Diterbitkan pada 15 Disember 2025, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melalui rasional saintifik, Ahmad Farihan Abdul Manan meneliti kepentingan penjalinan hubungan antara penulis muda dengan penulis mapan sebagai sebuah ekologi sastera yang sihat.

Menghormati penulis mapan bukan bermaksud mengangkat mereka secara membuta tuli, tetapi mengiktiraf peranan mereka sebagai pembina landasan.

Dalam mana-mana ekosistem ilmu, kesinambungan merupakan faktor paling kritikal bagi kelangsungan tamadun. Dalam dunia kesusasteraan, hubungan antara penulis muda dengan penulis mapan menzahirkan satu bentuk rantai kehidupan intelektual yang tidak jauh bezanya daripada mekanisme ekologi, iaitu unsur yang baharu tumbuh dari tanah yang telah digemburkan, akar mencengkam ke dalam lapisan demi lapisan, dan kanopi yang matang memberi teduh pada pucuk-pucuk yang baru belajar mengenal cahaya. Oleh itu, rencana ini menelusuri keperluan intergenerational continuity atau “kesinambungan antara generasi” dalam dunia penulisan, khususnya dalam konteks Malaysia, dengan menimbangkan unsur budaya, sastera dan prinsip-prinsip sains yang relevan.

Penulis Muda sebagai Pelapis: Evolusi Kreativiti dalam Ekosistem Sastera

Dari perspektif sains evolusi, kelangsungan spesies ditentukan oleh kebolehan menghasilkan generasi baharu yang mampu beradaptasi dengan cabaran semasa tanpa memutuskan hubungan dengan sumber genetik asal. Analogi ini sesuai digunakan untuk menjelaskan signifikan penulis muda dalam dunia penulisan. Mereka mewakili variasi kreatif yang menggerakkan genre, memecah tembok gaya dan memperkenalkan perspektif baharu.

Namun begitu, benih tidak akan bercambah tanpa tanah. Penulis muda tidak muncul dari ruang yang kosong. Mereka muncul daripada tradisi dan bibliografi-bibliografi terdahulu serta lorong gaya yang telah diteroka oleh penulis mapan. Oleh itu, konsep “pelapis” bukan sekadar istilah organisasi, tetapi realiti ekologi dalam dunia sastera.

Penulis Muda Menghormati Penulis Mapan: Adab Ilmu dan Asas Kestabilan Epistemik

Kajian sains menyatakan bahawa struktur sesuatu sistem hanya stabil apabila wujud asas kukuh yang menyokong tindakannya. Dalam tradisi persuratan, penulis mapan ialah struktur asas tersebut. Sebagai tokoh yang telah merentas puluhan tahun pengalaman, pergelutan idea dan penumpuan intelektualnya telah membentuk korpus ilmu yang menjadi rujukan generasi kemudian.

Menghormati penulis mapan bukan bermaksud mengangkat mereka secara membuta tuli, tetapi mengiktiraf peranan mereka sebagai pembina landasan. Tanpa mengenali sejarah perkembangan gaya, tema dan konsep dalam sastera, penulis muda akan menulis tanpa akar intelektual yang jelas.

Prinsip ini sejajar dengan adab ilmu yang telah lama ditekankan dalam tradisi keilmuan Islam dan juga epistemologi moden bahawa setiap ilmu baharu wajar berpijak pada asas yang telah dibangunkan terdahulu. Dalam kimia, kehadiran mangkin mempercepat tindak balas, sekali gus mengelakkan pembaziran tenaga. Demikian juga penulis mapan menjadi pemangkin pada kematangan generasi baharu, mempercepat perkembangan mereka dan mengelakkan kesilapan intelektual yang berulang.

Bentuk hormat ini hadir melalui tindakan yang mudah tetapi signifikan, termasuk membaca karya penulis terdahulu, mengiktiraf sumbangan mereka, memelihara etika rujukan, dan tidak meniru tanpa izin.

Penulis Mapan sebagai Mentor dan Induk Pengetahuan

Ilmu fizik menyebut bahawa setiap objek yang bergerak mendapat tenaga daripada sumber tertentu. Dalam dunia penulisan, sumber tenaga itu hadir dalam bentuk mentor, idola dan penulis mapan yang telah menempuh beberapa fasa pembangunan diri, kesilapan, penambahbaikan, dan penemuan gaya.

Penulis mapan berperanan sebagai sumber rujukan metodologi tentang cara membina struktur naratif, mengekalkan disiplin dan kaedah merawat idea mentah. Hasil perjalanan panjang melalui pelbagai penolakan, kritikan, apresiasi, dan perbahasan panjang, penulis mapan berfungsi sebagai arkib pengalaman yang boleh dijadikan rujukan oleh penulis muda. Selain itu, penulis mapan bertindak sebagai kompas etika sastera untuk menunjuk arah dan jalan bahawa ketinggian adab sebagai penulis mendahului ketinggian gaya.

Dalam bidang sains sosial, konsep knowledge transmission atau “transmisi pengetahuan” menerangkan bahawa ilmu yang stabil dikembangkan melalui interaksi dua generasi, iaitu pembawa tradisi dan pembawa inovasi. Tanpa gabungan ini, ekosistem ilmu menjadi rapuh.

Menghormati Penulis Mapan Tanpa Mengira Asal Usul Negeri

Kesusasteraan tidak mengenal batas geografi. Seperti hukum fizik yang tidak berubah walau berada di hemisfera mana sekalipun, kualiti karya juga tidak dipengaruhi oleh daerah kelahiran penulis.

Menghormati penulis mapan tidak kira dari Kelantan, Pahang, Kedah, Sabah, atau mana-mana tanah asal sekalipun ialah prinsip asas kerana mereka telah memberikan sumbangan tenaga kinetik yang menggerakkan sejarah kesusasteraan. Karya yang dihasilkan oleh penulis mapan telah melalui ujian masa, yakni prinsip paling ketat dalam semua bidang sains. Malah, sifat sastera itu sendiri ialah lintas budaya dan lintas negeri serta negara. Hal ini menyebabkan penulis mapan wajar dihormati tanpa mengira asal usul kelahiran. Menghormati penulis mapan daripada segenap latar bukan sahaja mencerminkan kematangan intelektual penulis muda, tetapi juga menunjukkan bahawa sastera ialah kegiatan merentas sempadan, merentas dialek dan merentas sensitiviti lokal.

Penulis muda yang gagal melihat keluasan ini sebenarnya terperangkap dalam regional bias yang membataskan perkembangan dirinya.

Gaya Penulisan Berbeza Bukan Alat untuk Menghina Penulis Mapan

Variasi ialah hukum alam. Dalam biologi, diversiti genetik ialah faktor yang menjamin kelangsungan spesies. Dalam sastera, diversiti gaya ialah kunci perkembangan genre dan imaginasi.

Namun begitu, diversiti ini tidak boleh disalahertikan sebagai lesen untuk menghina atau merendahkan gaya penulis mapan. Sains mengajar kita bahawa variasi tidak bermaksud pertentangan, tetapi saling melengkapi. Dalam fizik kuantum, dua zarah boleh wujud dalam keadaan berbeza tetapi tetap saling berkaitan melalui entanglement (keterlibatan). Begitu jugalah halnya dengan variasi gaya yang bebas dan berbeza, tetapi tetap terikat dalam ranah sastera yang sama.

Kritikan boleh, perbezaan boleh, tetapi penghinaan bukan sebahagian daripada etika ilmu. Gaya moden, eksperimental atau radikal tidak memberikan hak kepada penulis muda untuk menafikan nilai sejarah dan estetika karya penulis mapan.

Fenomena Penulis Baharu “Setahun Jagung”: Cabaran Etika dan Kematangan Idea

Hanya melalui saling berhubungan inilah sastera dapat berkembang secara seimbang, tidak beku dalam tradisi, tidak liar dalam pembaharuan.

Fenomena yang kini kelihatan dalam media sosial apabila segelintir penulis baharu mengangkat diri sebagai pembaharu, pengkritik keras atau pembongkar kelemahan generasi terdahulu sebenarnya lebih menggambarkan masalah ketiadaan kefahaman terhadap proses saintifik penulisan.

Ilmu sains menyatakan bahawa suatu teori tidak dianggap sah hanya kerana hal itu baharu. Teori (atau hipotesis) itu mesti diuji, dipertahankan dan dibuktikan secara konsisten. Begitu juga dengan penulisan. Menulis ratusan bahkan ribuan status media sosial tidak setara dengan menghasilkan sebuah karya besar. Menang pertandingan kecil tidak menjadikan seseorang sebagai tokoh rujukan. Keupayaan mengkritik bukan bukti kepakaran jika tidak disertakan dengan karya yang tahan uji. Menyerang penulis mapan atas alasan “tidak sefahaman” ialah sikap yang bertentangan dengan code of scholarship. Tanpa asas karya yang kukuh, kritikan sebegini hanya menjadi picisan retorik, bukan kritisisme intelektual.

Kesusasteraan bukan gelanggang tinju ego, sebaliknya suatu ruang percambahan makna.

Hubungan Simbiotik antara Generasi: Jalan Dua Hala dalam Pembinaan Tamadun Persuratan

Dalam kajian biologi menyatakan bahawa hubungan simbiotik merujuk interaksi dua organisma yang saling memberi manfaat antara satu sama lain. Hubungan ini bukan satu hala, tetapi diikat oleh saling kebergantungan. Penulis mapan memerlukan penulis muda untuk meneruskan legasi intelektual mereka, sementara penulis muda memerlukan penulis mapan untuk mendapatkan bimbingan, kritikan matang dan rujukan sejarah.

Hubungan dua hala ini memperkukuh ekosistem persuratan nasional. Penulis mapan memberikan kedalaman, kebijaksanaan dan pengalaman, manakala penulis muda menawarkan tenaga, kemasan idea dan keterbukaan terhadap dunia baharu. Penulis mapan menjaga kesinambungan tradisi sedangkan penulis muda memperluas horizon pembaharuan.

Hanya melalui saling berhubungan inilah sastera dapat berkembang secara seimbang, tidak beku dalam tradisi, tidak liar dalam pembaharuan.

Jika dunia sains membuktikan bahawa kestabilan sistem lahir daripada interaksi antara unsur lama dengan baharu, maka dunia sastera juga perlu belajar daripada prinsip ini. Penulis muda bukan ancaman dan penulis mapan bukan penghalang. Kedua-duanya zarah yang mencipta keseimbangan. Apabila penulis muda memperkenalkan variasi, adaptasi dan perspektif baharu, pada masa yang sama akar, struktur dan arah telah disediakan oleh penulis mapan. Kepelbagaian gaya yang berbeza antara dua generasi penulis akan mencipta biodiversiti sastera. Etika intelektual pula akan menjaga keharmonian.

Masa depan sastera Malaysia hanya dapat dibina apabila kedua-dua generasi berjalan seiring, bukan saling menjatuhkan. Seperti hukum alam, ekosistem yang sihat memerlukan semua elemen berfungsi. Yang muda tumbuh, yang mapan menaungi, dan yang berbeza saling melengkapi.

Dalam dunia kata, kita semua ialah penyambung hayat makna.

_________________________

Ahmad Farihan Abdul Manan ialah guru subjek Kimia selain Penyelaras Kimia di SMK (P) Methodist Kuantan. Beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Kawasan Kuantan sejak tahun 2019.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi