Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRaja Yusoff Ariffin membincangkan isu pemilihan Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri.
Pemberian itu bersempena dengan Hari Puisi Kebangsaan yang turut tidak terlepas daripada ‘rumah siap pahat berbunyi’, meskipun masih ‘setahun jagung’.
Seorang rakan penyair saya yang sebenarnya sudah layak diangkat sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan (TPK) Peringkat Negeri tidak mengetahui tentang acara penganugerahan TPK negeri berkenaan diadakan.
Penyair yang sudah mencapai taraf mapan dan veteran itu tidak mendapat maklumat mengenai tarikh dan tempat majlis tersebut. Apabila bertanya kepada pemimpin persatuan penulis negeri terbabit, beliau disoal kembali: mengapa tidak menganggotai persatuan berkenaan?
Jika menjadi ahli, jelas pemimpin tersebut, sudah tentu segala maklumat akan diberikan. Rakan penyair saya itu terkejut.
Beliau sangsi apakah itu anugerah peringkat negeri, atau anugerah persatuan penulis kalau menjadi ahli persatuan tertentu baru diberikan maklumat.
Rakan penyair saya itu menyatakan bahawa semua penyair wajar dijemput tanpa mengira ahli persatuan mana-mana pun, ataupun yang bergerak sendirian.
Saya mendapat tahu isu ini daripada seorang rakan penyair lain. Oleh sebab hal ini dianggap penting walaupun aneh, beliau meminta saya membangkitkannya dalam media.
Pada awalnya, saya menggelengkan kepala. TPK baru sahaja berusia dua tahun, tetapi telah timbul isu!
Pemberian itu bersempena dengan Hari Puisi Kebangsaan (HPK, yang bermula pada 12 Julai 2022) itu turut tidak terlepas daripada “rumah siap pahat berbunyi”, meskipun masih “setahun jagung”.
Tarikh 12 Julai yang dipilih sebagai hari sambutan HPK saban tahun, adalah berdasarkan tarikh kelahiran Sasterawan Negara (SN) ketiga, Dato’ (Dr.) Usman Awang pada 12 Julai 1929.
Sambutan HPK 2022, iaitu yang pertama, turut dimeriahkan oleh beberapa acara. Pelancarannya telah disempurnakan pada 12 Julai 2022 di Rumah GAPENA, Bukit Petaling, Kuala Lumpur oleh Dr. Tan Awang, yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (ketika itu), Datuk Hajah Saraya Arbi.
Bersempena dengan pelancaran HPK 2022, turut diadakan Anugerah TPK 2022 Peringkat Pusat. SN ke-12, Dato’ Baha Zain (Baharuddin Zainal), dan SN ke-15, Dato’ Rahman Shaari diangkat sebagai TPK 2022 berkenaan.
TPK 2023 ialah SN ke-13, Dato’ Dr. Zurinah Hassan, dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2000, Datuk Dr. Lim Swee Tin.
Sementara penyair mapan dan veteran tanah air, iaitu Puzi Hadi dan Marzuki Ali pula diangkat sebagai TPK 2024.
Seiringan dengan itu, diadakan juga Anugerah TPK Peringkat Negeri. Antara penyair terkenal tanah air yang telah dipilih termasuklah Leo AWS (Kelantan/Persatuan Penulis Kelantan), Allahyarham Pyanhabib (Kuala Lumpur/Persatuan Penulis Nasional Malaysia), Haji Saie Driss (Sarawak/Persatuan Karyawan Sarawak), Haji Aladdin Mohamad (Melaka/Ikatan Penulis Melaka), serta Hilmi Rindu dan Nawawee Mohammad (Terengganu/Persatuan Sasterawan Terengganu).
Seterusnya, Chai Loon Guan dan Onn Abdullah (Perak/Lembaga Pembangun Sastera Perak), Dr. Hj. Ahmad Razali Yusof (Selangor/Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor), dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Mohd Mansor@Ismail Abdullah atau nama penanya, M. Ashikin dan Ami Masra (Pahang/Dewan Persuratan Melayu Pahang).
Apakah kelayakan seorang penyair mesti miliki untuk membolehkannya terpilih sebagai TPK Peringkat Negeri?
Menerusi sebuah tulisan dalam halaman ini, saya pernah mengutarakan soal syarat pemilihan serta pemanfaatan TPK Peringkat Pusat dan TPK Peringkat Negeri.
Dalam tulisan ini, sebelum menambah sedikit mengenai syarat pemilihan, saya memenuhi permintaan membangkitkan persoalan: adakah penyair sebuah negeri yang dipilih itu TPK Peringkat Negeri atau TPK Persatuan Penulis?
Hal tersebut turut dikaitkan oleh rakan penyair saya tadi yang bertanya, apakah kelayakan yang seorang penyair itu mesti miliki untuk membolehkannya terpilih sebagai TPK Peringkat Negeri 2024.
Penyair yang diangkat sebagai TPK itu dipilih oleh persatuan penulis negeri berkenaan yang aktif dan “dianggap mesra” terhadap GAPENA.
Pertanyaan ini berkaitan dengan persoalan tambahan yang saya maksudkan tadi. Antara syarat layak pencalonan termasuklah mana-mana calon perlu memiliki lima kumpulan puisi sebelum tahun pemilihan.
Tanpa berburuk sangka atau iri hati, saya yakin calon-calon yang terpilih selepas tahun 2022 tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Keyakinan itu diperkuat oleh pertemuan saya yang tanpa dirancang dengan rakan penyair yang mengakui dirinya sebagai pencetus idea anugerah TPK. Katanya, syarat lima kumpulan puisi yang kelihatan sangat ketat itu bertujuan untuk mengelakkan terlalu banyak pencalonan.
Beliau hanya tersenyum apabila saya bertanya, adakah kini syarat sudah dilonggarkan? Mungkinkah panel penilai tidak mempedulikan jumlah kumpulan puisi? Asalkan ada, bagi mereka sudah layak.
Sekali fikir, syarat itu ketat. Walau bagaimanapun, pengiktirafan ini tetap membawa kebaikan. Antaranya sebagai penanda aras keampuhan si penyair.
Jadi, sementara masih baharu, syarat pemilihan TPK Peringkat Negeri perlu diketatkan semula, ataupun dikaji untuk memikirkan syarat yang lebih menyenangkan.
Menyertai persatuan penulis banyak memberikan manfaat. Akan tetapi, janganlah hal itu menjadi syarat mutlak atau kewajipan untuk memilih seseorang penerima. Kekuatan seseorang penyair atau penulis puisi sepatutnya tidak bergantung pada keahliannya dalam mana-mana persatuan penulis. Atau mungkinkah, sudah tiba masanya para penyair perlu berlapang dada dan mula mengisi borang keahlian mana-mana persatuan penulis aktif yang wujud di setiap negeri?
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).