Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam era digital, tabiat membaca masyarakat semakin berubah. Generasi sekarang sudah terbiasa membaca dengan pantas dan hasilnya menyebabkan kurangnya penghayatan dan pemahaman.
Dalam menghadapi hal ini, sastera yang bijaksana boleh menjadi kuasa lunak yang memberikan pencerahan kepada masyarakat.
Hal itu dinyatakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menerusi ucap utama bertajuk “Pertanyaan Seorang Tradisionalis: Adakah Kedalaman Sastera Semakin Pudar dalam Era Digital?” dalam Kongres Penerbit Antarabangsa ke-35 di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Menurut beliau, halaman bercetak bukan lagi satu-satunya pintu masuk kepada pengetahuan dan imaginasi.
Budaya membaca secara tradisional sudah berubah dan secara tidak langsung memberikan kesan terhadap cara seseorang itu berfikir.
“Sebelum era digital, membaca sesebuah teks novel atau karya falsafah kebiasaannya mengambil masa yang lama, berminggu-minggu atau mungkin berbulan lamanya.
“Hal ini akan menyebabkan pembacaan seseorang itu menjadi lebih mendalam dan reflektif,” katanya.

Tambah beliau, peranti teknologi dan kecerdasan buatan (AI) membentuk tiga pola pembacaan, iaitu cara membaca, pilihan bahan bacaan dan jangka masa terhadap tumpuan membaca sesebuah teks.
“Saya merupakan generasi tradisionalis yang membaca teks bercetak seperti buku. Proses bacaan yang lama itu memberikan kesempatan kepada saya untuk berfikir, menyoal, mendalami pengetahuan yang faktual, konseptual dan metakognitif,” jelasnya.
Walaupun begitu, beliau juga menyatakan bahawa era digital mempunyai kelebihan tertentu dalam aspek pengetahuan dan pembacaan.
Era digital menyebabkan berlakunya pendemokrasian pengetahuan, teknologi penterjemahan bagi meneroka karya daripada dunia yang berbeza dan kewujudan bersama antara visual dan teks.
“Era digital meluaskan ufuk intelektual dan juga menggalakkan pemahaman global,” terangnya.

Dalam kepantasan serta kelajuan pembacaan dan pengetahuan, perlunya pemupukan kebijaksaan dalam kesusasteraan. Dalam konteks ini, beliau menyebut bahawa karya sastera yang bijaksana membolehkan berlakunya pembacaan yang mendalam.
“Pembacaan mendalam tetap penting kerana kesusasteraan melatih empati, tumpuan dan pemikiran kritis. Novel atau puisi yang baik mengajak pembaca memasuki kerumitan emosi dan juga moral kehidupan manusia.
“Kedalaman sebegitu menggalakkan empati, iaitu elemen sastera yang paling berharga” jelasnya.
Tambahnya, masa depan budaya membaca tidak akan bergantung kepada buku bercetak atau buku elektronik, tetapi bergantung kepada sama ada manusia menghargai pemikiran, imaginasi dan kebijaksanaan.