Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIqbal Halim membalas esei tulisan Naim al-Kalantani, “Puisi: Genre Tertinggi atau Jalan Pintas?”.
Semuanya hanyalah pilihan dan setiap penulis sama ada baharu atau lama tahu minat dan keupayaan masing-masing dalam usaha mengasuh aksara atau membuang lewah genre yang mereka kuasai.
Puisi sememangnya mahkota tertinggi di puncak ancala sastera, tetapi tarafnya bukanlah berada di mahkota kebesaran raja, hanya layak dimasyhurkan di atas batu jemala kaum kerabat yang tulen susur galur darahnya. Puisi hanyalah persis mahkota ratu cantik dunia yang layak untuk direbut oleh mana-mana wanita yang mengidamkannya. Atau, hanyalah seperti mahkota pengantin yang berjaya dilafaz dengan ijab kabul mana-mana sang mempelai demi menikmati indahnya malam pertama. Mahkota yang terlalu dibesar-besarkan dengan hiasan intan, zamrud, nilam, dan delima akhirnya hanya akan berakhir di muzium usang yang dikawal ketat oleh pengawal, tetapi sepi daripada sebarang kunjungan awam, walaupun tiketnya percuma. Barangkali, insan yang terlalu obsesi dengan mahkota mewah sebegini hanyalah kawaq yang berani memplagiat sajak seberang atau sajak ChatGPT.
Adakah negara kita telah ranap ranah sasteranya, seperti tenggelamnya Pentas Sunda ditelan oleh Laut Natuna sehingga Naim begitu ghairah memetik sajak penyair Indonesia, Sitor Situmorang yang dikatakan berlapis makna laksana mengupas kulit bawang, tetapi sebenarnya, tanpa kita sedar, tindakannya menitiskan air mata Sasterawan Negara (SN)? Mana perginya sajak pendek SN A. Samad Said berjudul “Nikmat” yang lebih membawa kita menyuluh pengertian jiwa dalam diri sebagai seorang hamba:
……….Segala yang dihasrat
……….tapi tak dapat
……….adalah nikmat
……….yang paling padat
Atau, adakah sajak pendek Allahyarham Pyan Habib yang berjudul “Wangi Perempuan” tidak cukup hebat? Sajak ini mengagungkan pengorbanan wanita, sama ada sebagai seorang isteri, ibu, anak, atau pekerja: “kuhidu/wangi perempuan/ada bau luka”.
Mungkin Naim termasuk dalam kalangan pencinta sajak kabur yang sering mengejar bulan, tetapi makna telah berkubur dalam teka-teki pagar sesat; hanya sekadar berseronok menikmati dunia bingung tanpa perlu pun tiba untuk mengetuk pintu makna sesebuah sajak. Akan tetapi, hal ini sebenarnya suatu perkara biasa yang dilakukan oleh “peminat sastera yang kurang meminati puisi”.
Saya tidak pernah pelik mengapa penulis baharu lebih meminati puisi daripada genre lain seperti esei, cerpen, novel, malah drama pentas. Malah, saya lebih pelik jika JK Rowling yang bergelar jutawan hasil mahakarya novel kanak-kanaknya yang terkenal, siri Harry Potter, turut menjadi jutawan kali kedua jika beliau menerbitkan buku puisi (jika ada). Atau kecenderungan Emily Dickinson yang hampir seluruh karyanya hanyalah coretan puisi tanpa sebarang penulisan novel atau cerpen. Hal ini bukanlah soal genre yang wajib penulis baharu tulis, tetapi hal ini berkenaan hutan mana yang lebih seronok diterokai dengan penuh minat, sama ada hutan rimba, hutan paya gambut, hutan paya bakau, atau hutan kota. Pemilihan ini hanyalah soal cita rasa seseorang penulis, sama ada baharu ataupun lama. Memaksa penulis baharu menulis semua genre atau menurut urutan daripada senang kepada sukar ialah satu pembulian intelektual yang kejam.
Kesukaran penulis baharu untuk menulis mana-mana genre tidaklah boleh diukur berdasarkan genre itu sendiri, malah perlu dipaksikan kembali kepada batang tubuh penulis itu sama ada cukup atau tidak segala pancainderanya untuk menzahirkan tulisan lalu melahirkan karya walaupun hanyalah sekadar “catatan hati” atau “curhat” (curahan hati). Adakah mengasuh anak terlalu sukar bagi suami sehingga segala-galanya diserahkan kepada isteri? Atau, adakah membuang sampah terlalu berat bagi isteri sehingga perlu dilakukan oleh suami setiap hari? Semuanya hanyalah pilihan dan setiap penulis sama ada baharu atau lama tahu minat dan keupayaan masing-masing dalam usaha mengasuh aksara atau membuang lewah genre yang mereka kuasai.
Dalam konteks ini, kita tidak membicarakan panjang pendek sesebuah karya, tetapi kita menilai penghasilan karya melalui ukuran masa. Sikap menganggap menulis puisi sebagai satu jalan pintas kemalasan ialah satu pemikiran yang dangkal. Penulis baharu bukanlah pengemis ringgit yang menadah tempurung kata-kata demi mengenyangkan perut yang lapar. Mereka penulis yang terdiri daripada pelbagai jenis kerjaya dalam lapisan masyarakat, yang hanya mahu berkongsi minat yang sama, dengan membina istana pasir rapuh yang mudah dipadamkan ombak di pantai sastera. Mana tahu, pasir yang selama ini murung dilanda ombak berasa sedikit bangga apabila berada di puncak istana, walaupun hanya untuk seketika. Mengapa tidak kita raikan saja momen berharga itu walaupun sesingkat kerdipan mata?

Tidak ada istilah tangga terendah sastera ialah prosa dan tangga tertinggi ialah puisi …
Apabila berdiskusi fasal penulis baharu, semestinya kita tidak dapat lari daripada mentafsir proses mengukir nama penulis di dada pembaca. Siapalah yang mahu menelaah kumpulan cerpen atau novel penulis baharu yang tidak dikenali sesiapa termasuklah dalam kalangan penulis sendiri? Akan tetapi, ramai sahaja pembaca senang menikmati 10 sajak curhat penulis baharu yang tidak dikenali mereka di alam maya. Jadi, penulis baharu mengasah pena sedikit demi sedikit di lembaran maya, menjual kata-kata curhatnya dengan percuma, demi melariskan karya genre yang diminatinya kemudian hari. Jika lakaran potret wajah penulis baharu dicoretkan di atas puncak Gunung Jerai, berus dan kanvas tidak pernah bertanya adakah wajah ini mendaki menggunakan Trek Komando yang sememangnya sangat sukar, atau menyeret betis menapak Tangga Kenari, atau hanyalah sekadar membayar tambang RM10 untuk naik ke puncak menggunakan van di atas jalan raya. Telaga Tok Sheikh sendiri tidak pernah memilih bibir yang sudi menikmati air nirmalanya, tetapi hanya sekadar melontarkan persoalan, adakah bibir ini cukup haus? Mungkin Naim memilih untuk menjadi Air Terjun Puteri Bersiram yang hanya menerima tetamu yang sanggup mendaki. Jika menulis puisi ialah jalan singkat penulis baharu menempah nama, usaha masih berbaloi, walaupun mutu sajak yang menghiasi laman maya tanpa editor boleh dipertikaikan. Jika tidak, masakan anda membaca esei pertama karangan penulis yang tidak dikenali oleh penulis novel, esei atau drama pentas ini?
Kita hanya mahu menyarungkan mahkota di atas kepala sebuah arca batu marmar penulis yang telah lama melalui proses dipahat, diukir dan digosok permukaannya, supaya bentuk arca itu hidup dan licin. Akan tetapi, kita sering membiarkan longgokan batu permata yang sebenarnya terdapat sinar yang lebih cantik tetapi belum diketepikan serpihan kecil di sekelilingnya. Inilah batu “penyair segera” yang kita biarkan hujan dan panas mengukirnya di tengah-tengah belantara, dengan harapan ia dapat menyaingi arca batu marmar tadi. Jadilah seperti pencanai Tabir Alam atau Ibnu Din Assingkiri yang tidak pernah jemu memandang batu “penyair segera” itu berharga, dan jika digilap maka layak dikenakan mahkota sastera. Atau setidak-tidaknya, cukuplah sekadar menjadi hiasan cincin di jari manis pembaca. Malah, lebih tidak masuk akal jika kita mengharapkan sebiji batu mengukir diri sendiri, lalu menjelma menjadi arca yang cantik dalam masa sehari. Ini bukanlah kisah dongeng penglipur lara Allahyarham Pak Majid yang terkenal sebagai Tok Dalang Wayang Kulit Seri Asun.
Tidak ada istilah “tangga terendah sastera ialah prosa” dan “tangga tertinggi ialah puisi” kerana tangga hanyalah sekadar tangga yang terbiar sepi jika tiada tetamu yang mahu mencapai batok, mencedok air di dalam tempayan lalu membasuh kaki lantas memijaknya. Sama ada tetamu mahu memijak satu per satu atau selang dua anak tangga, terpulanglah, asalkan dia tiba pada anak tangga terakhir. Hal yang perlu dirisaukan hanyalah jika dia memijak dua anak tangga lalu termenung di situ santak ke senja. Akhirnya, dia pulang tanpa sempat menjamah apa-apa, hatta sepiak sirih di beranda tuan rumah. Hal ini lebih parah buat rumah sastera daripada langkah pertama tetamu yang tidak dikenali bertandang datang memijak anak tangga, lalu sudi beramah mesra dengan tuan rumah.
Walau apa-apa pun genre penulis itu menulis, gelarannya tetaplah seorang penulis. Tidak pernah lagi saya bertemu dengan mana-mana penulis berhimpun di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur memakai pingat atau lencana kemahiran esei, novel, drama pentas, atau puisi di dada, seperti seorang askar komando yang bangga mengenakan lencana pakar bom, pakar payung terjun atau pakar selam. Atau seperti seorang pengakap yang menampal lencana kemahiran ikatan, memasak atau pertolongan cemas di bahu. Jika kita telah disatukan sebagai penulis, kenapa perlu melabel?
Membuat kesimpulan penulis baharu tidak membaca semestinya satu tuduhan yang paling prejudis terhadap mereka.
Khoo Phau Liang boleh dikatakan penulis yang terus terjun menulis puisi tanpa terlebih dahulu menulis novel atau drama pentas. Hanya baru-baru ini sahaja karya cerpen satiranya tersiar dalam Dewan Sastera dan Cukaria. Akan tetapi, adakah hal ini bermakna sajak karya Khoo Phau Liang dalam Manusia yang Diikat Jamin Tuhan itu lemah? Hanya kerana tidak bermula dengan prosa? Bagaimana pula dengan beberapa orang penulis yang telah berjaya digilap bakat mereka lalu berhasil menerbitkan buku sajak pertama, seperti Sarah Ross, Arif Azahari Zailiani dan Haniff Zikri (sekadar menyebut beberapa nama). Adakah sajak-sajak mereka lemah kerana tidak menulis esei, cerpen atau novel terlebih dahulu? Benar. Ada juga penulis baharu yang lain masih lemah menulis puisi, tetapi apa salahnya kita meraikan dan berikan mereka dorongan? Moga-moga puisi mereka yang masam hijau itu bertukar menjadi manis dan harum setelah matang, seperti persembahan sajak Mangga Kehidupan Pok Deng (Ladin Nuawi) di atas pentas.
Membuat kesimpulan penulis baharu tidak membaca semestinya satu tuduhan yang paling prejudis terhadap mereka. Masakan lahir sajak-sajak curhat tanpa melalui proses pembacaan? Cuma kemahiran menukang aksara sahaja yang perlu dicanai dan digilap kemas. Kita sering mencerap orang-orang tua yang gemar melepak di warung-warung kopi setiap hari membaca akhbar, tetapi berapa kerat antara mereka yang menjadi penulis? Berapa ramai pustakawan yang bergelar penulis walaupun dihimpit oleh gema pelbagai jenis kitab karya besar? Berapa ramai penjual buku bergelar penulis walaupun hidupnya berdagang aksara seperti Zainal Rashid Ahmad dan Fahd Razy? Pembaca tegar tidak semestinya seorang penulis, tetapi seorang penulis semestinya seorang pembaca tegar.
Akhir kalam, saya ingin mengakhiri tulisan ini dengan sajak lima baris karya curhat saya sendiri. Manalah tahu, sajak ini akan dikritik pula oleh Irfan Fikri? Barulah boleh menjadi sejarah.
Penulis Segera
tinta mentah? lembaran lapar!
muntah aksara…
punah karya (‘~’)
/diracik/ /jeling/
(kenyang tak mula)

_________________________
Iqbal Halim hanyalah seorang penulis baharu yang telah menulis puisi, cerpen, novel, dan esei (mengikut urutan karya) yang tidak dikenali oleh sesiapa pun, termasuklah Naim al-Kalantani.