Diterbitkan pada 15 November 2025, 23:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Arena Wati merupakan seorang sasterawan berjiwa besar dan pemikir intelektual yang sentiasa menyerlah sepanjang perjalanan kepengarangannya menerusi pelbagai genre sastera.”

Demikian ucapan yang disampaikan oleh Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan di Muzium Telekom, Kuala Lumpur, petang tadi.

Menurut Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, beliau menganggap Arena Wati sebagai seorang pelaut yang singgah dari pelabuhan ke pelabuhan, lalu memberikan pengalaman dan pengamatan sepanjang pengembaraan itu diterjemahkan dengan begitu bernas dalam tulisannya.

“Dia seorang fenomenologis dan etnografis dalam pelbagai budaya. Kepekaan tanggapannya membolehkan beliau digelar sebagai fenomena transendental.”

“Arena Wati tidak pernah melupakan tanah leluhurnya, meskipun beliau telah menetap lama di rantau orang,” ujar Anwar Ridhwan.

Tambah beliau, Arena Wati memulakan kerjayanya di Singapura, zaman penubuhan Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50).

“Samudera itu adalah dunianya. Namun, satu demi satu kertas dan tinta menjadi teman beliau sama seperti penulis-penulis lain dalam era Asas 50. Tampaknya, Arena Wati seolah-olah dipinggirkan, dan karya-karya daripada novel beliau tidak begitu ditonjolkan dalam arus utama sastera pada masa itu.”

Selain itu, Anwar turut berkongsi kisah perjalanan hidup dan kerjaya Arena Wati dengan menyingkap dedikasi dan cinta beliau terhadap dunia kesusasteraan. Setiap karya sasterawan ini menjadi cermin pemikiran, jiwa dan pengembaraan intelektual yang terus hidup merentasi zaman.

“Selepas hidup berumahtangga, Arena Wati dan isterinya, Halimah Sulong berhijrah ke Pontian, Johor dan Singapura dengan memulakan kerjayanya dalam bidang kewartawanan dan kepengarangan di sebuah syarikat bernama Royal Press,” ujarnya lagi.

“Bahasa menjadi alat baharunya dalam melayari dunia sastera dan kewartawanan. Pelibatannya dalam dunia penerbitan dan sastera Melayu agak ketara sewaktu beliau bertugas sebagai pengarang di Pustaka Antara, Kuala Lumpur.”

Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sedang menyampaikan syarahan kebudayaan bertajuk 100 Tahun Arena Wati: Cinta Mengubah Samudera Jadi Tinta

Pada masa yang sama, Arena Wati juga berjaya ditempatkan di sektor kerajaan Sabah selama 10 tahun bermula tahun 1974 hingga tahun 1983, sebelum dilantik sebagai Pensyarah Pelawat di Universiti Cornell, Amerika Syarikat pada Julai 1983.

Sepanjang berkecimpung dalam dunia kesusasteraan tanah air, Arena Wati turut menerima pelbagai pengiktirafan sewaktu penjelajahannya ke Eropah (Belanda, England, Jerman dan Perancis) dari bulan Februari-Jun 1984 dan negara Jepun pada tahun 1984-1985. Sekali gus, penjelajahan tersebut memberikan ilham kepada beliau untuk terus melahirkan novel yang malar segar dan relevan hingga kini.

Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut mengimbau detik-detik terakhir Arena Wati sebelum menghadap Ilahi ketika dalam usaha menyiapkan dan menerbitkan dua karya terakhirnya yang menjadi warisan abadi dalam dunia kesusasteraan.

Ujarnya, novel Pada Sayap Burung Elang dan Rindu Aroma Padi Bunting telah berjaya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ditangani oleh beliau selepas pemergian Sasterawan Negara itu.

“Alhamdulillah, saya telah menunaikan hasrat dan impian Arena Wati dalam menerbitkan dua buah karya ulung beliau dan pihak DBP turut menguruskan proses itu sehingga berjaya diterbitkan dengan jayanya,” tambah beliau.

Siri Syarahan Kebudayaan 2025 ini dianjurkan oleh Riwayat, SVARA dan Krom Studio dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Inisiatif Buku Darul Ehsan dan Obscura telah menyingkap kisah 100 Tahun Sasterawan Negara Arena Wati atau YBhg. Dr. Muhammad Dahlan bin Abdul Biang.

Yang turut hadir dalam syarahan tersebut ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan DBP, YBrs. Dr. Roosfa Hashim; Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Hani Salwah Yaakub, ahli PLM dan pegawai DBP.

Kredit Foto: Shafiq bin Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi