5 Februari 2024, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Benedecit Anak Samling menghasilkan anekdot tentang proses masakan sawi dan hasilnya sebagai khasiat “rawatan” manusia.

Adakah kelazatan itu membawa kepuasan? Atau sebagai medium ‘healing’? Sebenarnya, siapa yang puas? Siapa yang terawat?

Kuali dan sawi, kedua-duanya bermula daripada dasar tanah. Pertumbuhan sawi daripada benih yang disemai di dalam tanah manakala logam digali dari perut Bumi, yakni tanah. Kedua-duanya bermula daripada tanah dan kedua-duanya menempuh fasa transformasi sehingga benih yang secara puratanya seberat 1 miligram menjadi 10 gram dan logam yang berkepekatan 1 miligram per liter menjadi 1 kilogram.

Meleburkan mineral, memasak dan menanam ialah pekerjaan yang dilakukan oleh manusia, pekerjaan yang akan mengujakan sesiapa sahaja kerana pada akhirnya nanti, akan ada sesuatu yang terhidang di atas meja.

Dan, pekerjaan memasak mengheret manusia ke dalam transformasi metabolisme. Api, air dan garam yang digunakan dalam masakan mengubah sawi yang tiada rasa menjadi sesuatu yang lazat. Manusia memecahkan molekul air untuk menarik hidrogen lalu menghidupkan enjin dan manusia juga menggali emas daripada tanah untuk dijual beli lalu dijadikan sebagai alat dagangan. Buktinya, di kedai emas milik Limah, Lee dan Lemot dipaparkan tanda harga satu gram emas bernilai RM300. Yang datang berbondong-bondong, yang keluar kosong. Kata pengunjung, untuk healing. Semuanya bermula dari dalam tanah. Ah! Itu cerita lain. Mudahnya manusia terpesong, memesong dan dipesongkan.

Berbalik pada memasak dan sayur sawi, sayur yang berasal daripada sebiji benih seberat 1 miligram lalu ditunggu-tunggu berhari-hari sebelum dimasukkan ke dalam kuali logam untuk ditukarkan menjadi hidangan yang lazat. Lazat? Adakah kelazatan itu membawa kepuasan? Atau sebagai medium healing? Sebenarnya, siapa yang puas? Siapa yang terawat?

Sawi mengambil masa 30 hari selepas penanaman sebelum cukup matang untuk dituai. Sementara itu, untuk menghasilkan kuali logam memerlukan acuan, besi dan karbon (unsur ini juga berasal daripada tanah). Dalam tempoh transformasi ini, manusia bukan sahaja bercucuk tanam, malah terlibat dalam proses mencipta. Kedua-dua proses ini menuntut masa dan tenaga serta mungkin sedikit wang.

Dalam tempoh transformasi, manusia memerlukan unsur yang amat penting, iaitu benih sawi yang berkualiti serta kuali logam yang cukup logamnya. Kedua-dua unsur ini akan menentukan keadaan di atas meja makan – sepi atau kecoh.

Jadi, saya boleh katakan bahawa proses transformasi ini bermula daripada sebiji benih sawi. Kualiti benih pula perkara yang lain. Jadi, pada pandangan anda, apakah kita juga bermula daripada benih?

Pada ketika saya sedang menulis artikel ini saya yakin, ada petani yang sedang menanam sawi dan ada ibu yang sedang mual-mual lalu memuntahkan angin. Itulah petanda proses kesuburan. Mungkin agak aneh, bayi dalam kandungan disamakan dengan sayur sawi yang akan dipotong-potong lalu dimasukkan ke dalam kuali logam yang panas, dilambung-lambung, dicampur garam, lalu berakhir di atas meja menjadi hidangan yang lazat. Wah! Sayur sawi yang panas tentu lazat dimakan begitu sahaja. Awas! Jangan dimakan sayur yang sejuk, mudaratnya menyeksakan.

Tanpa kuali, tentu sawi akan menguning lalu membusuk.

Mengapa sawi? Jika ditelusuri dengan sedikit mendalam, DNA sawi lebih kompleks daripada DNA manusia. Saintis berpandangan, semakin kompleks DNA organisma, semakin kompleks struktur organisma itu. Namun begitu, sawi menidakkan kenyataan saintis itu. Sawi memiliki struktur yang sangat ringkas malah struktur sawi dapat diteroka dengan hanya menggunakan mikroskop yang dibeli dari gedung membeli-belah dalam talian. Sungguhpun begitu, kedua-dua manusia dan sawi mempunyai sedikit persamaan, iaitu mempunyai lebihan DNA. Lebihan DNA ini diklasifikasikan oleh saintis sebagai DNA yang kurang fungsinya. DNA ini seperti lebihan potongan sawi di atas papan pemotong, menunggu sama ada digunakan untuk menyuburkan tanah atau berakhir di dalam tong hijau, membusuk bersama sisa-sisa tulang dan akhirnya dibawa ke tapak pelupusan sampah.

Berbanding kuali logam, manusia hampir tiada persamaan. Sungguhpun begitu, di dalam darah manusia ada unsur logam, iaitu unsur besi (ferum). Andai manusia ialah kuali dan si kuali pula mempunyai hak memilih, tentu sahaja kuali memilih untuk tergantung di dinding atau di dalam kabinet kayu, tidak perlu membakar punggungnya demi memuaskan perut manusia. Jika kuali memilih untuk tergantung atau terperap di dalam kabinet kayu yang gelap, proses transformasi dan metabolisme tentu tidak akan terjadi. Mujur, kuali tidak berakal dan merelakan sahaja manusia yang berakal menggunapakaikannya untuk mentransformasikan sawi menjadi hidangan. Tanpa kuali, tentu sawi akan menguning lalu membusuk.

Ya, kini sawi sudah cukup matang. Kuali logam sudah ditempa oleh penempa terhandal. Logamnya asli. Sawi dicabut berserta dengan akarnya. Dibasuh dengan air tanpa klorin. Dipotong sama panjang dengan pisau yang ditajamkan menggunakan batu pengasah yang diterbangkan dari Itali. Kuali logam didudukkan di atas api biru, dipanaskan sehingga punggungnya merah menyala. Dua tiga titis minyak masak (jangan dilebih-lebihkan, diyakini memudaratkan orang yang sihat), beberapa hirisan bawang putih menyelam di dalam minyak sehingga kekuningan. Dan akhirnya, saat-saat yang dinantikan setelah menunggu selama 30 hari. Potongan sawi diterjunkan ke dalam minyak berserta bawang putih yang kekuningan. Desiran minyak dan asap menerjah udara dapur lalu menghantar bau nikmat yang menjentik setiap rongga hidung. Meja menadahkan dadanya untuk menyambut sepinggan sawi goreng bawang putih. Sebelum diraikan keenakannya, secubit garam ditabur di atas sawi yang masih berasap.

Kemuncaknya, “apakah anda sudah bersedia dengan suapan pertama?” atau “mahu guna sudu atau garpu? Buatan tempatan atau Itali?” Kalau guna tangan, kurang puitis pula tetapi mungkin akan memberikan kenikmatan yang dicari-cari selama ini – keseimbangan antara puitik dengan praktik. Jadi, tanpa melencong lebih jauh, nikmatilah setiap suapan sawi yang masih panas dan dimasak di dapur rumah. Kualiti pasti umph! Healingnya lebih terjamin berbanding yang dijual di restoran lima tingkat berpintu gerbang berlangsirkan kain sutera.

Kredit Foto: Nadine Primeau/Unsplash

_________________________

Benedict Anak Samling berasal dari Sarawak. Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Tunas Cipta, Utusan Borneo, Dewan Kosmik, Dewan Budaya, dan SelangorKini. Memenangi beberapa sayembara penulisan kreatif termasuk cerpen STEM anjuran Unisel-DBP, cerpen kearifan tempatan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, cerpen kebudayaan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak dan Majlis Seni Sarawak, serta cerpen legasi anjuran Pustaka Negeri Sarawak. Menerima Hadiah Sastera Tunas Sarawak kategori cerpen dan puisi pada tahun 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.