Oleh Lucy M
19 Januari 2024, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lucy M menyokong tulisan Aliff Awan dan berpandangan bahawa percubaan karya “healing” yang diperkenalkan oleh para kapitalis merupakan pancingan komersial kepada pembaca dan penulis sastera yang buta terhadap mainan kapitalis demi mengaut keuntungan semata-mata.

Secara mudahnya kita akan menemui lipatan sejarah tentang layanan berlandaskan darjat dan ketamakan yang tak berkurang-kurang. Itulah mengapa hal ini begitu aneh apabila sastera kita diajukan agar bersifat ‘healing’ setelah berlalunya COVID-19.

Sangat benar apa yang dikatakan oleh penyajak Aliff Awan dalam eseinya yang berjudul “Hal-hal Healing Cuma Barang Dagangan Kapitalis”, bahawasanya karya healing atau “penyembuh” tak lain tak bukan hanyalah komoditi terkini para kapitalis.

Betapa celakanya para kapitalis ini, setelah kita mual terhimpit dengan pelbagai keterpaksaan, menahan isi perut daripada terkeluar mengharungi pandemik (yang menyaksikan status quo yang tidak terhakis, malahan menguat), kita diajak pula untuk healing bersama. Inilah tema dunia hari ini, mari sembuhkan diri, padahal yang merana itu kita. Yang jadi sewel itu kita. Yang terjun bangunan itu, meskipun bukan kita, tapi orang-orang biasa yang kita kenal.

Apa yang tuan puan kapitalis buat ketika pandemik? Apa yang golongan berkuasa buat ketika pandemik? Pahit untuk diingat tapi parut masih hangat dan terang kelihatan. Bukalah internet. Secara mudahnya kita akan menemui lipatan sejarah tentang layanan berlandaskan darjat dan ketamakan yang tak berkurang-kurang. Itulah mengapa hal ini begitu aneh apabila sastera kita diajukan agar bersifat healing setelah berlalunya COVID-19.

Jika kita benar-benar menelusuri gerak kerja kapitalis (bukan menerusi sastera saja), mereka berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui pemberdayaan wanita, teknologi hijau, kesedaran kesihatan mental, menunggang agama yang kudus, katakan apa saja … asal terhidu lubang dan peluang, para kapitalis akan memasukkan lehernya dan membuka kedai.

Pertanyaan wajar diulang: Mengapa setelah kita saksikan dengan dua bola mata kita sendiri betapa dahsyatnya para kapitalis membuas ketika pandemik, sastera kita hari ini tidak melakukan usaha radikal untuk mengubah atau sekurang-kurangnya bersuara tentangnya? Dan entah mengapa, harus pula bertumbuk bertikam fasal sastera tua atau sastera muda, luka siapa yang paling parah? Alahai …

Dan jika kita memetik pepatah Inggeris Gen Z, “no cap for real” (yang bermaksud, “jangan berbohong”, “bersikap benarlah” atau “bersikap terus-teranglah”), kita akan bertanya pada keadaan dunia sastera sekarang: jadi apakah hal yang radikal yang sudah disuarakan dengan jujur dan benar wahai sang sasterawan? Betapa hati kita terenggut, kerana apa-apa yang kita boleh katakan tentang usaha radikal sasterawan pada hari ini ialah hal-hal yang masih belum selesai dan diulang-ulang sejak lima, enam puluh tahun yang lepas. Fasal petani kehilangan tanah. Fasal kebajikan buruh yang tertindas. Fasal diskriminasi gender dan bahana perubahan iklim. Aduhai!

Wahai saudara dan saudari …

Sastera sewajibnya membincangkan pengalaman kolektif manusia. Dan, antara pengalaman kolektif tersebut termasuklah luka yang dihadapi sehari-hari. Soal teknik, pastilah ahlinya yang lebih layak membicarakan, namun sastera yang selektif, yang hanya menyentuh “sekian” dan “bukan sekian” ialah sastera elit. Dan, di luar lingkungan sastera ini, seperti aturan alam, muncul sastera orang biasa atau sastera commoners, kerana tiada sesiapa yang mahu menulis cerita orang kecil jika bukan empunya diri.

Ambillah teladan daripada sejarah negara jiran. Kolonial Belanda ketika masih merangkul tanah yang bakal merdeka dan dinamakan Indonesia – tidak membenarkan mana-mana peribumi untuk masuk ke tempat mereka beriadah (mendengar muzik dan membaca buku). Larangan ini ditampal di luar bangunan dan taman: “Anjing dan Peribumi Sila Berhambus!”

Mengapa agaknya Belanda bersikap seperti ini? Bukankah seni dan sastera itu kepunyaan semua?

Mungkin ketika itu, para kapitalis belum dapat melihat prospek yang ditawarkan daripada sastera yang egalitarian, yang turut membawa nyala jiwa “peribumi”.

“Sajak tak bagi jawapan” ucap Jack Malik ketika menganjurkan bengkel sajaknya di Tokosue. Kenyataan ini sesungguhnya benar, tapi mungkin sebenarnya yang jauh lebih penting bukanlah semata-mata mendengar jawapan, tapi perkara apakah yang berani dipertanyakan.

Kredit Foto: Mark Boss/Unsplash

_________________________

Lucy M lahir dan membesar di Tawau, Sabah. Beliau menulis sejak tahun 2017. Himpunan cerita pendeknya, Bunyi Paling Melankolik Dunia (2018) diterbitkan oleh Penerbitan Langit. Karya ecerannya turut tersiar di pelbagai medium tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.