Diterbitkan pada 20 April 2026, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mohamed Nasser Mohamed menulis dengan rendah diri bahawa setiap penulis pemula dan baharu sentiasa terasa diri di “pinggir”. Mereka sememangnya memerlukan motivasi untuk melangkah masuk ke dalam “dunia kata”.

Hal yang sering menjadi penghalang ialah ketiadaan ruang, arah dan seseorang yang percaya bahawa suara kecil itu sebenarnya berharga.

Tidak semua penulis bermula dengan keyakinan. Sebahagian besar bermula dengan keraguan—ragu terhadap kemampuan sendiri, ragu terhadap nilai tulisan dan lebih daripada itu, ragu sama ada suara mereka layak didengar. Dalam banyak keadaan, bakat bukanlah masalah utama. Hal yang sering menjadi penghalang ialah ketiadaan ruang, arah dan seseorang yang percaya bahawa suara kecil itu sebenarnya berharga.

Dalam dunia penulisan, terlalu ramai yang berada di pinggir. Mereka menulis, tetapi tidak berkongsi. Mereka mempunyai idea, tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengolahnya menjadi karya yang utuh. Mereka membaca karya orang lain dengan kagum, tetapi tidak pernah merasakan bahawa mereka juga boleh menjadi sebahagian daripada dunia kata itu sendiri. Pinggir ini bukan sekadar ruang fizikal, tetapi satu keadaan psikologi apabila seseorang merasakan dirinya belum cukup layak untuk melangkah ke tengah.

Ramai penulis lahir dalam diam. Mereka menulis dalam buku nota lama, dalam telefon bimbit atau sekadar menyimpan ayat-ayat dalam fikiran. Tulisan itu mungkin jujur, mentah dan penuh rasa, tetapi tidak pernah keluar dari ruang peribadi. Bukan kerana tidak berkualiti, tetapi kerana tiada keyakinan untuk mempersembahkannya.

Lebih membimbangkan, sebahagian daripada mereka berhenti sebelum sempat bermula. Tanpa galakan, tanpa maklum balas dan tanpa arah, penulisan menjadi sesuatu yang sunyi. Proses tulisannya tidak berkembang. Karyanya tidak diuji dan akhirnya tidak diteruskan. Dalam jangka panjang, dunia penulisan kehilangan suara-suara baharu yang sebenarnya mampu memberikan warna dan perspektif yang berbeza.

Pinggir ini sunyi, tetapi penuh dengan potensi yang belum disentuh.

Dalam perjalanan seorang penulis, sering kali ada satu titik kecil yang mengubah segalanya—suatu pertemuan dengan seseorang yang membuka pintu. Pembimbing bukan sekadar menunjukkan teknik menulis atau struktur ayat, tetapi membantu seseorang melihat bahawa apa-apa yang ditulis itu mempunyai nilai dan layak diketengahkan.

Figura seperti Sanusi Din (Ibnu Din Assingkiri), Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, Allahyarhamah Zaharah Nawawi, dan Norden Mohamed (sekadar beberapa contoh) memainkan peranan ini dalam kalangan penulis muda dan baharu. Mereka tidak hanya memberi ilmu, tetapi turut mencipta ruang. Ruang untuk mencuba tanpa takut dihukum. Ruang untuk memperbaiki diri tanpa rasa malu, dan ruang untuk berkembang secara berperingkat.

Hal yang membezakan ialah kesinambungan. Selepas pintu dibuka, mereka tidak pergi begitu sahaja. Mereka terus mengikuti perkembangan, membaca hasil baharu dan memberi maklum balas yang jujur tetapi membina. Dalam dunia yang serba cepat dan mudah melupakan, pendekatan seperti ini memberikan makna yang mendalam kepada mereka yang dibimbing.

Pengalaman seperti ini bukan sekadar teori. Hal ini memang berlaku dalam kehidupan sebenar walau dalam apa-apa pun bidang dan perjuangan.

Saya sendiri pernah mengenali ramai yang gemar menulis dan mencatat. Catatan-catatan kecil mereka penuh rasa, jujur dan tulus. Namun begitu, seperti ramai penulis pemula yang lain, mereka tidak menemukan keberanian untuk menghantar karyanya ke mana-mana penerbitan. Bagi mereka, tulisan itu sekadar untuk diri sendiri, bukan untuk dikongsi.

Sehinggalah suatu ketika, mereka diasak (bukan dengan paksaan kasar tetapi dengan dorongan yang berterusan) untuk cuba menghantar karya tersebut. Hal yang pada mulanya hanyalah catatan peribadi mereka, akhirnya mula menemukan ruang. Dari situ, keyakinan terbina sedikit demi sedikit. Mungkin sedikit lewat tetapi jelas belum terlambat.

Kisah seperti ini mungkin tidak sepopular kisah penulis besar dunia, tetapi hakikatnya lebih dekat dengan realiti kita. Hal ini menunjukkan bahawa perbezaan antara kekal di pinggir dengan sikap berani melangkah ke tengah kadangkala hanya bergantung pada satu dorongan kecil tetapi berterusan.

Kisah-kisah yang hampir tidak menjadi

Langkah kecil ini kelihatan sederhana, tetapi bagi seseorang yang berada di pinggir, langkah ini memerlukan keberanian yang amat besar …

Sejarah dunia penulisan sendiri penuh dengan kisah karya besar yang hampir tidak wujud. Hal itu bukan kerana kekurangan bakat, tetapi kerana keputusasaan yang hampir memadamkan perjalanan karyanya.

J.K. Rowling pernah menulis dalam keadaan serba kekurangan. Beliau seorang ibu tunggal yang bergelut dengan kehidupan. Manuskrip Harry Potter ditolak berkali-kali sebelum akhirnya diterima. Stephen King pula pernah membuang manuskrip awal Carrie ke dalam tong sampah. Isterinya yang menyelamatkan manuskrip tersebut, membacanya lalu menggalakkan beliau untuk meneruskan penulisan, yang akhirnya membuka jalan terhadap kerjaya besar beliau. Harper Lee hampir-hampir membuang manuskripnya kerana kecewa, sebelum diselamatkan oleh ejen persuratannya, manakala Dr. Seuss hampir memusnahkan manuskripnya selepas ditolak oleh puluhan penerbit.

Semua kisah ini memperlihatkan satu hakikat yang sama. Di sebalik setiap karya besar, ada saat yang si penulis hampir berhenti, tetapi ada sahaja seseorang yang membantu mereka agar perjalanan pengkaryaan itu diteruskan.

Perjalanan dari pinggir ke dunia kata tidak berlaku secara mendadak. Perjalanan ini bermula dengan langkah kecil, iaitu menulis satu perenggan, berkongsi satu karya, menerima satu maklum balas, atau berani memperbaiki kelemahan. Langkah kecil ini kelihatan sederhana, tetapi bagi seseorang yang berada di pinggir, langkah ini memerlukan keberanian yang amat besar.

Dalam proses ini, si pembimbing memainkan peranan sebagai pemangkin sebenar. Mereka melihat potensi di sebalik kelemahan dan membantu membina keyakinan secara perlahan. Mereka tidak memaksa perubahan secara drastik, tetapi membimbing secara konsisten sehingga penulis tersebut mula memahami kekuatan dirinya sendiri.

Apabila keyakinan itu terbina, perubahan mula berlaku. Tulisan menjadi lebih tersusun. Suara menjadi lebih jelas. Dan, yang paling penting, penulis itu sendiri mula percaya bahawa apa-apa yang ditulisnya mempunyai makna.

Dunia penulisan tidak boleh bergantung pada bakat semata-mata. Dunia ini memerlukan ekosistem yang menyokong, yang bukan hanya menilai hasil akhirnya, tetapi turut membina proses yang teratur dan tersusun pada penciptaan karya tersebut.

Ekosistem ini merangkumi komuniti, penerbit, platform, dan yang paling penting—pembimbing. Tanpa kesinambungan ini, ramai penulis akan terus berada di pinggir walaupun mereka mempunyai potensi yang besar.

Menjadi penulis bukanlah satu destinasi, tetapi satu perjalanan yang panjang dan kadangkala sunyi. Menjadi penulis memerlukan ketahanan, kesabaran, dan keberanian untuk terus menulis, walaupun tidak sentiasa dihargai.

Kita sebenarnya tidak kekurangan bakat. Hal yang kita perlukan sekarang sebenarnya agar lebih banyak tangan yang membuka pintu, dan lebih banyak hati yang menemani perjalanan orang lain.

Setiap penulis hari ini yang berdiri di tengah-tengah khalayak sastera, suatu ketika dahulu pernah berada di pinggir. Dalam banyak keadaan, mereka sampai ke situ bukan kerana berjalan sendirian, tetapi kerana ada seseorang yang percaya, dan tidak pernah berhenti percaya kepada mereka.

_________________________

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding yang terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak tahun 2008. Cerpennya pernah tersiar dalam Dewan Sastera.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi