Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi menelusuri dan menganalisis kembali lima formula asas bagi karya kreatif berwibawa yang disampaikan oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, dengan menghubungkannya pada kerangka teori sastera yang relevan bagi merungkaikan bagaimana sastera dapat terus berfungsi sebagai ruang refleksi, empati dan imaginasi dalam era algoritma.

Sastera; dalam pandangan ini, ialah suatu bentuk pengetahuan yang unik dan mampu meneroka dimensi-dimensi kewujudan manusia yang tidak dapat diukur oleh data atau dirumuskan oleh sains empirikal.

Zaman digital telah membawa satu anjakan paradigma, bukan sahaja bersifat teknologikal; tetapi juga epistemologi. Kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan dominasi media berasaskan algoritma telah secara radikal mengubah cara manusia bekerja, berkomunikasi, dan cara kita membina makna.

Dalam landskap baharu ini, sastera kebangsaan berhadapan dengan satu persoalan eksistensial. Apakah peranan sastera(?) dan adakah sastera masih relevan dalam sebuah dunia yang semakin diukur oleh metrik penglibatan, kepantasan capaian maklumat dan logik pasaran digital? Di tengah-tengah persimpangan genting ini, kerangka pemikiran Sasterawan Negara ke-10, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam sesi Majlis Perasmian Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2026, tampil sebagai satu set prinsip yang koheren dan signifikan. Beliau menawarkan peta jalan intelektual dalam usaha mempertahankan martabat dan fungsi sastera sebagai wahana kemanusiaan.

Menurut beliau, kebanyakan penulis tiada kemajuan dalam teknik dan kebolehan memancing minat generasi muda mendekati karya sastera, meskipun antara mereka telah menulis bertahun-tahun. Setiap pengarang seharusnya berusaha untuk menyesuaikan tulisan dengan khalayak pembaca yang sentiasa berubah.

Ledakan Digital dan Krisis Resepsi Pembaca

Salah satu cabaran paling ketara yang dikenal pasti dalam pemikiran Anwar Ridhwan ialah krisis yang melanda daya imaginasi pembaca. Ledakan kandungan digital, khususnya yang bersifat visual dan berdurasi pendek, telah melahirkan satu budaya konsumsi yang mengutamakan kepuasan segera dan rangsangan deria yang berterusan.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

Fenomena ini secara langsung membentuk semula tabiat kognitif masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi yang membesar dalam ekosistem digital. Daya tumpuan menjadi semakin rapuh, dan keupayaan untuk terlibat dalam proses pembacaan yang mendalam dan berpanjangan semakin terhakis.

Dari perspektif teori resepsi pembaca yang digagaskan oleh Wolfgang Iser, makna sesebuah teks sastera tidak wujud secara mutlak di dalam halaman buku. Sebaliknya, makna dibina secara aktif melalui interaksi antara teks dengan kesedaran pembaca. Iser berhujah bahawa teks sastera mengandungi ruang-ruang kosong—bahagian-bahagian yang tidak dinyatakan secara eksplisit—yang menuntut pembaca untuk mengisi jurang tersebut dengan imaginasi, pengalaman dan tafsiran mereka sendiri.

Proses inilah yang menjadikan pembacaan sastera sebagai salah satu tindakan kreatif dan partisipatif. Namun begitu, apabila budaya digital menyajikan naratif yang lengkap, padat dan tidak memerlukan pelibatan imaginatif yang mendalam, keupayaan kognitif untuk mengisi ruang kosong ini menjadi tumpul.

Anwar Ridhwan melihat fenomena ini sebagai perubahan tabiat semata-mata. Perubahan ini mencerminkan krisis imaginasi yang fundamental. Beliau menegaskan bahawa kekuatan sastera tidak terletak pada keupayaannya untuk bersaing dengan teknologi dari segi kelajuan atau sensasi visual.

Kekuatan unik sastera terletak pada kemampuannya untuk membina dan melatih imaginasi pembaca. Sastera menuntut pembacaan yang perlahan, reflektif dan sabar. Tuntutan ini mengajak pembaca untuk menyelami konflik batin watak, menghayati kerumitan emosi manusia dan merenung persoalan-persoalan kehidupan yang tidak mempunyai jawapan yang mudah.

Pengalaman ini secara asasnya bercanggah dengan logik budaya tular digital yang berasaskan hiburan segera. Oleh itu, perjuangan sastera hari ini bukanlah untuk menjadi lebih pantas, tetapi untuk mempertahankan dan menegaskan semula nilai proses pembacaan yang perlahan dan mendalam sebagai satu latihan penting bagi akal budi dan empati manusia.

Humanisme Sastera dan Tuntutan “Idea Besar”

Di tengah-tengah kebanjiran kandungan yang sering kali bersifat sepele, Anwar Ridhwan mengemukakan satu tuntutan yang tegas; karya sastera yang bermutu mesti didasari oleh “Idea Besar”. Konsep ini merujuk persoalan-persoalan asas dan universal tentang kemanusiaan—pergelutan dengan takdir, pencarian makna, dilema moral, hubungan antara individu dengan kuasa, dan sifat penderitaan serta harapan.

Prinsip ini berakar umbi dalam tradisi humanisme sastera, yang memandang karya sastera sebagai cerminan, penelitian dan perayaan terhadap pengalaman, martabat dan kerumitan jiwa manusia. Sastera; dalam pandangan ini, ialah suatu bentuk pengetahuan yang unik dan mampu meneroka dimensi-dimensi kewujudan manusia yang tidak dapat diukur oleh data atau dirumuskan oleh sains empirikal.

Dalam konteks kebangkitan kecerdasan buatan, penekanan terhadap “Idea Besar” ini menjadi semakin relevan. AI, dengan keupayaannya memproses data bahasa yang sangat besar, sememangnya mampu menjana teks yang gramatis, koheren dari segi struktur, dan meniru pelbagai gaya penulisan.

Namun begitu, Anwar Ridhwan berhujah bahawa AI tidak akan mampu menggantikan pengarang manusia kerana AI tidak memiliki prasyarat paling asas untuk menghasilkan sastera yang bermakna disebabkan tidak memiliki pengalaman hidup. Mesin tidak memiliki kesedaran subjektif kerana tidak pernah merasai kegembiraan, penderitaan, kehilangan, atau konflik batin.

Teks yang dihasilkannya, walaupun canggih, hanyalah satu simulasi yang terhasil daripada corak statistik, bukan suatu kesaksian yang lahir daripada jiwa yang hidup dan merasa. Oleh itu, “Idea Besar” yang diangkat dalam sastera tulen bukanlah sekadar tema yang abstrak. Persoalan yang dihayati dan digeluti oleh pengarang, lalu diterjemahkan ke dalam bentuk naratif sehingga mampu menyentuh kesedaran pembaca. Tema-tema universal seperti keadilan, penjajahan budaya atau krisis kerohanian hanya akan bergema sekiranya hal itu lahir daripada pemahaman mendalam tentang fitrah manusia, sesuatu yang berada di luar jangkauan algoritma.

Selain itu, seni kepengarangan ialah seni peribadi. Semenjak kehadiran kecerdasan buatan dalam dunia kata-kata, posisi pengarang begitu mudah diragui.

Jika setiap pengarang mempunyai pendirian seni, posisi pengarang tidak akan dilangkaui oleh kecerdasan buatan. Hal ini sangat berkait rapat dengan cara sistem ini berfungsi. Tanpa memiliki keupayaan mencipta pengalaman mahupun pendirian dan ekspresi seni, maka keterhadan ini menyebabkan pengurangan nilai dan kredibiliti karya yang dihasilkan oleh AI.

Struktur Naratif sebagai Disiplin Intelektual

Struktur yang longgar, tidak berfokus atau sewenang-wenangnya hanya akan menjejaskan nilai estetika karya.

Selain kandungan yang mendalam, Anwar Ridhwan turut memberikan penekanan yang kuat terhadap kepentingan struktur naratif dan disiplin bentuk. Pandangan ini sejajar dengan pendekatan strukturalisme naratif, seperti yang dikemukakan oleh pemikir seperti Tzvetan Todorov, yang melihat karya sastera sebagai satu sistem yang teratur dengan logik dalamannya yang tersendiri.

Dalam strukturalisme, makna sebuah karya tidak hanya terkandung dalam tema sahaja, malah dibentuk oleh cara elemen-elemen naratif seperti plot, watak, latar, dan konflik disusun dan dijalin. Struktur bukanlah sekadar bekas atau acuan; dalam sastera, struktur ialah bentuk yang menjadi sebahagian daripada makna.

Dalam konteks pembaca moden yang mudah terganggu, disiplin bentuk menjadi satu keperluan yang pragmatik. Struktur naratif yang kemas, dengan keseimbangan yang teliti antara eksposisi, konflik, klimaks, dengan resolusi, berfungsi sebagai sauh yang memegang perhatian pembaca dan memandu mereka melalui perjalanan intelektual dan emosi yang kompleks.

Struktur yang longgar, tidak berfokus atau sewenang-wenangnya hanya akan menjejaskan nilai estetika karya. Malah, karya dengan struktur sebegitu berisiko melemahkan impak “Idea Besar” yang ingin disampaikan. Disebabkan pembaca kehilangan minat sebelum sampai ke penghujung naratif, maka makna yang cuba dibina akan gagal disampaikan sepenuhnya.

Oleh itu, disiplin dalam menggarap bentuk merupakan satu manifestasi penghormatan pengarang terhadap pembaca; serta terhadap gagasan yang dipegangnya. Dalam etika kepengarangan yang menuntut ketelitian, perancangan, dan pemahaman mendalam tentang seni penceritaan, gagasan ini membawa pengarang menelusuri pemikiran yang ingin disampaikan dengan lebih kemas.

Bahasa Sastera: Melangkaui Fungsi Utilitarian

Era digital telah menyaksikan kebangkitan bahasa yang bersifat utilitarian—ringkas, langsung dan dioptimumkan untuk penyampaian maklumat yang pantas. Dalam ekosistem ini, sastera berfungsi sebagai benteng terakhir yang mempertahankan dan memartabatkan keindahan, kerumitan dan potensi bahasa.

Anwar Ridhwan menegaskan bahawa bahasa dalam sastera bukan sekadar alat komunikasi; tetapi sebuah wahana untuk pemikiran, etika dan pengalaman estetika.

Pandangan ini selari dengan teori stilistika, yang mengkaji bagaimana pilihan linguistik seorang pengarang—seperti diksi, sintaksis, metafora, dan imejan—secara aktif membentuk makna dan mencetuskan respons emosi dalam diri pembaca.

Penggunaan bahasa sastera yang canggih dan berlapis bukan bertujuan untuk mengaburkan makna, tetapi sebaliknya, untuk memperdalam makna. Metafora yang segar, simbol yang berimpak dan irama prosa yang terkawal mampu membuka dimensi-dimensi pengalaman yang tidak dapat dicapai oleh bahasa biasa. Hal ini memicu dan memaksa pembaca untuk berhenti, merenung dan melihat dunia dari perspektif yang baharu.

Proses penyuntingan yang berulang kali, turut ditekankan oleh Anwar Ridhwan, bukanlah sekadar latihan membetulkan tatabahasa. Berdasarkan pengalaman peribadi; beliau sendiri pernah melakukan penyuntingan sehingga 13 kali terhadap manuskrip yang telah ditulis—sebelum karya tersebut dihantar ke meja editorial. Hal ini menjelaskan prinsip dan pegangan tersebut selari praktikal.

Menurut beliau lagi, penyuntingan ialah satu proses penapisan pemikiran dan emosi, satu usaha untuk mencari perkataan yang paling tepat bagi mengungkapkan idea yang paling jitu. Jelasnya, disiplin terhadap bahasa sastera ialah satu pendirian etika dan intelektual yang penting.

Pendidikan Sastera dan Pembangunan Ekosistem Intelektual

Anwar Ridhwan sering mengkritik pendekatan pedagogi sastera yang terlalu berorientasikan peperiksaan, yang merendahkan karya agung kepada senarai tema dan nilai murni untuk dihafal.

Kerelevanan sastera dalam masyarakat moden tidak hanya bergantung kepada pengarang dan karyanya, tetapi juga pada ekosistem yang menyokongnya, terutamanya sistem pendidikan. Anwar Ridhwan sering mengkritik pendekatan pedagogi sastera yang terlalu berorientasikan peperiksaan, yang merendahkan karya agung kepada senarai tema dan nilai murni untuk dihafal.

Pendekatan sebegini bukan sahaja membunuh minat pelajar, malah juga mengkhianati fungsi sebenar sastera sebagai medium untuk merangsang pemikiran kritis, dialog dan tafsiran peribadi. Sastera di bilik darjah seharusnya diajar sebagai satu proses penemuan yang hidup, suatu proses penghayatan yang mesra, bukan sebagai satu set jawapan yang beku.

Gagasan keseimbangan antara hemisfera otak kanan dengan kiri (HOKA-HOKI) yang beliau ketengahkan merupakan satu seruan untuk pendidikan yang lebih holistik. Sastera, dengan kemampuannya untuk mengasah empati, kreativiti dan pemahaman terhadap kerumitan manusia, ialah komponen yang amat penting dalam usaha membina insan yang seimbang—yang bukan sahaja cekap dalam bidang sains dan teknologi, tetapi juga matang dari segi emosi dan moral.

Sastera tidak seharusnya dilihat sebagai subjek eksklusif untuk pelajar aliran sastera, tetapi sebagai satu disiplin kemanusiaan yang fundamental untuk semua.

Sastera sebagai Kompas Tamadun

Secara keseluruhannya, pemikiran Anwar Ridhwan menawarkan satu kerangka kerja yang teguh dan komprehensif untuk mengemudi sastera Melayu dalam cabaran era algoritma.

Dengan berpegang teguh pada prinsip-prinsip humanisme melalui “Idea Besar”, menegakkan disiplin bentuk dan bahasa, serta memperjuangkan pendidikan sastera yang membebaskan, sastera bukan sahaja dapat bertahan, tetapi dapat menegaskan semula kepentingannya yang mendesak.

Beliau mengambil pendirian yang sederhana tetapi tegas terhadap teknologi seperti AI; bahawa teknologi ini perlu dimanfaatkan sebagai alat bantu teknikal, tetapi tidak sesekali boleh menggantikan nurani, kesedaran sejarah dan tanggungjawab moral pengarang.

Dalam dunia yang semakin dikuasai oleh logik mesin, kecekapan dan data, sastera menawarkan satu ruang yang sangat diperlukan untuk perkara-perkara yang tidak efisien tetapi penting: keraguan, renungan, empati, dan keambiguan. Cerminan nilai dan akal budi sesebuah bangsa, dan pada masa yang sama, satu jambatan yang menghubungkan kita dengan pengalaman kemanusiaan sejagat.

Selagi para pengarang, pendidik dan institusi budaya terus mempertahankan mutu, kedalaman intelektual dan integriti artistik; sastera akan kekal berfungsi sebagai kompas moral dan benteng tamadun; juga akan mengingatkan kita tentang apa ertinya menjadi manusia.

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi