Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sempena Sambutan Hari Puisi Nasional 2026, siapakah yang bakal dinobatkan sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan atau penerima Anugerah Penyair?
Hari Puisi Kebangsaan (HPK) disambut hasil daripada resolusi Hari Puisi Nasional (HPN) pada tahun 2021 di Benut, Pontian, manakala tarikh sambutan, iaitu 12 Julai dipilih bersempena dengan hari ulang tahun kelahiran Sasterawan Negara (SN) Dato’ Usman Awang.
Pada tahun 2022, SN Dato’ Baha Zain dan SN Dato’ Rahman Shaari dipilih sebagai penerima pertama Tokoh Puisi Kebangsaan dan tahun yang sama, HPK turut disambut di seluruh negara dengan memilih Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri.
Antara penerimanya termasuklah Datuk Jasni Matlani (Sabah), Allahyarham Pyanhabib (Kuala Lumpur), Leo A.W.S (Kelantan), Saiee Dris (Sarawak), Onn Abdullah (Perak), dan Mohd Rosli Bakir (Johor).
Sambutan HPK mula diadakan pada 12 Julai 2022 di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Dasar mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBrs. Dr. Tan Awang Besar.
HPK merupakan hari yang penting bagi penulis Malaysia, khususnya kepada golongan penulis sebagai menghargai pelibatan dan sumbangan mereka pada dunia sajak dan puisi.
Dengan adanya HPK, kebanyakan penulis menerima pengiktirafan bukan sahaja pada peringkat kebangsaan, malah peringkat negeri.
Sebelum HPK, tiada pengiktirafan secara khusus dan konsisten kepada golongan penyair. HPK bukan sahaja dianjurkan oleh pertubuhan penulis badan kerabat GAPENA, malah turut mendapat sokongan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sesetengah negeri turut mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan negeri dan ahli korporat dalam penganjurannya. Semasa HPK diadakan, pelbagai aktiviti diadakan termasuklah bengkel penulisan puisi, deklamasi, kolokium dan pelancaran karya puisi.
Pada tahun 2026, HPK masuk tahun kelima penganjurannya dan siapakah yang bakal dinobatkan sebagai tokoh puisi?