Oleh M. Emir
15 Februari 2024, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

M. Emir meneruskan polemik tentang pelbagai pandangan dan komentar tentang usaha menghasilkan “karya yang bermakna” dengan gaya pembacaan psikologi berbalik atau reverse psychology yang sinis.

Jangan degil. Anda mesti duduk baik-baik sahaja dalam sastera.

Biar saya beritahu rahsia cara menjadi penulis yang berjaya:

 

I

Sebagai penulis yang ingin menggegarkan dunia sastera tanah air dengan karya yang hebat, anda jangan membaca buku. Itu tabiat buruk kerana apabila anda telah terbiasa dengan metafora tajam, anda tidak boleh menggunakan akal yang cerdas untuk mencipta pembaharuan. Di dunia ini, terdapat pelbagai jenis buku. Ada buku sastera, ada buku healing dan ada juga buku bukan fiksyen. Akan tetapi, walaupun buku sudah banyak, jangan gatal tangan pergi memilih untuk meneroka. Jangan ikut esei Jack Malik, Apa yang Ditinggalkan oleh Pembacaan? Dalam sastera mesti malas, barulah berjaya.

II

Jangan meneroka. Haha. Kedengaran aneh? Tetapi inilah salah satu langkah untuk berjaya. Kalau anda meneroka sastera jauh-jauh, anda mungkin sesat. Ada kompas ke untuk tunjuk arah? Sesiapa yang meneroka sastera lebih-lebih tidak akan berjaya kerana mungkin apabila anda pergi seorang diri ke benua lain dalam peta penulisan, anda tidak akan faham selok-belok simpang-siur penulisan. Anda akan penat sudah semestinya. Hei, jangan ikut sangat kata-kata penulis yang kononnya “meneroka akan menjadikan sastera baik … anda penulis yang baik sebab membuka haluan baharu dalam sastera …Kelak, anda akan menyesal dan menangis di atas meja menulis yang diisi dengan kertas A4 cap ayam.

III

Jangan degil. Anda mesti duduk baik-baik sahaja dalam sastera. Apa orang cakap, ikut. Jangan melawan. Kalau ada orang berusia cakap, dengar dan ikut membuta-tuli. Janganlah usul periksa. Kelak nanti anda berdosa. Melawan cakap orang tua itu berdosa. Lagi-lagi, kalau buka haluan baharu dalam sastera, lagilah berdosa. Jangan ikut sangat kata-kata T. Alias Taib, anda bukan T. Alias Taib. Jangan nak perasan sangat. Terus sahaja mendengar walaupun penulis lama itu tak betul. Kita kan ada adab (hehe)?

IV

Hang penulis, hang duduk diam-diam je kat rumah tu. Tak pun melancong pi air terjun. Dah, tak payah bergaul. Anda penulis, bukan? Anda kena termenung kat rumah ataupun kalau mahu keluar, cari ilham di air terjun atau pantai. Tak perlu bergaul dengan masyarakat untuk mendapatkan ilham. Mengarut bin tahyul semua benda ’tu. Mana ada penulis yang bergaul dapat ilham? Lagipun, tengok. Penulis yang duduk di bawah air terjun memanjang ’ni mesti hebat.

V

Jangan ikut puisi yang merepek-repek ’ni. Puisi kita ada rima sepatutnya. Kalau ada yang lain, ha … maksudnya, dia dah sesat. Anda jangan ikut tersesat persis dia. Puisi kita (sekali-sekala) guna perkataan bombastik yang membiarkan orang jadi tak faham. Baru puitis. Masukkan aje semua yang orang tak faham. Kalau mereka dapat teka, mereka pembaca bijak. Kalau tak dapat teka, kita penulis bijak. Bukankah adat puisi menjadi suatu kemestian untuk berteka-teki dengan pembaca? Ikut aje trend healing di Twitter. Barulah hebat dan nama tak tenggelam ditelan zaman. Apabila anda menulis puisi dengan penuh kata-kata bombastik seperti:

  1. Renjana
  2. Kencana
  3. Buana
  4. Bentala
  5. Ratna
  6. Puspita

Maknanya, anda memang layak digelar sebagai ketua Malay Rizz.

Dengan tip ini, anda akan menjadi penulis yang berjaya. Anda tidak akan gagal, sastera akan berkembang. Sastera akan maju. Anda akan kaya. Anda akan menempa nama. Anda tidak akan dilabel sebagai penulis yang syok sendiri. Selepas ini, sastera ialah anda yang punya. Aliff Awan merepek. Sastera kita mana ada akan mati? Dengan tip ini, sastera kita akan terus hidup. Innalillah  alhamdulillah.

Sama-sama kita buat pulut kuning sempena kegembiraan apabila sastera kembali bertenaga. Yahoo!

Kredit Foto: Wes Hicks/Unsplash

_________________________

M. Emir merupakan penulis yang berasal dari Kuantan, Pahang. Beliau telah menghasilkan beberapa buah puisi eceran yang tersiar dalam Tukang Puisi dan Selangorkini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.