hikayat Panglima Nikosa yang ditulis dalam laras bahasa Melayu klasik bertulisan Jawi ini mendapat pengiktirafan UNESCO kerana naskhah ini merupakan naskhah besar yang mengubah sejarah perkembangan novel Melayu di Malaysia.

Wacana yang berlangsung pada 12 Ogos (Khamis) jam 10.00 pagi ini boleh ditonton di sini. Beli kajian dan teks novel Hikayat Panglima Nikosa di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi