Diterbitkan pada 14 November 2025, 05:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyerahkan manuskrip yang ditulisnya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diterbitkan.

Penyerahan itu disempurnakan semasa kunjungan hormat delegasi DBP yang diketuai Ketua Pengarahnya, YBrs. Dr. Hazami Jahari ke atas Tuan Yang Terutama Negeri di kediaman rasminya di Petra Jaya, semalam.

Menurut kenyataan DBP melalui Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka,Tuan Yang Terutama berharap DBP dapat meneliti dan menerbitkan manuskrip tersebut untuk bacaan umum selain rujukan generasi masa hadapan.

“Pada akhir pertemuan Tun Pehin Sri telah menyerahkan sebuah manuskrip kepada Ketua Pengarah DBP.

“Beliau turut berharap DBP dapat menerbitkan manuskrip tersebut,” kata kenyataan tersebut.

Difahamkan, kunjungan pihak DBP turut bertujuan bagi membincangkan manuskrip yang ditulis sendiri oleh Tuan Yang Terutama Negeri itu secara lebih lanjut.

Manuskrip setebal 998 halaman itu mengisahkan perjalanan kerjaya dan karier politik termasuk pengalaman beliau semasa berkhidmat sebagai pegawai polis, ahli parlimen, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Menteri dan Speaker Dewan Negara.

Berita Bahasa Melayu Suara Sarawak sebelum ini melaporkan Tuan Yang Terutama Negeri itu telah menulis 16 buah buku termasuk buku baharunya bertajuk Teriso’s Little Star yang dilancarkan pada bulan Ogos lalu.

Teriso’s Little Star merupakan sebuah kisah kehidupan, ketabahan dan kemasyarakatan yang diinspirasikan daripada pengalaman zaman kanak-kanaknya yang membesar di kampung Teriso, Sarawak.

Bahkan, beliau juga pernah menulis puisi sejak zaman remajanya sekitar tahun 1967, dan puisi-puisi itu terhimpun dalam bukunya bertajuk The Silence.

Kredit Foto: DBP Cawangan Sarawak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi