Diterbitkan pada 14 April 2026, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

London – Karya asal bahasa Melayu mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa apabila cerpenis Malaysia, Mohamed Nasser Mohamed, tersenarai dalam Hadiah Cerpen Komanwel 2026 bagi rantau Asia.

Cerpen beliau yang berjudul “Separuh yang Hilang” dipilih ke peringkat senarai pendek selepas diterjemahkan kepada bahasa Inggeris oleh Pauline Fan, “The Missing Half”, sekali gus membuktikan kekuatan karya tempatan untuk bersaing pada peringkat global.

Mohamed Nasser yang juga seorang editor merupakan antara tujuh wakil Asia yang tersenarai tahun ini. Turut mengisi senarai ialah tiga penulis dari India, iaitu Sharon Aruparayil, Rafaa Dalvi dan Rupsa Dey.

Selain itu, dua penulis dari Bangladesh, Anmana Manishita dan Shazed Ul Hoq Abir, serta Jacqueline Chang dari Singapura turut melengkapkan senarai pendek rantau berkenaan.

Selain rantau Asia, Sekretariat Hadiah Cerpen Komanwel dalam kenyataan medianya turut mengumumkan senarai pendek bagi semua rantau termasuk Afrika, Kanada dan Eropah, Caribbean serta Pasifik telah diumumkan serentak.

Menurut kenyataan itu, kesemua karya dipilih daripada 7,806 penyertaan yang diterima dari 54 negara Komanwel, mencerminkan tahap persaingan yang tinggi dalam kalangan penulis dari seluruh dunia.

“Lima pemenang serantau akan diumumkan pada 13 Mei ini, manakala pemenang keseluruhan dijadualkan akan diumumkan pada penghujung bulan Jun,” menurut kenyataan berkenaan.

Tambah kenyataan itu, penyertaan dari rantau Asia dilihat amat memberangsangkan tahun ini, termasuk karya yang dikemukakan dalam bahasa ibunda masing-masing, seperti bahasa Melayu dan Bengali.

Panel juri turut memuji kualiti cerpen yang disenarai pendek yang mempunyai kepelbagaian tema, termasuk kehilangan orang tersayang, cinta terlarang, bencana alam, dan konflik peperangan.

Hadiah Cerpen Komanwel dianugerahkan setiap tahun kepada karya cerpen yang belum diterbitkan dari 56 negara anggota Komanwel. Pertandingan ini terbuka dalam pelbagai bahasa, termasuk Benggali, Cina, Kreol, Perancis, Greek, Melayu, Malta, Portugis, Samoa, Swahili, Tamil, dan Turki, selain bahasa Inggeris.

Sementara itu, Pengerusi Juri, novelis dan dramatis Britain, Louise Doughty, berkata, proses pemilihan tahun ini amat mencabar berikutan kualiti karya yang tinggi.

“Dengan begitu banyak karya cemerlang untuk dipertimbangkan, tugas kami terasa hampir mustahil. Namun akhirnya, kami memilih penulis yang bukan sahaja hebat, tetapi juga benar-benar menguasai seni cerpen sebagai bentuk penulisan yang padat tetapi berkuasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Commonwealth Foundation, Razmi Farook, berkata, Hadiah Cerpen Komanwel terus menunjukkan peningkatan dari segi daya saing setiap tahun.

Beliau berkata, senarai pendek edisi kali ini mencerminkan kepelbagaian suara dan kreativiti luar biasa penulis dari seluruh Komanwel.

“Penceritaan memainkan peranan penting dalam membuka ruang kepada naratif alternatif, selain memperkaya kefahaman terhadap isu-isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat hari ini.

“Hal ini sekali gus membantu kita membina persefahaman dan membayangkan masa hadapan yang lebih inklusif,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi