31 Januari 2023, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selepas Hari Puisi Nasional (HPN) yang bermula pada tahun 1971, kemudian Hari Puisi Malaysia (HPM), dan Hari Puisi Kebangsaan (HPK), kini ada tiga hari puisi di negara kita. Bersempena dengan penganjuran HPK, turut diadakan penganugerahan Tokoh Puisi Kebangsaan dan Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri 2022. Raja Yusoff Ariffin cuba membuka perbincangan, dan mencadangkan langkah-langkah sewajarnya untuk memanfaatkan tokoh-tokoh puisi berkenaan.

Sebagaimana biasa, setiap perkara ada pro dan kontra. Kewujudan HPN, HPM dan HPK boleh mengundang kritikan. Sebagai contoh, pengkritik bertanya apakah kewajarannya ada tiga hari puisi di negara ini, yang boleh mengeliru serta membingungkan karyawan, dan peminat puisi sendiri.

Sungguhpun berasaskan puisi, tetapi HPN, HPM, dan HPK berbeza. HPN ialah acara selama beberapa hari setiap dua atau tiga tahun sekali, manakala HPM dan HPK disambut masing-masing bermula pada 13 Jun 2021, dan 12 Julai 2022.

Kebiasaannya, HPN menerima kira-kira 100 hingga 200 peserta yang mengikuti perbincangan menerusi pembentangan kertas kerja, dan forum oleh tokoh-tokoh undangan yang relevan.

Tarikh penganjurannya juga tidak ditetapkan. Ia boleh sahaja berlangsung pada awal, pertengahan ataupun penghujung tahun. Tidak seperti HPM yang ditetapkan pada 13 Jun dan HPK pula 12 Julai, HPM dan HPK boleh disambut dengan sekadar menyebut, atau turut dimeriahkan oleh pelbagai acara berkaitan.

Sebagaimana biasa, setiap perkara ada pro dan kontra. Kewujudan HPN, HPM dan HPK boleh mengundang kritikan. Sebagai contoh, pengkritik bertanya apakah kewajarannya ada tiga hari puisi di negara ini yang boleh mengelirukan serta membingungkan karyawan, dan peminat puisi sendiri.

Pada peringkat awal, saya turut hairan dan mula memikirkan apakah yang menyebabkan perkara sedemikian terjadi. Dalam hal ini, menurut Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), HPK lahir atau diilhamkan daripada tarikh lahir Sasterawan Negara (SN) ketiga (1983), iaitu Usman Awang.

Sambutan HPK2022 turut dimeriahkan dengan acara tertentu. Pelancarannya telah disempurnakan pada 12 Julai tahun lalu di Rumah GAPENA, Kuala Lumpur oleh Dr. Tan Awang yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Hajah Saraya Arbi.

Bersempena dengan pelancaran HPK2022, turut diadakan Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan 2022. Bagi anugerah kali pertama ini, SN ke-12, Baha Zain dan SN ke-15, Rahman Shaari diangkat sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2022.

Disebabkan ada Tokoh Puisi Kebangsaan, wajarlah ada Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri. Sehubungan itu, Sambutan HPK2022 Peringkat Negeri diadakan dari 13 Julai hingga 31 Julai 2022.

Sewajarnya ada Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri untuk setiap negeri. Walau bagaimanapun, tiada tokoh berkenaan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan juga Labuan. Begitu pun, ada dua tokoh puisi untuk negeri Perak.

Berikut ialah senarai Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri:

  • Jasni Matlani (Datuk Jasni Matlani) – Sabah.
  • Leo AWS (Abd. Waled Semail) – Kelantan.
  • Pyanhabib (Mohd. Supyan Abd. Rahman) – Kuala Lumpur.
  • Saie Driss (Haji Saie Driss) – Sarawak.
  • Aladdin Mohamed (Haji Aladdin Mohamed) – Melaka.
  • Rosli Bakir – Johor.
  • Hilmi Rindu – Terengganu.
  • Chai Loon Guan dan Onn Abdullah – Perak.
  • Ahmad Razali Yusof (Dr. Hj. Ahmad Razali Yusof) – Selangor.
  • Ashikin (Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Mohd Mansor@Ismail Abdullah) – Pahang.

Daripada 11 penyair yang terpilih, Pyanhabib dan M. Ashikin merupakan dua karyawan sajak atau penyair bukan anak jati negeri terbabit. Mereka berasal dari Perak.

Ketiadaan Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan (walaupun saya fikir ada tokoh yang sesuai/layak), agak menghairankan. Entah mengapa Rejab FI dari Perlis, Puzi Hadi (Kedah), Shukor Embi (Pulau Pinang), dan Mahaya Mohd. Yassin (Negeri Sembilan) – sebagai contoh, tidak diangkat.

Seperti Persatuan Penulis Perlis, Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) juga tidak menyenaraikan senarai penerima Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan walaupun mengadakan majlis sambutan HPK2022 pada 31 Julai. Lebih menyedihkan apabila Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) langsung tidak mengadakan majlis sambutan HPK2022. Mungkin tiada peruntukan atau PEN menganggapnya tidak perlu kerana tiada penyair (yang masih hidup) yang layak diangkat.

Penyair terkenal dari Negeri Sembilan seperti Dharmawijaya (Kamaruzzaman Abdul Kadir) dan Dharmala NS telah lama meninggal dunia. Mungkin anugerah ini mengecualikan penyair yang telah tiada. Mahaya Mohd. Yassin yang juga mantan Ketua Satu PEN masih berkarya, tetapi barangkali tidak layak dicalonkan/dipilih.

Begitu pun, saya tidak mahu bersangka buruk. Cuma, sebagaimana anugerah sastera untuk peringkat kebangsaan dan negeri selama ini, karyawan perlu mencalonkan diri sendiri dengan menyerahkan salinan semua karya yang relevan dalam tempoh tertentu kepada pihak urus setia.

Cara sedemikian, iaitu penganjur tidak meninjau karya/karyawan, boleh menafikan keadilan dan keseluruhan kerana jika ada karyawan yang benar-benar layak menang, tetapi tidak menghantar pencalonan dirinya, dia terlepas peluang memperoleh kemenangan. Secara tidak langsung, dia juga dianggap tidak hebat oleh pengikut sastera tanah air, dan umum.

Namun demikian, seperkara yang penting di sini ialah sebagaimana juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan juga anjuran GAPENA saban tahun, tokoh puisi kebangsaan peringkat pusat dan negeri yang terpilih jangan dipersia-siakan.

Mana-mana pihak boleh memanfaatkan ilmu, pengalaman dan kelebihan mereka demi perkembangan dunia perpuisian tanah air. Program yang berkaitan, seperti ceramah/bengkel misalnya, elok diadakan dari semasa ke semasa untuk membimbing calon penyair, malah penyair yang sedang giat dan masih aktif.

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016). 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.