Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penganjuran Sambutan Hari Puisi Nasional (HPN) 2026 yang berlangsung di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) telah diabadikan secara khusus bersempena dengan tarikh kelahiran Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, hari ini.
Sejarah penganjuran HPN 2026 ini menyaksikan kelangsungan tradisi berteraskan penggabungan rasmi antara Hari Puisi Nasional dan Hari Puisi Kebangsaan yang diputuskan menerusi suatu resolusi pada tahun 2024.

Bagi tahun ini, acara sambutan ini memfokuskan kepada pengisian apresiasi sastera yang dihayati menerusi deklamasi karya puisi malar segar peninggalan Allahyarham Usman Awang.
Majlis ini menghimpunkan barisan tokoh sastera, penulis dan penggiat seni dari seluruh negara, dan perasmiannya telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari.
Dalam ucapannya, Datuk Dr. Hazami berkongsi inspirasi daripada pengalaman lawatan kerjanya ke Moscow, Rusia dua bulan lalu.
Beliau menyaksikan sendiri kehebatan bangsa Rusia untuk memelihara tamadun mereka, malah kagum apabila mendapati wujudnya pengkajian sastera Melayu serta penyimpanan karya penulis tanah air di perpustakaan awam negara berkenaan sejak era prakemerdekaan.
“Ini menunjukkan cara bangsa yang besar seperti Rusia dan tamadun yang hebat begitu menghargai bahasa, sastera dan budaya,” tegas beliau.
Selain itu, beliau turut mengulas secara terbuka tentang polemik penganjuran sebuah sayembara sastera tanpa pemenang utama yang mendapat perhatian ramai baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan tersebut terpaksa diambil bagi mengekalkan tahap penanda aras kualiti sastera kebangsaan.
“Kita mengharapkan lahirnya nafas dan karya besar baharu untuk kesusasteraan kita supaya warisan yang ditinggalkan oleh tokoh besar seperti Keris Mas, Usman Awang dan Shahnon Ahmad dapat dijelmakan semula,” jelas beliau.

Pihak DBP turut memberikan jaminan penuh untuk sentiasa menyokong usaha berterusan GAPENA serta persatuan yang menghidupkan bahasa dan sastera untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan menerusi penjanaan karya sastera yang bermutu.
Majlis sambutan tersebut turut diserikan dengan sesi Bicara Tokoh yang dikupas secara mendalam oleh YBhg. Profesor Emeritus Dr. Mohd Mokhtar Abu Hassan.
Menerusi sesi wacana tersebut, beliau telah membentangkan perbincangan komprehensif bertajuk “Maruah dan Kedaulatan Bangsa dalam Puisi-puisi Usman Awang”, di samping memperhalusi topik berkaitan dengan “Analisis Teori Konseptual Kata Kunci”.
Program penuh bermakna itu telah diakhiri dengan persembahan deklamasi puisi yang menghimpunkan pelbagai naskhah karya agung peninggalan Allahyarham.
Suasana majlis menjadi lebih istimewa apabila anakanda Allahyarham, Puan Haslina Usman turut tampil mendeklamasikan puisi bertajuk Melayu Johor, diiringi dengan persembahan daripada pelbagai penggiat seni tanah air yang lain.