Oleh Angelo Taj
Diterbitkan pada 17 April 2026, 12:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Angelo Taj menyingkap realiti dunia kepenyairan remaja di Malaysia dan gambaran masa hadapannya.

Sejauh manakah kita telah mempersiapkan hala tuju penyair remaja di Malaysia berdasarkan realiti sebenar pada tahun 2026?

Setiap zaman mempunyai pelbagai sisi cerita yang berbeza dan kita perlu hidup dalam cerita tersebut. Begitu juga dengan dunia sastera di Malaysia, sama ada ceritanya berkembang seiring kemenjadian atau layu dalam kebantutan, kita tidak dapat lari daripada menghadapi realiti yang sejujurnya serba mencabar pemikiran. Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah menganjurkan Randau Aksara Tunas Kenyalang (RATK) 2026, satu aktiviti sastera yang muncul sebagai kesinambungan terhadap Minggu Penulis Remaja (MPR) yang biasa diaktifkan oleh DBP Malaysia. Secara asasnya, program ini merupakan satu penanda aras baharu dalam aktiviti sastera remaja di Sarawak, malah mendapat sambutan hangat daripada pihak sekolah di Sarawak yang mahu pelajar atau remaja berpotensi terlibat secara langsung dalam aktiviti sastera di Sarawak.

Persoalan asas pertama yang perlu dibincangkan dalam hal ini: adakah penyair remaja di Sarawak secara umumnya telah bersedia untuk mengorak langkah dalam dunia kepenyairan di Malaysia? Sanggupkah mereka menghadapi realiti sebenar dunia kepenyairan yang belum benar-benar kondusif ruangnya untuk mencungkil bakat luar biasa penyair remaja itu sendiri? Analoginya, seperti sebiji buah yang kelihatan ranum di kebun, adakah sanggup kita memetiknya tanpa mempelajari cara buah itu tumbuh? Saya yakin, banyak pihak mengikuti perkembangan dan mahu melihat hasil program sastera remaja, tetapi tidak memikirkan berapa ramai penyair remaja yang berjaya dilahirkan dengan kualiti dan potensi yang seiring dengan jumlah program sastera remaja itu sendiri. Kalau tidak, statistik umum ini hanya menjadi fakta yang tidak mengubah sejarah, atau sejarah yang tidak belajar daripada peredaran zaman itu sendiri.

Penyair remaja yang bagus bukan hanya dibicarakan dalam hal bakat, tetapi cara “lingkungan” persekitarannya membentuk acuan yang sesuai untuk penyair remaja itu berkembang, berevolusi dan menyerap segala faktor pembaharuan dalam dunia sastera untuk menjadi penyair yang mempunyai ciri lengkap seorang pelapis sastera Malaysia pada masa hadapan. Kita tidak boleh membiarkan jurang (kelompongan) dalam bakat generasi atas faktor ketandusan bakat untuk menghantui kita pada setiap masa. Hal ini bukan sahaja berlaku seawal usia kepenyairan remaja, tetapi turut dihadapi oleh golongan penulis muda dan senior. John Keats dalam teori negative capability (1819) menyebut, “penulis yang bagus diletakkan di tempat kedua berbanding kemahuannya untuk mencari kebenaran dan kehausan ilmu. Sirkulasi yang kejam adalah apabila sastera terus mempertanyakan bagaimana untuk menjadi apa yang diimiginasikan berbanding dengan apakah cara untuk mencapainya. Halangan-halangan cumalah fakta bersebab yang memisahkan penyair muda dengan penyair hebat”. John Keats juga seorang penyair muda yang hanya hidup untuk 25 tahun dan mati pada tahun 1821 akibat tuberkulosis. Dalam hal ini, apakah yang membezakan zaman kepenyairan muda daripada penyair sekarang? Tentunya, cara pemikiran, pembacaan dan lingkungan kepenyairannya.

Persoalan asas kedua, sejauh manakah kita telah mempersiapkan hala tuju penyair remaja di Malaysia berdasarkan realiti sebenar pada tahun 2026? Cukupkah dengan hanya meletakkan MPR, program sastera negeri dan penyediaan ruang terbitan pada Tunas Cipta sebagai ruang perkembangan bakat kreatif mereka? Penduduk Malaysia ada sekitar 38.9 juta dan penduduk New York pula ada sekitar 42.8 juta. Akan tetapi, di Amerika saja terdapat pelbagai program nasional kepenyairan remaja yang menjadi program grass root atau asas mereka dalam pembentukan sastera sebagai agenda nasional mereka. Gelaran sasterawan peringkat negeri dan nasional mereka telah diberikan kepada penyair remaja di bawah gelaran young laurate dan young fellowship (dalam konteks pengiktirafan tempatan, bolehlah dibayangkan seperti “sasterawan/penulis muda tamu” yang ditaja oleh sesebuah institusi) yang didatangkan dengan pelbagai imbuhan menarik, seperti menjadi duta kecil penyair negara dan imbuhan geran atau wang insentif kepenyairan remaja.

Penerbitan di Amerika pula meluas, meliputi kehadiran para penerbit buku yang menyediakan ruang sayembara untuk penyair remaja ini beradu kekuatan seperti pertandingan biasiswa bagi penulis muda Amerika Syarikat dan hadiah puisi peringkat kolej dan universiti. Terdapat juga pertandingan lain yang disokong oleh majalah sastera dan jurnal di Amerika Syarikat. Setakat hari ini, saya tidak melihat adanya anugerah peringkat remaja dilakukan dengan kerap atau setiap tahun (Hadiah Tunas Cipta diadakan sekali dua tahun), malah amat kurang anugerah sastera remaja untuk mengangkat reputasi mereka pada peringkat nasional. Kelompongan sastera peringkat remaja inilah yang seeloknya diisi, khususnya dengan mencontohi pelbagai aktiviti sastera di Amerika Syarikat untuk diterapkan di Malaysia, agar bukan hanya nasib sastera remaja terbela, tetapi terus diperkukuh dan menjadi titik pembaharuan untuk melahirkan pelapis generasi sastera Malaysia yang hebat. Sastera bukan hanya tentang kemodenan, tetapi kelangsungan hidupnya, adaptasi dan cara sesuatu zaman menghadapi masalah.

Persoalan asas terakhir yang kita perlu fikirkan secara bersama ialah: siapa penyair remaja pada tahun 2026, yang dicanang-canangkan boleh menjadi pelapis generasi penyair muda setaraf Karim Mohd, Qurratul ‘Ain dan Haniff Zikri? Mereka yang dilihat berbakat, mapan dan bersedia menjadi penyair dalam RATK 2026, MPR 2026 dan pengisi ruang dalam Tunas Cipta 2026 perlu diberikan perhatian atau “pancaran pentas”. Kehadiran mereka boleh dialu-alukan dengan ucapan selamat datang, diwawancara khas, atau setidaknya karya mereka diperkenalkan kepada umum dalam media terbitan dan media sosial. Langkah ini kelihatan kecil, tetapi sebenarnya memberikan suntikan moral kepada para penyair remaja untuk terus mengutip pengalaman berharga dalam dunia sastera.

Kita perlu mengadakan lebih banyak bual bicara yang melibatkan golongan penyair remaja dan karya kreatif mereka untuk mendapatkan sudut pandang, respons dan harapan masa hadapan …

Permasalahan timbul apabila kita sendiri tidak mencabar para penyair remaja ini untuk memunculkan diri mereka di khalayak umum, lantas pentas sastera menjadi kosong tanpa perkhabaran mereka. Virginia Woolf pernah berkata, “penyair remaja itu bukanlah seorang individu, melainkan satu hubungan antara para penyair, berkisarkan penyair-penyair lepas, dan melihat diri mereka sebagai kompleksiti sebuah tradisi sastera” (A Letter to a Young Poet, 1932). Siapakah kita untuk menghalang generasi penyair remaja Malaysia untuk memiliki tradisi sastera mereka sendiri? Apakah tindakan kita untuk memastikan mereka terus melahirkan karya kreatif tanpa ada penghalang? Di sinilah pentingnya menyediakan medium yang sesuai dan pelbagai untuk mereka terus berkembang. Kunci utamanya ialah pendedahan sosial.

Sebagai cadangan tambahan, kita perlu mengadakan lebih banyak bual bicara yang melibatkan golongan penyair remaja dan karya kreatif mereka untuk mendapatkan sudut pandang, respons dan harapan masa hadapan yang lebih baik daripada mereka.

Seperti sebuah kapal yang berlayar di lautan, kita seharusnya sudah boleh memilih siapa kapten penyair remaja Malaysia untuk mengemudi haluan, membaca mata angin dan berlayar atas kapasiti suasana atau cuaca berbeza yang melanda dunia sastera Malaysia dalam tahun 2026 dan seterusnya.

Penyair muda tidak akan selamanya muda, dan untuk penyair remaja, belajarlah erti sastera yang sebenar berdasarkan pengamatan situasi, sisi gelap dan terang yang disembunyikan, dan arah pelayaran yang membawa ke arah tujuan sebenar seorang penyair, iaitu mengabdikan diri untuk Tuhan, puisi dan masyarakat. Kelak, penyair yang hebat akan dapat mengenal nama bintang, mengukur jarak antara bintang yang terjauh dan seberapa dekat dirinya dengan metasemesta.

_________________________

Angelo Taj atau nama sebenarnya, Ahmad Tajuddin Ismail merupakan seorang penyair muda dari Sarawak dan penulis sepenuh masa. Usia kepenyairannya bermula sekitar tahun 2020 pasca-COVID-19. Karya sajaknya tersiar dalam pelbagai media seperti SelangorKini, Utusan Sarawak dan Suara Sarawak. Beliau pernah memenangi beberapa hadiah penulisan, termasuk Hadiah Sastera Tunas Sarawak (HSTS). Beliau aktif di Facebook dan Instagram dan amat responsif terhadap isu semasa dunia.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi