Oleh Salman Sulaiman
18 Januari 2024, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman menampilkan perbandingan antara pengarang yang sejati dengan penulis yang olok-olok dalam persada sastera kita.

Pada akhir zaman ini, penulis olok-olok diangkat. Pengarang sejati tidak diendahkan. Ke dalam sastera ini, dia hanya masuk untuk bermain-main – itulah sikap dan perlakuan penulis olok-olok, yang tidak layak pun dipanggil pengarang.

Pengarang sejati ialah pengarang yang sebenar, iaitu insan yang sedar kedudukannya dan tahu tugas serta tanggungjawabnya, dan dia ialah insan ulung yang berpegang teguh pada kebenaran. C. Hooykaas dalam Perintis Sastera (Penerbit Fajar Bakti, 1981) menjelaskan tugas kewajipan pengarang seperti berikut, “Penulis harus mengabdi kepada peri kebenaran, iaitu sebagai yang dapat dirasainya. Ia tidak boleh menyimpang dari itu, ia tidak boleh memperkosanya. Hanya dengan demikian ia dapat menjadi seniman, dan hanya dengan demikian pula masyarakat mendapat faedah dari pekerjaannya, baik dipandang indah dan berguna ataupun tidak dipandang demikian oleh masyarakat itu.”

Pengarang ialah insan berilmu dan manusia yang bijaksana. Pengarang sejati perlu meletakkan dirinya sebagai seorang cendekiawan, sekali gus intelektual yang bukan sahaja bijak, namun bertanggungjawab menghidupkan budaya ilmu dalam masyarakatnya. Mohd. Affandi Hassan dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid (DBP, 1992) merumuskan bahawa kewajipan pengarang dalam Islam ialah membentuk peribadi sempurna berasaskan konsep insan seperti ajaran wahyu, perlu menentukan agar tulisannya tidak melanggar syariah dengan menjadikan konsep “kalimah tayyibah” sebagai panduan berkarya.

Jika dalam masa setahun dia tidak membaca sebuah buku pun, dan tidak ada satu majlis ilmu pun yang diikutinya, itu bukan pengarang, itu penganan – yang hanya akan jadi habuan orang, untuk mengenyangkan perut manusia-manusia tertentu yang berkepentingan. Penulis olok-olok akan duduk di sini dan di situ – di mana saja tempat dia boleh menonjolkan diri dan dapat mencari makan. Diangguk-anggukkan saja semua perkara.

Tidak pernah didukungnya kebenaran. Hanya kepalsuan-kepalsuan yang terserlah, walaupun cuba disembunyikan. Lebih menyedihkan, penulis olok-olok ialah penulis yang tidak ada tulisan. Apa yang hendak kita baca hasil daripada karya tulisnya? Kosong. Kalau ada pun amat sedikit, dan cuma karya-karya mengarut yang tidak berkualiti. Karya lama yang gah dan telah diiktiraf mutunya, juga tiada. Malu kita ingin memanggilnya pengarang, apalagi sasterawan.

Pada akhir zaman ini, penulis olok-olok diangkat. Pengarang sejati tidak diendahkan. Ke dalam sastera ini, dia hanya masuk untuk bermain-main – itulah sikap dan perlakuan penulis olok-olok, yang tidak layak pun dipanggil pengarang. Yang menjadikan dunia penulisan sebagai hobi dan sekadar ingin memenuhkan masa terluang dalam hidup, masih boleh diterima. Namun amat malang untuk yang memasuki dunia sastera ini kerana main-main dan sengaja mahu berolok-olok sahaja. Dunia sastera yang sangat indah ini akan rosak dan makin punah dengan adanya manusia-manusia seperti ini.

Kerangka fikir seorang pengarang itu perlu diperbetulkan sejak dari awal dia mencipta karya pertama. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara kita yang ke-10, seperti yang dilaporkan dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara 2009 (DBP, 2009), mula menanam cita-cita yang jelas sejak awal menceburi arena persuratan apabila beliau tegas menyatakan mahu, “Mencipta karya yang bermutu menurut teori sastera Melayu dan menurut piawaian antarabangsa.” Kata kunci atau isi utama dalam niat beliau itu ialah “mencipta karya yang bermutu”. Mempunyai kerangka fikir yang betul dan niat tujuan yang jelas ialah salah satu ciri penting seorang pengarang sebenar.

Hizairi Othman, sarjana yang berada dalam kelasnya yang tersendiri dan sasterawan sejati yang pernah kita miliki, dalam Kreativiti dalam Penciptaan Karya Sastera (DBP, 2000) pernah mengakui bahawa, “Realitinya, menjadi penulis bermakna perlu memikul tanggungjawab yang besar. Menulis sebenarnya merupakan suatu profesion yang mulia.”

Apabila tidak ada tujuan yang jelas, atau memang berhajat dari awal dengan agenda tertentu (yang selalunya lebih terarah kepada cita-cita peribadi), maka orang begini hanya akan melacurkan sastera dan merosakkannya dari dalam, serta memperdagangkannya dengan bermatlamatkan keuntungan semata-mata.

Daripada kerja buatnya dapat diketahui, dengan nilaian mata batin insan-insan yang benar-benar ingin memartabatkan sastera bahawa orang begitu tidak jujur perilaku dan kerja buatnya. Malah, sesiapa saja pun dapat menilai, asalkan yang melihat kebobrokan itu ialah insan yang tulus dan ikhlas jiwanya sebagai pengarang. Pengarang sebenar tentu saja akan dapat mengenal para penulis olok-olok yang semakin banyak kelibatnya dapat dilihat berkeliaran tidak ketahuan hala dalam ranah sastera yang asalnya murni ini.

Pengarang sejati tidak gilakan anugerah dan gelaran, kerana dia tahu yang dinilai dan dipegang berpanjangan oleh masyarakat ialah karyanya yang bermutu tadi. Manakala penulis olok-olok atau sasterawan palsu pula lebih laparkan pengiktirafan yang sebenarnya tidak layak pun untuk dirinya, atau mungkin juga belum sampai masa. Setelah dinilai dari sudut hasil ciptanya yang tidak seberapa. Namun dek sifat “gila gelaran” tadi, dipersetankan kejujuran dan karya yang bermutu. Betapa ramai pengarang sebenar yang lebih layak, namun oleh sebab pengarang sebegitu bukanlah jenis yang lapar anugerah dan gemar melobi serta tiada sifat mengangkat diri sendiri, maka tertinggallah dirinya daripada seberang anugerah dan pengiktirafan.

Namun begitu, yang tetap kekal abadi menjulang peribadinya ialah karyanya yang hidup dalam hati nurani masyarakat pembaca. Itulah saja pegangannya yang utuh – pengarang sejati yang kental berkarya ke akhir usia. Penulis palsu yang sekadar berolok-olok pula tidak akan ke mana, namanya akan dilupakan kerana karyanya yang unggul sebetulnya tidak pernah ada.

Kredit Foto: Csabi Elter/Unsplash

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.