Diterbitkan pada 14 Mei 2026, 06:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dua jendela dilihat berperanan bagi membantu seseorang penulis mencetuskan idea untuk menghasilkan karya kreatif dalam pelbagai genre termasuk cerpen.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, jendela pertama ialah situasi setempat merangkumi pelbagai isu yang terdapat di dalam negara sendiri.

“Walaupun negara kita ini aman, tetapi bukan bermakna tidak ada idea yang boleh diangkat sebagai sebuah karya kreatif termasuk cerpen.

“Sebenarnya banyak isu tempatan yang boleh diangkat untuk jadikan cerpen, seperti isu politik, budaya, sosial, ekonomi, kemanusiaan, dan lain-lain lagi,” katanya semasa berucap merasmikan Kolokium Sastera Kajian Genre Cerpen, pagi semalam.

Kolokium tersebut berlangsung di Ruang Legar Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, membabitkan 15 penulis cerpen dalam pembentangan kertas kerja yang berkaitan, dan disiarkan secara langsung menerusi siaran media sosial DBP.

Manakala jendela kedua pula, kata Anwar, melihat sesuatu di perbatasan baharu, iaitu memahami serta menghayati kehidupan dari luar batas geografi negara sendiri.

Katanya, hal demikian boleh didapati melalui dua cara, iaitu semasa berpeluang mengembara atau berada di luar negara yang secara tidak langsung mendedahkan seseorang penulis itu kepada pengalaman baharu.

“Pengalaman berada di negara asing sudah pasti akan mencetuskan satu perspektif baharu untuk seseorang mengenali cuaca yang baharu, budaya, adat resam, dan cara hidup masyarakat yang berbeza.

“Dan semua ini bagi penulis ialah sumber inspirasi yang memperkaya idea dalam proses kreativiti karya kreatif mereka dengan lebih bermutu dan berkesan untuk bacaan umum,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar kolokium yang berlangsung hari itu dapat membantu kepada perkembangan sekali gus mengangkat martabat sastera negara ke peringkat yang lebih bermakna.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi