Diterbitkan pada 18 Januari 2026, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – YBhg. Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menggariskan lima ciri asas yang menjadi tunjang kepada setiap penghasilan karya kreatif yang berwibawa sebagai panduan utama penulis pada masa ini dalam mendepani cabaran kecerdasan buatan (AI) dan arus digital yang kian mendominasi dunia persuratan.

Di tengah-tengah ledakan revolusi digital yang sering mengabaikan aspek nurani, dunia persuratan Melayu memerlukan panduan yang kukuh agar sastera terus berperanan sebagai kompas moral dalam membentuk pemikiran masyarakat.

Atas kesedaran tersebut, Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2026 anjuran Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah berlangsung dari 16 Januari 2026 hingga 7 Februari 2026 sebagai wadah mempersiapkan penulis muda menghadapi realiti baharu dunia penulisan.

YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa masa hadapan sastera di negara ini sangat bergantung pada keupayaan penulis untuk menjadi “arkitek jiwa” yang mampu menghubungkan antara realiti kehidupan dengan mimpi melalui perantaraan bahasa.

YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika berkongsikan ciri penting dalam setiap penghasilan karya kreatif yang berwibawa.

Beliau menekankan bahawa penulisan kreatif yang bermutu memerlukan keseimbangan antara imaginasi yang tinggi dengan teknik deskriptif yang tajam agar karya yang dihasilkan mampu merakam denyut nadi zaman secara berkesan.

Menurut beliau, kemunculan generasi alfa yang membesar dalam persekitaran AI dan kandungan digital yang bergerak pantas berisiko kehilangan kepekaan emosi serta pemikiran kritis jika tidak dipandu oleh karya sastera yang membina jiwa.

Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun AI mampu menjana teks dengan cepat, unsur “jiwa dan rasa” yang lahir daripada pengalaman manusia tidak akan mampu digantikan oleh mesin.

Bagi memastikan karya sastera tanah air terus relevan dan berdaya saing di persada antarabangsa, beliau menggariskan lima ciri asas yang menjadi tunjang kepada setiap penghasilan karya kreatif yang berwibawa.

Ciri pertama ialah pemikiran yang hebat kerana sesebuah karya perlu didasari oleh gagasan besar yang mampu merentas zaman dan kekal sebagai khazanah pemikiran bangsa serta terus relevan untuk dibaca oleh setiap lapisan generasi, tanpa mengira peredaran waktu atau perubahan corak kehidupan masyarakat.

Ciri kedua pula ialah emosi yang mendalam menerusi pembinaan watak yang kuat bagi membolehkan pembaca merasai pengalaman hidup manusia lain serta membina jambatan empati dalam masyarakat.

Seterusnya, ciri yang penting untuk menghasilkan karya kreatif yang berwibawa ialah penguasaan aspek teknikal termasuklah komposisi karya yang kemas bagi memastikan naratif tersusun, komunikatif dan tidak membosankan.

Beliau juga menyatakan bahawa penggunaan diksi, metafora dan perlambangan yang segar juga penting bagi memberikan tekstur serta kedalaman makna kepada teks yang bukan sahaja memikat intelektual pembaca, malah mengangkat martabat sastera sebagai medium yang mempunyai nilai seni yang tinggi.

Ciri terakhir ialah gaya bahasa yang tepat dan indah sebagai medium utama untuk menyampaikan mesej dengan berkesan serta memberikan pengalaman seni dan intelektual yang tinggi kepada pembaca, sekali gus membolehkan karya sastera di Malaysia bukan sahaja mampu bersaing secara global, malah tetap memiliki akar jati diri dan citra budaya yang kuat.

Dalam pada itu, beliau menyeru para penulis agar terus menggali ilmu, tidak cepat berpuas hati dengan draf pertama dan mengekalkan citra budaya sendiri supaya sastera di negara ini mempunyai akar jati diri yang kukuh.

Pelaksanaan bengkel ini secara maya oleh GEMA dan DBPWT sejak era pandemik turut disifatkan sebagai adaptasi teknologi yang berimpak tinggi dalam melahirkan barisan penulis yang mampan.

Sinergi berterusan antara GEMA dengan DBPWT dalam program ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan bakat muda dan pemerkasaan bahasa Melayu.

Menerusi lima formula karya hebat yang digariskan oleh YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, penulis kini mempunyai peta jalan untuk membina benteng peradaban yang teguh.

Sastera seharusnya dijadikan sebagai jambatan yang menghubungkan antara kecanggihan masa hadapan dengan keagungan akar tradisi demi memastikan persuratan Melayu kekal segar dan berwibawa sepanjang zaman.

Antara peserta yang menyertai Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2026 anjuran GEMA dengan kerjasama DBPWT secara dalam talian.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi