Diterbitkan pada 23 Jun 2026, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

London – Yayasan Komanwel mengekalkan kemenangan Jamir Nazir dalam Hadiah Cerpen Komanwel 2026 menerusi cerpennya, “The Serpent in the Grove”, yang mewakili Wilayah Caribbean, seperti diumumkan pada bulan Mei lalu, meskipun karya itu sebelum ini terpalit kontroversi susulan dakwaan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pengarahnya, Razmi Farook, menerusi kenyataan medianya hari ini menyebut, tiada bukti menunjukkan penggunaan AI dalam penghasilan karya itu, selepas menjalankan semakan menyeluruh terhadap dakwaan yang dibangkitkan bulan lalu.

“Lebih 7,800 penulis menyertai pertandingan tahun ini dan kami bertanggungjawab memastikan kesaksamaan, keadilan serta integriti sepanjang proses penilaian.

“Setiap karya yang memenangi hadiah telah dibaca oleh sekurang-kurangnya tujuh individu melalui beberapa pusingan penilaian yang ketat,” katanya.

Tambah Razmi, selepas berunding dengan hakim dan meneliti semua maklumat yang tersedia, mereka berpuas hati bahawa AI tidak digunakan untuk menulis karya yang memenangi hadiah.

Sehubungan itu, pihaknya akan meneruskan pengiktirafan terhadap pemenang wilayah yang dipilih menerusi proses penghakiman bebas.

Razmi berkata, semakan itu membuktikan komitmen Yayasan Komanwel dalam mempertahankan integriti hadiah berkenaan di samping mengiktiraf kreativiti dan keaslian penulis.

Beliau mengakui insiden itu menimbulkan keresahan dalam kalangan peserta, penulis yang disenarai pendek, pemenang, pembaca, dan panel hakim, terutama ketika perkembangan AI semakin memberi kesan kepada sektor kreatif.

Katanya, yayasan itu kini berusaha memperkukuh proses pengesahan keaslian karya sebagai keutamaan dan sudah memulakan perbincangan dengan organisasi berkaitan mengenai penggunaan alat pengesan AI yang sesuai dalam konteks anugerah sastera.

Sementara itu, tiga hari lalu, The Guardian melaporkan majalah sastera terkemuka, Granta tidak lagi akan menerbitkan karya pemenang Hadiah Cerpen Komanwel susulan kontroversi berkenaan.

The Guardian menyebut, menerusi kenyataan media yang dihantar kepada agensi media itu, Granta berkata tidak lagi akan terbabit dalam “kerjasama penerbitan pihak ketiga” yang tidak berada di bawah kawalan editorialnya.

Menurut Granta, keputusan itu dibuat selepas pemilihan pemenang wilayah Hadiah Cerpen Komanwel 2026 mencetuskan kontroversi berikutan spekulasi bahawa satu atau lebih karya yang dipilih mungkin dijana, sekurang-kurangnya sebahagiannya, menggunakan AI.

Kontroversi itu tertumpu kepada cerpen “The Serpent in the Grove” karya Jamir Nazir, pemenang bagi rantau Caribbean, yang menjadi perhatian di platform X dan Bluesky pada pertengahan Mei lalu.

Pengkritik mendakwa karya berkenaan mempunyai beberapa ciri yang sering dikaitkan dengan penulisan AI, termasuk penggunaan struktur ayat tertentu dan frasa yang dianggap luar biasa.

Walau bagaimanapun, Nazir menafikan dakwaan itu dan menjelaskan beliau menghasilkan cerpen berkenaan menggunakan fungsi pertuturan kepada teks menerusi telefon Android berikutan masalah kesihatan kronik yang menyukarkannya menaip dalam tempoh lama.

Hadiah Cerpen Komanwel 2026 akan mengumumkan pemenang keseluruhan pada 30 Jun ini, yang menawarkan hadiah wang tunai £5,000, manakala empat lagi pemenang wilayah masing-masing menerima £2,500.

Kredit Foto: Jacob Smith/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi