Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 27 Februari 2026, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nasrul BK meneliti cabaran yang dihadapi oleh penulis pemula yang baru hendak mengenali dunia sastera, khususnya puisi.

Puisi bukan sekadar tulisan di atas kertas, tetapi gema hati yang mencari jalan untuk didengari.

Di sebalik larik-larik indah yang dilontarkan ke udara dan bait-bait halus yang terpahat di atas kertas, tersimpan getir perjuangan seorang pemula dalam dunia puisi. Sama ada sebagai penulis yang berusaha mencorakkan rasa melalui kata, atau sebagai pendeklamator yang menggenggam nadi puisi di pentas khalayak. Kedua-duanya berdepan dengan cabaran yang tidak kecil.

Dalam masyarakat yang kadangkala meletakkan puisi di sisi, bukan di tengah arus, keinginan untuk menyampaikan suara batin melalui seni ini sering bertembung dengan keraguan, kekangan dan pandangan sinis. Maka, di sinilah nyala rasa diuji: adakah usaha cukup kuat untuk terus menyala?

Menulis puisi ibarat menari di atas garis halus antara keindahan dengan kesengsaraan. Bagi seorang pemula, keterbatasan ekspresi menjadi tembok pertama yang perlu dirobohkan. Puisi tidak memberi ruang panjang seperti esei atau cerpen. Sebaliknya, menuntut padatnya makna dalam ketelitian bahasa. Kata-kata harus dipilih dengan cermat. Satu kesilapan kecil boleh merobohkan seluruh irama dan makna.

Lebih rumit lagi apabila penulis terperangkap dalam kekeringan idea. Fenomena yang sering disebut sebagai “rintangan pengarang” atau writer’s block bukan sahaja membunuh momentum berkarya, malah boleh menjauhkan penulis daripada dunia yang baru mula dikenalinya. Apatah lagi apabila perlu mematuhi bentuk tertentu seperti sonet, haiku atau pantun yang menuntut pemahaman struktur dan kreativiti serentak.

Namun begitu, cabaran sebenar hadir saat karya itu bertemu pembaca. Kefahaman yang bersifat subjektif membuatkan puisi mudah disalah tafsir, malah kadang-kadang ditolak mentah-mentah. Dalam dunia yang pantas ini, tidak semua yang sudi duduk sejenak untuk memahami satu metafora, satu kias. Penolakan sebegini bisa meruntuhkan keyakinan si penulis muda.

Seni Deklamasi: Antara Getar Suara dan Getar Jiwa

Jika menulis puisi sudah sukar, menyampaikannya pula suatu bentuk keberanian yang lain. Deklamasi bukan hanya tentang membaca. Deklamasi ialah proses menyampaikan rasa dengan seluruh tubuh dan suara. Intonasi, tempo, ekspresi wajah, dan gerak tubuh perlu bersatu. Jika tidak, puisi itu tinggal sebagai gema kosong.

Bagi pemula, berdepan dengan khalayak ialah ujian terbesar. Rasa gugup boleh menyekat suara, menyempitkan dada dan membunuh penghayatan. Tanpa kefahaman terhadap puisi yang dideklamasikan, penyampaian menjadi hambar dan tidak bernyawa. Hanya lafaz, bukan rasa.

Sebahagian masyarakat juga masih melihat deklamasi sebagai seni yang “berat”. Hanya sesuai untuk acara rasmi atau peringatan tertentu. Maka, ramai yang enggan mencuba, takut dilihat “berlagak”, atau lebih parah – ditertawakan.

Stigma Sosial: Puisi untuk Siapa?

Dalam sesetengah wacana awam, puisi masih dipandang sebagai milik suatu kumpulan elit yang hanya layak didekati oleh golongan terpelajar atau “orang sastera”. Pandangan ini bukan sahaja sempit, malah menutup pintu kepada ramai bakat muda yang ingin mencuba tetapi takut dianggap tidak layak.

Stereotaip bahawa “puisi untuk orang pandai” menjauhkan seni ini daripada akar umbi masyarakat. Ramai yang ragu-ragu untuk menulis atau mendeklamasi kerana berasa tidak cukup bijak, tidak cukup puitis, atau tidak cukup “seni”.

Lebih menyedihkan, masih kurangnya penghargaan terhadap karya puisi, terutama yang bersifat eksperimental atau bernuansa tradisional. Dalam dunia yang lebih menghargai bentuk hiburan pantas dan visual, puisi kadangkala dianggap sebagai membosankan, satu tanggapan yang harus kita lawan bersama.

Namun begitu, semua cabaran ini bukan alasan untuk berundur. Sebaliknya, menjadi asbab untuk kita membina jalan yang lebih terbuka dan inklusif.

Latihan yang berterusan dalam menulis, membaca, mendengar, dan mendeklamasi ialah tunjang utama. Seperti seorang pemain alat muzik, penulis dan pendeklamator perlu membiasakan diri dengan irama bahasa dan emosi yang ingin disampaikan.

Kita juga perlu menyediakan ruang, sama ada di sekolah, universiti, pusat komuniti, mahupun media sosial untuk puisi diberi nafas baharu. Acara puisi yang inklusif, penghargaan yang telus dan bimbingan yang mesra harus menjadi budaya.

Keyakinan pula tidak datang dalam sehari. Hal ini dibina melalui pengalaman, galakan dan rasa percaya bahawa setiap suara walau masih hijau layak untuk didengar.

Nyala yang Tak Padam

Puisi ialah seni yang memanusiakan manusia. Dalam dunia yang semakin vakum dan pantas, puisi mengajak kita berasimilasi dengan langkah untuk merasa, berfikir dan menyelami makna hidup. Bagi penulis dan pendeklamator pemula, jalan ini memang penuh liku, namun kaya dengan kepuasan batin yang tidak terganti.

Biarlah nyala rasa itu terus menyala walau kecil, namun tetap membawa cahaya.

_________________________

Nasrul BK atau Nasrul Isyam Abdul Hamid ialah pensyarah Pengajian Am di Kolej Matrikulasi Pahang dan Penolong Setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) bagi sesi 2023 – 2025. Beliau juga penggerak aktif Sayap Muda DPMP, serta seorang aktivis masyarakat dan pendidikan. Selain menjadi penceramah motivasi dan fasilitator, beliau giat menulis puisi, cerpen dan anekdot di pelbagai medium. Karyanya pernah tersiar dalam Mingguan Malaysia, Utusan Borneo, Riau Sastra, apajake magazine, JendelaDBP, Suara Sarawak, dan Media Permata Brunei.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi